JAM sudah menjengah ke angka 4:45 petang sebaik mereka keluar dari melawat The Mess & Beauty. Laju kaki diatur mendapatkan kereta yang kemas terparkir sebelum mereka meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta.
Enjin dihidupkan sebelum gear reverse ditolak. Perlahan kereta yang dipandu Jiko merangkak keluar dari kawasan The Mess & Beauty menuju ke jalan besar. Hampir sepuluh minit pemanduan, mereka sudah kembali semula ke rumah penginapan.
Jiko, Mueez dan Ammar langsung tidak bertangguh melangkah masuk ke dalam rumah penginapan tersebut manakala Mirhana, Erliisa dan Qadeeja mengambil keputusan untuk melepaskan lelah di gazebo yang terbina bersebelahan dengan rumah penginapan itu.
"Cantik jugak The Mess & Beauty di sini. Tak kalah cantik dengan di KL," ujar Erliisa memulakan cerita.
"Biasalah. Cik Atiqa mana suka kalau benda-benda yang tak berkenan di mata dia. Dia kalau boleh nak semuanya nampak cantik, nampak kemas," balas Qadeeja seraya tersenyum nipis.
"Tahu tak apa. Tambah lagi Cik Amira, cerewetnya lain macam," tambah Erliisa. Terbayang di tubir matanya wajah dua dari tiga pemilik The Mess & Beauty, tempatnya bekerja itu.
Mirhana hanya mendiamkan diri. Sengaja meletakkan dirinya sebagai pendengar di dalam perbualan di antara Erliisa dan Qadeeja hinggalah sesuatu menghentak memori ingatannya. Pantas direnung wajah dua sahabatnya silih berganti sebelum mulutnya ringan membuah kata.
"Eh! Kau orang ingat tak kertas kuning yang aku jumpa tadi?" soal Mirhana tiba-tiba.
Erliisa dan Qadeeja laju menganggukkan kepala. Masih jelas kertas kekuningan dan lusuh dengan aksara-aksara kata yang langsung tidak difahami mereka tercetak di atasnya terbayang di ruangan ingatan.
"Kenapa?" soal Qadeeja lembut.
"Jiko ada sebut kertas tu cakap pasal miyongkkae. Mandian bijan yang mampu mencantikkan dan menghaluskan kulit," ujar Mirhana menyambung kata.
"Tahu. Ada kau beritahu kita orang tadi. Tapi, kenapa dengan miyongkkae yang Jiko cakapkan tu?" soal Erliisa pula, ingin tahu.
Mirhana tidak terus menjawab. Otaknya ligat memikirkan samada mahu berkongsi cerita bersama dua sahabatnya itu atau pun tidak. Sejujurnya, dia langsung tidak mempercayai apa yang diungkapkan Jiko sewaktu menerangkan tentang kertas kekuningan dan kelihatan lusuh tersebut.
"Jiko cakap apa, Mina?" soal Qadeeja pula, mematikan lamunan Mirhana.
"Jiko ada baca sebaris ayat akhir dalam kertas tu. Maksud ayat tu macam kecantikan mampu membunuh. Hmm...beauty is a cursed! It can kills you!"
Mirhana membalas perlahan. Dihujung ayatnya turut diulang ungkapan yang dilafazkan Jiko kepadanya. Entah mengapa, kata-kata tersebut seakan bermain di mindanya. Hatinya pula seakan memberontak mahu menjalankan upacara mandian bijan tersebut. Lagi cepat, lagi senang hatinya.
"Huish! Seriously Mina? Jiko cakap macam tu?" tujah Erliisa laju.
Spontan diusap kedua belah lengannya yang tiba-tiba meremang sebaik Mirhana usai berkata-kata. Dikerling ke arah Qadeeja yang turut mengusap belakang tengkuknya yang kembang tanpa punca. Keduanya saling berpandangan sesama sendiri. Di hati membisik rasa tidak selesa.
"Ha'ah Jiko cakap macam tu. Tapi aku rasa Jiko saja nak takut-takutkan aku sebab aku macam excited sangat dengan mandian tu," balas Mirhana merumus kata.
YOU ARE READING
Projek Seram Mitos - Miyongkkae
Horror"Kecantikan itu akan membunuhmu!" Kedegilan Mirhana membawa padah apabila dia diganggu satu susuk seorang perempuan. Semenjak melakukan mandian miyongkkae tersebut, hidupnya dirasakan menempah malapetaka. Kelibat seseorang dengan paras rupa yang men...