PROLOG

359 9 0
                                    

"Iblis menjawab: 'Karena Engkau telah menghukumku tersesat, maka aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan-Mu yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."

Surah Al-A'Raaf Ayat 16-17

Kampung Wang Merak, Grik, Perak

Tahun 1952

KAMPUNG WANG MERAK sedang diancam pengganas komunis. Kampung-kampung bersebelahan semuanya telah dirobek pengkhianat negara itu. Bekalan makanan penduduk kampung dirampas. Anak gadis diganggu, ada yang diperkosa dan diculik. Kejahatan askar komunis tidak banyak bezanya dengan kempeitai Jepun dulu.

Sebagai ketua kampung yang diamanahkan untuk menjaga keamanan Kampung Wang Merak, Haji Sulaiman mengumpulkan pemuda-pemuda kampung yang gagah perkasa untuk berkubu mempertahankan setiap penjuru kampung mereka. Tindakan itu berjaya menghalang kemasukan askar-askar komunis ke kampung tersebut. Namun ada sesuatu yang tiba-tiba saja mengganggu lelaki separuh baya itu.

Malam itu Haji Sulaiman didatangi satu mimpi yang sangat pelik. Ketika sedang berjaga di beranda rumahnya dia tertidur dalam keadaan duduk dengan bersandar di dinding beranda. Dalam mimpi itu dia didatangi seorang lelaki tua berjubah dan berjanggut putih panjang hingga mencecah ke hujung kuku kakinya.

Dalam mimpi itu, lelaki tua berjanggut putih yang memegang tongkat itu mengarahkan dia supaya bersembunyi sahaja di rumah pada esok malamnya kerana bantuan untuk menghapuskan komunis itu akan tiba sebagaimana yang dia selalu doakan. Malah lelaki tua berjubah putih itu juga meminta supaya Haji Sulaiman mengarahkan semua anak buahnya yang sedang berkawal di kubu supaya pulang dan bersembunyi saja di dalam rumah masing-masing.

"Jangan ada siapa pun yang keluar dari rumah masing-masing. Kalau tidak, nasib kamu dan musuh-musuh itu tidak akan ada bezanya. Kamu faham maksud aku?" Lelaki tua itu berwajah serius.

Matanya merah menyala. Ketika terjaga daripada mimpinya, Haji Sulaiman terpinga-pinga. Hatinya jadi resah. Wajahnya disimbahi peluh. Selepas selesai bersolat subuh di surau pagi itu, dia bertanyakan tentang mimpi tersebut kepada sahabat baiknya, Zakaria kerana dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang cuba disampaikan kepadanya. Zakaria berwajah serius ketika mendengar kisah mimpi tersebut.

Setelah mempertimbang dan berbincang dengan Haji Sulaiman, Zakaria percaya mimpi itu adalah mimpi yang benar. Dan segala arahan yang diberikan itu haruslah diikuti.

"Lagipun kita tak tahu bantuan bagaimana yang Allah akan berikan kepada kita semua. Mungkin ini petanda dan alamat yang kemenangan akan berpihak kepada kita, Man. Apa-apa pun kita kena yakin dan tawakal."

Kata-kata Zakaria membuatkan Haji Sulaiman terdiam seketika.

"Semalam aku dapat berita yang komunis dah masuk ke Kampung Tirai tak jauh dari kampung kita ni. Habis semua bekalan beras orang kampung dicurinya. Anak-anak dara ada yang diperkosa. Ada yang dibunuh. Aku tak nak benda yang sama berlaku kat kampung kita ni, Man. Kita kena bertindak sebelum terlambat. Apa saja bantuan, daripada siapa sekalipun, kita kena terima."

Haji Sulaiman mengeluh dalam hati. Dia tiada pilihan lagi. Petang itu dikumpulkan semua pemuda kampung yang sedang berkubu dan diarahkan supaya kesemua mereka pulang bersembunyi di rumah masing-masing. Kesemuanya terkejut dengan arahan tersebut.

"Kenapa pulak tok? Takkan kita nak tengok saja komunis laknat tu masuk ke dalam kampung kita ni tok?"

Haji Sulaiman sendiri tidak pasti dengan arahan yang dia sendiri keluarkan. Wajahnya berkerut. Lidahnya jadi kelu untuk menerangkan. Pemuda-pemuda itu masing-masing kehairanan. Namun, disebabkan rasa hormat kepada Haji Sulaiman, mereka terpaksa akur dan masing-masing pulang ke rumah dengan perasaan yang berbelah bahagi dan hampa.

Malam itu Haji Sulaiman tidak dapat tidur. Hatinya gelisah memikirkan askar komunis yang pastinya sudah berjaya menerobos masuk ke sempadan kampung mereka. Apa yang akan jadi kalau mimpi lelaki tua berjanggut itu hanyalah semata-mata mainan tidur? Bagaimana kalau disebabkan percaya pada mimpi itu, ada anak gadis orang kampung yang diperkosa atau dibunuh malam ini?

Haji Sulaiman rasa sangat tak tenang. Lebih kurang jam 11.00 malam, hujan turun dengan lebatnya. Angin ribut yang begitu kencang terasa menggoncang rumah kayunya. Sayup di hujung telinga, terdengar bunyi-bunyi aneh yang pelik. Ada seakan-akan bunyi harimau yang sedang menerkam mangsa, ada juga bunyi jeritan dan lolongan manusia yang menyeramkan. Bunyi-bunyian itu bercampur baur dengan deruan angin kencang dan curahan air hujan yang tersangat lebat.

Esoknya seluruh Kampung Wang Merak gempar apabila penduduk kampung mula keluar dari rumah masing-masing. Mayat askar-askar komunis bertaburan di sana sini. Mayat mereka kelihatan sangat ngeri dengan kesan cakaran, gigitan dan ada juga antara mayat-mayat itu yang hilang anggota badannya. Ada yang putus kepala. Ada yang hilang tangan mahupun kaki dan kesemuanya bertaburan di serata ceruk kampung.

Haji Sulaiman jatuh terduduk sambil beristighfar dalam hati. Bantuan jenis apakah ini? Siapakah yang membantu hingga kesemua komunis ini mati dalam keadaan ngeri sebegini? Hatinya mula tertanya-tanya. Fikirannya berkecamuk dan setiap kali ada penduduk kampung yang datang memaklumkan ada lagi mayat baru yang dijumpai, tubuhnya akan menggigil dan perasaan bersalahnya jadi semakin menebal.

Ya Allah, ya Tuhanku, dugaan apakah ini? Haji Sulaiman tertanya-tanya kepada dirinya sendiri. Perlahan-lahan perasaan menyesal mula terbit dari lubuk hatinya yang paling dalam sekali.

40 HARIWhere stories live. Discover now