BAB 2

61 4 0
                                    


Itaewon-dong, Yongsan-gu, Seoul.


KERETA yang dipandu Brian Lee perlahan-lahan memasuki perkarangan sebuah rumah yang lumayan besar sebelum berhenti betul-betul di hadapan rumah tersebut. Brek tangan ditarik lalu enjin kereta dimatikan. Tidak lama, menderu dia keluar dari perut kereta diikuti enam yang lainnya.

"Urineun dochak haessda. Neohui modu jigeumbuteo yeogi meomuleul geokida. (Kita dah sampai. Inilah rumah yang akan diduduki kamu semua)," ujar Brian Lee sambil memandang ke arah Jiko.

"Ne, arrasseubnida! (Baik, kami faham)" balas Jiko.

Jiko meleretkan penglihatannya. Lima pasang mata yang tercengang-cengang memerhatikan perbualan antara dia dan Brian Lee dipandang sekilas sebelum dia tersenyum nipis. Tidak lama, deria pendengarannya disapa suara dari Brian Lee menyatakan dia mahu berpamit pergi. Jabatan tangan kembali terhulur sebelum lelaki itu mengatur langkah menerpa ke dalam kereta.

Sebaik kelibat Brian Lee menghilang bersama-sama kenderaannya, enam anak muda itu kembali membuang pandang ke arah rumah penginapan yang tersergam di hadapan mata. Reka bentuknya masih menerapkan ciri-ciri rumah Korea yang unik dan tersendiri. Laman rumahnya juga besar dan mampu memuatkan tiga buah kereta sekaligus pada satu-satu masa.

Meliar mata Mirhana meneliti kawasan yang mengelilingi rumah penginapan itu sedari kakinya memijak tanah lagi. Rumah penginapan yang dikelilingi pepohonan rendang membuatkan kawasan sekitarnya tampak redup dan menenangkan.

Dia menebarkan pandangan matanya ke kiri halaman. Terdapat sebuah kereta MPV yang mampu memuatkan tujuh orang penumpang terparkir sepi menarik perhatiannya sebelum matanya melirik pula ke bahagian kanan. Terdapat satu laluan pejalan kaki yang pendek yang menganjur ke kanan rumah lalu bersambung dengan sebuah gazebo kecil yang terbina di situ.

"Not bad..." gumamnya sendiri.

Pandangannya dirayapkan lagi memerhati kawasan rumah penginapan tersebut hinggalah sepasang matanya terkesan akan juntaian rambut yang datangnya dari susuk tubuh seseorang yang sedang mengendap kelakuan mereka di sebalik dinding rumah itu.

"Siapa tu?" desis Mirhana dengan kening yang bertaut.

Retina mata Mirhana terus-terusan memerhati dengan muka yang berkerut-kerut. Diamati betul-betul raut wajah susuk tubuh yang memerhati dirinya hinggalah matanya terkesan akan pandangan tajam yang datangnya dari sepasang mata yang sedang merenungnya kini. Pandangan mata mereka berlaga seketika.

Jantung Mirhana pantas berdegup kencang, menyentak semangatnya. Dadanya berdebar hebat melihatkan sepasang mata yang membulat. Jelas di penglihatan matanya, bebola mata susuk tubuh itu seakan tersembul dan berurat kemerahan sedang beradu pandang dengan dirinya. Dia mula berpeluh dingin.

"Mina!"

Sapaan suara Qadeeja membuatkan Mirhana tersentak kuat. Pantas dia menoleh ke arah Qadeeja dengan muka yang memijar pucat lesi. Qadeeja yang melihat serta-merta mengerutkan keningnya. Dia turut menoleh ke arah tempat yang dilihat Mirhana sedari tadi, namun, sepasang matanya tidak dapat mengesan apa-apa yang mencurigakan di sana.

"Kau kenapa? Okey tak ni?" soal Qadeeja lalu melangkah menghampiri Mirhana.

"Ak...aku...aku okey. Terkejut sebab kau sergah aku macam tu," balas Mirhana, sedaya upaya menyembunyikan apa yang dilihatnya sebentar tadi.

Projek Seram Mitos - MiyongkkaeWhere stories live. Discover now