The Mess & Beauty, Kuala Lumpur – 2017
WAJAH Mirhana berseri-seri sewaktu melangkah keluar dari bilik mesyuarat The Mess & Beauty. Rasa teruja kian menyucuk-nyucuk tangkai hatinya membuatkan tanpa sedar dia mengulum senyuman kecil. Langsung tidak dipedulikan mata-mata yang memandang. Dia terus mengayun langkah dengan senyuman kecil terukir di bibir.
"I harap you all dapat jalankan tugas sebaiknya di Itaewon nanti. Rakan setugas kita di sana perlukan pengalaman macam you all semua. Maklum sajalah, mereka semua masih baru di sana, masih tak ada pengalaman dalam pengendalian kerja macam kita di sini. Nanti Yoonie akan jemput kamu semua di airport."
"Macam mana kami nak kenal Yoonie tu?" soal Mirhana laju, penuh teruja.
"Jangan risau. Yoonie tu adik Jiko. Tak menjadi satu masalah untuk kamu semua di sana nanti. Ingat Jiko, apa-apa hal di sana nanti, kamu cari Yoonie. Saya dah serahkan segala urusan berkaitan kamu semua sepanjang di sana pada dia."
Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Cik Atiqa sewaktu mereka di dalam bilik mesyuarat sebentar tadi. Dan sejak itulah bibirnya tidak sudah-sudah mengulum senyuman kesukaan. Perasaannya berbunga-bunga, mekar tanpa dipaksa. Jika diikutkan hatinya yang gembira, ingin disoraknya sahaja sewaktu mendengar perkhabaran itu.
"Senang hati nampak," sapa Wendy, gadis cina yang berselisih dengannya.
Mirhana hanya membalas dengan melebarkan lagi senyuman yang bergaris di bibir merah menyalanya itu. Sejenak dia mengerling ke belakang, memerhati satu per satu wajah-wajah yang mengekori langkahnya menuju ke ruangan kerja mereka di Bahagian Pentadbiran dan Ujikaji di syarikat mereka itu.
"Malasnya aku nak outstation ke Itaewon tu. Confirm berlambak kerja yang menanti kita di sana," ujar Erliisa separuh merungut dengan muka yang terbias riak cemberut seraya mendekati ruang kerjanya.
"Kerja kita dekat sini pun boleh tahan banyak jugak Liisa," balas Ammar lalu tersenyum nipis.
Erliisa turut melempar senyuman kecil sebelum ditalakan pandangan matanya memerhatikan wajah-wajah yang sedang menatapnya kini lalu diraup rambutnya yang terjuntai di dahi. Dia terkebil-kebil kemudiannya, menanti bicara balas dari sang teman yang mendengar.
"Aku rasa, yang paling seronok dapat bertugas di Itaewon tu cuma dua orang aje dari kita berenam ni. Mina dan Jiko. Mina sebab dia memang dah lama pasang angan-angan nak pergi ke Korea sana tu. Jiko pulak tentulah sebab dapat balik negara dia, kan? Tak sangka pulak adik kau pun kerja di The Mess & Beauty ni," ucap Qadeeja menujah kata membuatkan senyuman di bibir Mirhana semakin melebar.
"Dapat balik Korea tak semestinya aku dapat balik rumah aku. Kita kena menginap di rumah yang syarikat sediakan, remember? Plus, I came from Mapo. Bukannya Itaewon!" bidas Jiko, pemuda berdarah kacukan Jepun-Korea yang sudah lama bermastautin di Kuala Lumpur. Bahasa Melayu yang dituturkannya juga tidak kedengaran pelat sama sekali.
"Jauh ke Mapo dengan Itaewon tu, Jiko? Jauh ke dengan Seoul?" laju Mirhana bertanya membuatkan mereka yang mendengar menggelengkan kepala. Tahu benar mereka rasa teruja yang membuak-buak di dalam jiwa gadis itu.
"Not really far. Dalam sepuluh hingga lima belas minit driving. And actually, Mapo dan Itaewon tu dalam Seoul jugak. Kami di sana panggil districts city," balas Jiko lalu menyengih lebar.
"Tak adalah jauh. Aku ingat macam dari KL ke JB. Kalau kau nak balik rumah kau bila-bila masa aje kot," bidas Qadeeja.
Jiko semakin melebarkan sengihannya melihatkan reaksi Qadeeja. Dapat diagak reaksi sedemikian rupa yang bakal diterima jika mereka tahu jarak antara Mapo dan Itaewon yang hanya sekangkang kera itu.
"So, kita ke sana tiga hari lagi. Sediakan segalanya secukupnya sebab kita bertugas di sana dalam tempoh yang tidak dapat ditetapkan berakhirnya bila. Just get prepared mental and physical before we go there," ujar Mueez selaku ketua di Bahagian Pentadbiran dan Ujikaji.
Mereka hanya mengangguk kecil mendengarkan bait-bait pesanan yang terbit dari mulut Mueez sebelum mendapatkan meja kerja masing-masing. Walau seberapa banyak perasaan yang muncul setelah mendapat perkhabaran tentang tugasan mereka di salah sebuah cawangan mereka di Itaewon, tugasan yang berada di depan mata perlu diselesaikan juga.
Lapangan Terbang Incheon, Seoul – 2017
BRIAN Lee melirik jam di pergelangan tangan sebelum menyeka peluh yang merenek di dahi. Peluh yang berjejeran hingga ke batang lehernya juga turut diseka. Nafas diatur perlahan dengan mata yang meliau ke sana dan ke sini mencari seseorang. Dia sudah kelewatan masa untuk menjemput enam rakan setugas yang tiba dari Malaysia. Semuanya gara-gara Yoonie yang tiba-tiba mengarahkan dia untuk menjemput rakan sekerjanya. Sepatutnya itu kerja dia!
Matanya semakin galak diliarkan memerhati sekeliling ruangan menunggu itu. Pelbagai jenis manusia yang memenuhi kawasan tersebut terlihat berpusu-pusu di matanya. Barangkali mereka sedang mengurus kerja dunia. Fikir Brian Lee sendiri sebelum tangan kiri diangkat lalu dia sekali lagi melirik jam yang terlilit elok di pergelangan tangannya.
Sedikit keluhan dihempaskan keluar sebelum Brian Lee kembali merayapkan pandangan matanya. Dia kembali memerhati tingkah manusia yang mengayun langkah menuju ke destinasi sendiri. Berkejaran mengejar waktu yang tidak mungkin akan kembali setelah dilewati.
Tanpa sedar, dari jauh Mirhana, Mueez, Jiko, Ammar, Qadeeja dan Erliisa melangkah merapati dirinya. Dan tingkah keenam dari mereka langsung tidak dapat dijangka Brian Lee. Mereka tidak pernah bersua muka. Kerana itulah amat sukar baginya untuk mengesan ketibaan mereka.
"Annyeong haseyo. Dangsineun Brian Lee-ssi ibnikka? (Hai, awak ni Brian Lee ke?)" Perlahan suara Jiko menyapa membuatkan Brian Lee sedikit tersentak.
Jiko hanya tersenyum nipis melihatkan telatah lelaki itu. Dia awal-awal sudah dimaklumkan tentang adiknya yang tidak dapat menjemput mereka kerana terdapat tuntutan kerja yang lebih mustahak perlu diuruskannya.
"Ne...ne...madjayo! Annyeong haseyo... (Ye...ye...)" balas Brian Lee sedikit kalut.
"Jeoneun Malleisia-eseo on, Woo Jiko ibnida (Saya Woo Jiko, dari Malaysia)," ujar Jiko memperkenalkan diri.
Pantas dia mengangguk lalu menghulurkan tangannya lantas mereka berdua berjabat seketika. Kemudiannya, dihulurkan juga tangannya ke arah Mueez dan Ammar lalu disambut seperti kebiasaannya. Buat Mirhana, Qadeeja dan Erliisa, dia hanya sekadar mengangguk kecil. Sedikit sebanyak dia tahu budaya orang Melayu di Malaysia.
"Wooriga dangsinui jipe gagi jeone meonjeo naneun dangsineul Itaewonee issneun woori hoesaro deryeogalgeoyeyo. (Saya akan bawa awak semua ke syarikat kita di Itaewon dahulu sebelum kita ke rumah yang akan diduduki kamu semua)," ujar Brian Lee sebelum mula mengayun langkah.
"Woorineun meonjeo The Mess & Beauty e galgeoyeyo? (Kami pergi ke The Mess & Beauty dahulu)?" soal Jiko laju.
"Ne madjayo. Dangsinhonja jeogileul gayahagi ddaemune naneun ojik gilman boyeojulgeoyeyo. Woorineun dangsini sayong hal chaleul jegong habnida. Naneun i daeume yeolsoeleul neomgyeojulggeyo. Dangsineun unjeoneul hal su isseoyo, geuleochyo? (Saya hanya tunjukkan jalan, sebab lepas ni kamu semua akan pergi sendiri ke sana. Di rumah ada disediakan kereta buat kamu semua. Kuncinya nanti saya akan beri. Awak boleh memandu, kan)?" balas Brian Lee.
Jiko hanya mengangguk kecil. Hatinya meruap rasa lega apabila diberitakan tentang mereka akan diberikan sebuah kereta buat kegunaan mereka sehari-hari. Jika tidak, pasti sukar buat mereka untuk pergi ke mana-mana kelak. Tanpa sedar, dihempasnya nafas kelegaan yang cukup perlahan.
Tidak lama, kaki diayun mendapatkan kereta yang diparkir di kawasan yang disediakan. Sekejapan cuma, mereka sudah berada di dalam perut kereta. Perjalanan sejauh 49.4km menuju ke Itaewon diisi tanpa banyak bicara. Baik Brian Lee mahu pun enam yang lainnya lebih selesa mengunci mulut dan mendiamkan diri.
YOU ARE READING
Projek Seram Mitos - Miyongkkae
Horror"Kecantikan itu akan membunuhmu!" Kedegilan Mirhana membawa padah apabila dia diganggu satu susuk seorang perempuan. Semenjak melakukan mandian miyongkkae tersebut, hidupnya dirasakan menempah malapetaka. Kelibat seseorang dengan paras rupa yang men...