ISTIHANA membuka pintu biliknya selepas ibunya itu mengetuk pintunya. Kali ini entah apa yang dia mahukan. Cadang Istihana mahu berehat di hari cutinya, tapi tetap juga diganggu oleh ibunya. Bukannya Istihana tidak mahu menolong ibunya memasak, tapi ada saja yang tak kena dengan apa yang dilakukannya.
Istihana berdiri di depan ibunya dengan tuala menutupi kepalanya.
"Tolong masak nasi lemak. Aku nak ikut ayah kau ke masjid," arahnya.
Istihana berjalan ke depan meja makan. Semuanya telah tersedia.
"Aku dah sediakan semuanya. Lagipun, hari ni kau cuti kan," kata Puan Sofiah.
Istihana hanya mengangguk. Lega apabila ibunya menyuruhnya memasak tanpa pengawasan. Sebaik saja ibunya keluar, Istihana memulakan kerjanya. Dia mahu selesaikan semuanya sebelum ibunya pulang dari masjid.
Sementara menanti sambalnya masak, Istihana masuk ke dalam bilik air. Mahu menggosok giginya. Selepas selesai, dia keluar. Hampir menjerit dia apabila abang iparnya berada di depannya. Mukanya berkerut ketika itu. Lelaki itu menolak Istihana ke tepi dan dia terus masuk ke dalam bilik air. Istihana menjuihkan mulutnya.
"Wangi, awak masak apa?" tanya Ilhan selepas keluar dari bilik air.
Istihana mengurut dadanya. Lelaki ini gemar membuat dia terkejut. Berkali-kali.
"Nasi lemak." Dan cara menjawabnya itu, tidak mahu lagi lelaki itu bertanya.
Istihana tidak betah duduk berdekatan dengan lelaki selain ayahnya. Meskipun lelaki ini adalah abang iparnya.
"Isma tak pernah cerita dia ada adik perempuan," ujarnya.
Lelaki itu memandang Istihana. Ah, Istihana tak hairan pun.
"Ya ke? Saya pun tak pernah cakap saya ada kakak." Istihana berpaling untuk meletakkan sambal yang sudah masak ke bawah tudung saji.
"Pelik." Ilhan menggaru dagunya.
"Tak pelik," balas Istihana.
Istihana terus berjalan keluar dari dapur. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Tidak mahu berada di situ lagi. Selebihnya dia tidak selesa berdua-duaan dengan abang iparnya itu.
ISTIHANA sendukkan nasi. Sambal, ikan bilis dan telur rebus diletakkan di pinggannya. Dia bercadang mahu makan di luar rumah, memandangkan mereka semua sudah makan.
Sejak 10 minit yang lalu, suara riuh-rendah di dapur sudah tiada. Maknanya mereka semua sudah tiada di dapur. Barulah dia keluar.
"Tengok mummy su makan kat luar." Suara garau itu menegur lagi.
Hampir tercekik Istihana apabila nama gelarannya diberi mummy su. Nak tergelak pun ada. Cepat-cepat Istihana meneguk air di depannya. Kenapalah di mana-mana pun abang iparnya ini ada? Istihana tahu lelaki ini mahu berbaik-baik dengannya yang bergelar adik ipar.
"Peliklah abang. Awak makan seorang diri kat luar." Ilhan duduk di depan Istihana sambil meletakkan si kecil di atas meja, sambil memegangnya.
"Saya suka makan kat luar," balas Istihana.
"Sebab keluarga abang tak benarkan seluruh ahli keluarga makan sendirian. Makan bersama dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga," ujarnya.
Mahu tercekik Istihana ketika itu. Macam mana dia mahu mengeratkan hubungan? Ibunya yang cuba menjauhkan hubungan mereka. Dia sebagai anak sudah cuba merapatkan jurang, tapi kalau orang yang dia cuba untuk merapatkan jurang dah tak mahu, apa yang boleh dia katakan lagi.
YOU ARE READING
JANGAN TAK BALAS CINTAKU
RomanceWHATSAPP 013 2588069 WWW.DEARNOVELS.MY Tajuk: JANGAN TAK BALAS CINTAKU Penulis: Zaza Qry ISBN: 978-967-2116-16-5 Harga: RM25.00 / RM28.00 Istihana betul-betul rimas dengan bekas abang iparnya. Kubur isteri masih merah dia sudah bersetuju berkahwin...