PROLOG

218 7 0
                                    


Itaewon-dong, Yongsan-gu, Seoul - 1995


"MIYONGKKAE? Daebak!"

Suara teruja datangnya dari seorang gadis berusia sembilan belas tahun memecah keheningan malam. Lebar senyuman diberikan dengan mata yang bersinar galak menatap sehelai kertas yang sudah lusuh dan kekuningan yang kejap dipegangan tangan. Hatinya dijentik rasa berbunga-bunga, senang sekali. Sesekali matanya mengerling ke arah laluan masuk ke ruangan itu, sebelum kembali menatap kertas di tangan.

"Yeogiseo mwohago issni? Kaja! Nugungaga ulileul bogijeone yeogiseo dideonayahae (Awak buat apa lagi? Jom cepat! Kita kena pergi dari sini sebelum ada yang melihat)!"

Satu sergahan suara membuatkan gadis itu sedikit tersentak sebelum dia merengus kecil. Habis hilang senyuman kesukaannya sebentar tadi, diganti dengan wajah yang cemberut. Hatinya merusuh rasa tidak suka, mengerutu dengan libasan kata dari sang rakan. Mulutnya serta-merta mengomel dalam nada yang cukup perlahan sebelum dia berpaling lalu menjeling tajam ke arah rakannya yang menegur.

"Neo meonjeo gal su isseo (Awak boleh pergi dulu)!"

Lantang dia membalas dalam nada yang cukup kasar membuatkan rakannya itu mengerutkan muka, sedikit tersentak akibat dijerkah sebegitu. Lama dia memerhati riak tubuh si sahabat. Gadis itu langsung tidak mengendahkan perubahan wajah rakannya. Dia kembali ralit dengan kertas di tangannya hinggakan tanpa sedar dia mula mencari-cari sesuatu.

"Ahhh!"

Melihatkan tingkah gadis itu yang langsung tidak memperdulikan kata-katanya, akhirnya dia lantas berpaling lalu mula meninggalkan gadis itu berseorangan di dalam rumah tersebut dengan langkah yang tergesa-gesa. Malas nak diambil tahu untung nasib sahabatnya itu. Yang dia tahu, dia perlu meninggalkan rumah tersebut. Rumah yang sudah lama terbiar kosong tidak berpenghuni.

Gadis itu langsung tidak sedar dia sudah ditinggalkan bersendirian di dalam rumah tersebut. Dia terus asyik mencari-cari sesuatu. Sesekali dia menatap helaian kertas lusuh di tangan sebelum dileretkan senyuman lebar sebelum matanya kembali meliar ke sana dan ke sini. Hatinya berbunga-bunga rasa senang.

Tap...tap...tap...

Tidak semena-mena gegendang telinganya disapa bunyi langkahan kaki seseorang. Hanya sayup mencecah pendengaran namun masih tetap mampu membuatkan tingkahnya terhenti serta-merta. Lama dia berdiri kaku, cuba mengamati datangnya bunyi itu. Sepi. Bunyi itu bagaikan hilang dibawa angin lalu membuatkan dia kembali meliarkan matanya. Hempasan kelegaan dilepaskan panjang.

Tap...tap...tap...

Sekali lagi bunyi itu menyapa kolong telinga. Berdesir sayup dan cukup perlahan bunyinya. Dari jauh kedengaran derap langkah seseorang merapati dirinya. Derap langkah yang setara dan cukup teratur. Gadis itu pantas berpaling. Liar matanya menatap ke lorongan jalan yang menyambung ke ruangan tempat dia berada. Seminit. Dua minit menunggu. Tiada sesiapa yang memasuki ruangan itu.

"Ahhh! Jebal (Tolonglah!)"

Perlahan dia menggumam kegeraman dengan muka yang berkerut-kerut. Peluh yang merenek di dahi diseka rakus sebelum mulutnya mengomel kecil, meluahkan rasa tidak puas di hati. Pasti sahabatnya tadi yang sengaja ingin menakut-nakutkannya. Fikir gadis itu sendiri. Dia kembali berpaling lalu mula menyambung pencariannya semula. Pencarian yang tergendala dek usik-sakat si sahabat. Kononnya.

Tap...tap...tap...

Cuping telinganya kembali menangkap bunyi langkahan kaki seseorang sedang menghampiri. Selangkah demi selangkah, merapati dirinya. Pantas dia menoleh ke belakang sebelum dirayapkan pandangannya ke arah lorongan yang memisahkan antara ruangan tempatnya berada dengan ruangan di sebelah sana.

Kosong.

Tiada sesiapa di sana melainkan suasana yang suram dan kelam. Gadis itu serta-merta merasa seperti ada yang tidak kena. Mendadak rasa tidak sedap hati menghentak tangkai jiwanya. Entah mengapa, batang tengkuknya mula dirasakan kembang tanpa punca. Leliang romanya mula tegak merinding hingga melahirkan rasa seram yang bukan kepalang. Liur yang bertakung di laluan tekak dirasakan berpasir.

"Areumdaumeun jeojuyeyo. Geugeoseun dangsinuel jukilgeoyeyo!"

Perlahan satu desiran suara menyapa lubang telinga. Suara yang perlahan pada mulanya semakin lama semakin kuat dan saling bertimpa-timpa hingga membingitkan gegendang telinga. Gadis itu mula diserang rasa seriau yang menjelma tiba-tiba. Dia tidak pasti mengapa rasa itu datang dan menghantui dirinya. Jantungnya berdebar-debar, seakan mahu tercabut dari tempat ianya bergantungan.

"Nu...nugu...nuguseyo (Sii...siapa...siapa tu?)"

Dia bertanya, walau keberanian yang ada semakin menyurut dengan sendirinya. Batang tubuhnya sudah menggeletar hebat. Peluh dingin semakin ligat merembes membasahi permukaan wajah. Birai matanya mula berlinangan air, tunggu masa sahaja mahu pecah dan jatuh mengenai pipi. Dia cuba mengumpul keberanian yang semakin lama semakin menipis di dalam jiwanya.

"Areumdaumeun jeojuyeyo. Geugeoseun dangsinuel jukilgeoyeyo!"

Suara itu menggumam kata yang sama, berkali-kali dan saling bertimpa tanpa memperlihatkan batang tubuhnya membuatkan gadis itu semakin dihimpit rasa seriau. Hatinya bagai diramas pelbagai rasa, takut, seram, berdebar-debar. Semuanya merimpun menjadi satu. Namun, cuba dicekalkan hati yang semakin menyusut rasa berani. Perlahan kaki diatur, melangkah mendapatkan lorongan di hadapan yang kelam dan suram.

Setapak demi setapak kaki diatur dengan sisa-sisa keberanian yang ada. Tiap kali kakinya menapak ke hadapan, tiap kali itu jugalah jantungnya semakin kencang. Namun, dia tetap meneruskan langkahan kakinya hinggalah dia berada di antara dua ruangan. Alang-kepalang sudah membuah langkah, dia terus mara ke hadapan.

"Nugu...nuguseyo (Siapa...siapa tu)?" soalnya perlahan.

Sepi. Tiada balasan yang diterima membuatkan gadis itu merasa sedikit lega. Perlahan dia menjengah ke ruangan sana. Kosong. Tiada apa yang dapat dilihat melainkan ruangan yang sunyi tidak berpenghuni. Muka yang kebasahan dek simbahan peluh dingin diraup berkali-kali. Nafas kelegaan dilepaskan kasar. Hatinya membias rasa lega melihatkan tiada sesiapa di sana. Dia hanya bersendirian di dalam rumah terbiar tersebut. Tiada apa yang perlu ditakutkannya. Fikir gadis itu sendiri.

Tanpa sedar dia menggariskan senyuman nipis. Otaknya pula kembali ligat memikirkan tentang barang yang dicari belum ditemui. Perlahan dia berpaling. Namun, belum sempat dia mengatur langkah, matanya terkesan akan sesuatu. Serta-merta matanya membuntang besar sebaik pandanganya terkesan susuk tubuh itu. Badannya mula menggeletar. Segala sendi-sendi badan bagaikan lumpuh. Dia kekal berdiri kaku di tempatnya.

Nun di hujung sana terlihat satu susuk tubuh perempuan. Dengan rambut panjang hingga mencecah ke pinggang, mata yang bersinar merah menyala, perempuan itu sedang merenung tajam ke arahnya. Kulitnya kelihatan berbintil hitam dan bersisik-sisik. Darah merah pekat membasahi batang tubuhnya dengan lengan kirinya pula terkoyak besar dan rabak. Daging busuk bersememeh mengotori tangan. Dia menyeringai sebelum perlahan-lahan melangkah merapati si gadis.

"Areumdaumeun jeojuyeyo. Geugeoseun dangsinuel jukilgeoyeyo!"

Perempuan itu mendesis kata, kedengaran cukup sayup di gegendang telinga. Serentak itu juga, dia muncul betul-betul di hadapan wajah gadis itu. Sekejapan cuma, wajah gadis itu berubah pucat. Tidak lama, muncul bintil-bintil kehitaman di kulit tubuhnya. Semakin lama, batang tubuhnya mula kelihatan bersisik.

Perempuan itu menyeringai sinis, sebelum mulutnya kembali mendesis kata yang sama. Matanya yang merah menyala merenung tajam ke anak mata gadis itu. Gadis itu mula tercungap-cungap menahan lelah. Dadanya mula menyempit. Nafasnya menjadi sesak. Tidak lama, dia terjelopok jatuh dengan mulut yang ternganga. Dia kehabisan nyawanya di situ. Di dalam rumah tinggal yang sudah lama terbiar kosong.

Projek Seram Mitos - MiyongkkaeWhere stories live. Discover now