BAB 6

185 6 2
                                    

TRITON putih itu berjajar perlahan menyelusuri sebatang jalan mini tar yang berlopak. Di sebelah kiri jalan tar tersebut penuh dengan semak samun. Manakala di sebelah kanannya pula pokok-pokok getah bersusun sejauh mata memandang.

Suasana pagi yang begitu suram dan berkabus itu memaksa Rodzy memandu dengan perlahan, bimbang kalau-kalau ada kenderaan yang datang dari arah hadapan tanpa disedarinya. Rahim pandang kiri dan kanannya.

"Betul ke jalan ni Lee?" Rahim mencuit bahu Zalee. Sahabatnya itu menarik nafas panjang.

"Seingat aku, betullah jalan ni. Dari Pekan Grik tadi, ikut jalan besar lebih kurang 10 kilometer, ada pekan kecil ambik simpang ke kanan. Lebih kurang dua kilometer lepas tu, ada mini tar sebelah kiri, masuk situ lebih kurang 15 kilometer, then sampailah ke Kampung Wang Merak. Betullah ni."

Rahim garu kepalanya yang tidak gatal.

"Kalau ikutkan yang kau cakap tu, betullah tempat ni. Cuma yang aku peliknya, dah lama kut kita lalu kat jalan ni, takkan tak sampai-sampai lagi?" Rodzy mula resah.

Zalee pandang kiri dan kanannya. Dahinya berkerut.

"Kalau kau orang perasan, kita dah lalu sini tadi."

Zalee mengeluh mendengar kata-kata Rahim. Rodzy hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu meluahkan keresahan yang berkubang dalam hatinya.

"Lagi satu, kalau betul ada kampung kat dalam ni, takkanlah kita tak jumpa sesiapa pun yang lalu-lalang time-time macam ni? Sekurang-kurangnya budak-budak yang nak ke sekolah."

"Kat dalam kampung sana tu ada sekolah." Zalee pantas menjawab kerana dia tidak mahu rakannya itu berfikir yang bukan-bukan walaupun dia sendiri sudah mula rasa curiga. Dia membaca ayat Kursi dalam hatinya.

"Lee, aku rasa tak sedap hatilah." Rodzy pula tiba-tiba bersuara. Apa yang bergelodak dalam hatinya terlepas juga keluar di mulutnya.

"Kau perasan tak yang kabus ni dah makin tebal? Dah sampai tak nampak jalan dah ni. Sepatutnya kabus ni dah makin kurang, bukannya makin tebal."

Zalee mengangguk kecil, mengiakan rungutan Rodzy. Dia mengerling jam di dashboard pacuan empat roda tersebut yang menunjukkan pukul 8.35 pagi.

"Tak apa Zi, kau terus aje jalan. Baca ayat Kursi semoga jalan yang tertutup tu Allah akan bukakan kembali untuk kita. Insya-Allah."

Kata-kata Zalee membuatkan Rodzy dan Rahim diam. Triton putih itu terus berjajar perlahan menelusuri jalan tersebut yang semakin ditenggelami kabus yang sangat tebal.

Rodzy menyalakan lampu hadapan kenderaannya. Keadaan sekeliling yang tadinya semakin cerah dengan cahaya matahari yang bersinar terang sekarang menjadi semakin malap dan suram. Kabus jadi semakin tebal. Rodzy menelan liur. Entah kenapa dia rasa lemas dan gelisah. Terasa seolah-olah kabus itu sedang menyerkup wajahnya membuatkan dia terasa sukar untuk bernafas.

Keadaan yang semakin pelik membuatkan dia menggeleng kepala lalu memberhentikan Triton yang sedang dipandunya betul-betul di tengah-tengah mini tar tersebut. Dia membuka pintu lalu turun dari kenderaan tersebut. Begitu juga dengan Zalee.

"Kita kat mana ni Lee?"

Soalan Rodzy membuatkan dahi lelaki itu berkerut. "Entahlah. Aku pun buntu. Inilah jalan yang aku gunakan untuk ke tempat tu. Aku yakin memang ini jalannya."

Rodzy menghela nafas berat. Dia menepuk-nepuk bahu Zalee beberapa kali.

"Aku rasa mesti ada benda yang tak kena sekarang ni. Apa-apa pun, kita kena cari jalan keluar dari tempat ni."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 24, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

40 HARIWhere stories live. Discover now