KEADAAN agak kalut pagi itu. Erliisa terkocoh-kocoh bersiap dalam kadar sesegera mungkin. Lincah jari-jemarinya menyapu krim BB di muka sebelum diratakan. Kemudiannya, disapu bedak ke muka sebelum pemerah bibir dengan tona warna lembut dicapai lalu ditenyeh ke bibirnya yang mugil.
Pagi itu dia sudah kelewatan masa dek kerana ketiduran sesudah menunaikan Solat Subuh. Mujurlah suara Qadeeja menyapa Mirhana menyedarkannya dari lena. Sudahnya, dia sendiri yang berkelam-kelibut menyiapkan diri.
"Tak siap lagi ke, Liisa?" berdenting suara Qadeeja bertanya seraya menjengah ke dalam bilik sahabatnya itu.
Pertanyaan Qadeeja hanya dibiarkan sepi tidak berjawab. Pantas dia merapikan pakaiannya di hadapan cermin sebelum sikat dicapai lalu disisirkan ke rambut yang panjang sebahu. Dia menjeling melalui cermin meja, melihat ke arah pintu. Qadeeja masih ada di situ. Masih ralit memerhatikan dirinya yang kalut ke sana dan ke sini.
"Ish! Sepatutnya first day macam ni kita kena datang awal. Kena tunjukkan contoh yang baik untuk rakan sekerja di sini," ujar Qadeeja, mula memuntahkan bebelannya.
"Deeja! Aku rasa kau boleh tunggu aku dekat depan kot. Just give me five minutes and I'll be there," pantas Erliisa mengarahkan Qadeeja untuk pergi. Tidak sanggup rasanya ingin menadah telinga jika sahabatnya itu sudah mula membebel.
"As your wish!" Qadeeja segera menurut dengan garisan senyuman terukir di bibir.
Kaki diayun meninggalkan bilik Erliisa. Sempat dijeling ke arah pintu bilik Mirhana yang ternganga sewaktu melintasi bilik sahabatnya itu. Sorotan matanya menangkap susuk sahabatnya di sana sedang duduk menunduk menghadap cermin di meja solek.
"Cepat sikit Mina!" laung Qadeeja sambil berlalu pergi.
Qadeeja langsung tidak menyinggah di bilik Mirhana seperti yang dilakukan terhadap Erliisa. Langkah kaki terus diayun meninggalkan lorongan bilik itu mendapatkan Mueez, Ammar dan Jiko yang sudah menunggu di ruangan hadapan.
"Mina pun belum siap rupanya..." gumam Erliisa perlahan tatkala telinganya menyapa laungan Qadeeja.
Hatinya dijala rasa lega kerana dia tahu bukan dia seorang yang sudah kelewatan masa hari itu. Setelah dirasakan segalanya sempurna, Erliisa pantas mencapai beg tangannya lalu mula menapak ke arah pintu. Sebaik meloloskan diri, laju dia merentap pintu biliknya agar bertutup rapat. Kaki kembali diayun.
"Tak siap lagi ke Mina?" soal Erliisa sambil menjengahkan kepala ke dalam bilik Mirhana.
Mirhana diam tidak berkutik. Dia hanya menundukkan kepalanya ke bawah. Tingkahnya seakan sedang mencari sesuatu di atas meja soleknya itu. Soalan Erliisa sengaja dibiarkan berlalu sepi membuatkan sahabatnya itu menjungkit kening melihatkan reaksi balas darinya.
"Cepat sikit Mina, kita dah lewat ni rasanya," ujar Erliisa lalu mengerling jam di pergelangan tangan.
7.45 pagi. Dia tahu waktu di Korea awal satu jam berbanding di Malaysia. Maksudnya, waktu itu jam sudah menganjak ke angka 8.45 pagi. Cepat-cepat dia membetulkan jarum jam agar selari dengan waktu di negara tersebut. Tidak lama kemudiannya, kepala kembali dipalingkan ke dalam, memerhati ke arah Mirhana.
"Lama lagi ke, Mina?" soal Erliisa lagi.
Dia kembali menjengah ke dalam bilik Mirhana. Sahabatnya itu kelihatan sedang merenung dirinya di dalam cermin. Pandangannya tajam seolah-olah tembus ke dalam. Erliisa terus-terusan menilik kelakuan Mirhana yang dirasakan pelik. Dah kenapa pulak dia ni? Desis hati kecilnya.
Kelakuan Mirhana terus diperhatikan dengan muka yang berkerut-kerut hinggakan matanya terkesan akan anak mata Mirhana yang bergerak ke kiri. Anak mata itu bergerak selari ke arah tempat dia berdiri. Anak mata itu kini merenung tajam wajahnya. Erliisa tersentak kuat, hampir melayang jauh semangatnya saat itu.
YOU ARE READING
Projek Seram Mitos - Miyongkkae
Horror"Kecantikan itu akan membunuhmu!" Kedegilan Mirhana membawa padah apabila dia diganggu satu susuk seorang perempuan. Semenjak melakukan mandian miyongkkae tersebut, hidupnya dirasakan menempah malapetaka. Kelibat seseorang dengan paras rupa yang men...