BAB 1

212 6 0
                                    

Kuala Lumpur

Tahun 2017

ZALEE membetulkan duduknya. Rodzy sedang memandu dengan tenang sementara Rahim yang duduk di belakang sedang bernyanyi-nyanyi kecil. Mereka bertiga dalam perjalanan ke lubuk ikan di sebuah kawasan air terjun yang terletak di pedalaman negeri Perak.

Lokasi itu khabarnya selalu menjadi lokasi pemancing seperti mereka yang sukakan kesunyian dan cabaran berkhemah di dalam hutan dara yang jarang dimasuki oleh orang lain. Tempatnya agak jauh, terpaksa merentas sebuah tasik bernama Tasik Biru dan perkampungan orang asli.

"Lee, kau dah confirmkan ke belum dengan kawan baik kau kat Grik tu? Jangan esok pagi kita sampai sana, tak ada orang sambut pulak. Aku kalau boleh nak terus ke lubuk tu aje besok. Tangan aku dah gigil nak naikkan sebarau dengan kelah ni."

Rahim bersuara tiba-tiba. Matanya masih tertumpu ke skrin telefon bimbitnya. Video lubuk kelah dari laman YouTube yang sedang ditontonnya benar-benar membuatkan dia rasa semakin teruja.

"Dah. Aku dah call dia dah pagi tadi. Dia cakap, esok kita sampai aje kat Grik, call dia sekali lagi. Dia akan terus bawak kita ke lubuk tu. Tapak khemah pun memang betul-betul kat tepi sungai tu. Aku pun baru sekali aje sampai ke tempat tu selama aku tinggal kat sana dulu."

Zalee bersuara membuatkan Rahim jadi tambah teruja. Sebatang rokok dinyalakan dan kemudian asap dihembusnya berkepul-kepul ke tingkap kereta yang terbuka separuh.

"Tapi seriuslah aku cakap dengan kau orang, tempat tu memang betul-betul kat tengah-tengah hutan. Jadi, aku harap kita jangan seronok sangat sebab kita memang tak tahu benda apa yang kita akan jumpa kat dalam hutan tu nanti."

Rahim berhenti menonton video di telefon pintarnya. Dia menghela nafas panjang. "Kau ni Lee... Buat aku hilang semangat ajelah."

Rodzy telan liur.

"Aku cuma ingatkan aje. Tak nak kau orang tu seronok sangat bila kita sampai ke tempat tu nanti. Kita kena ingat, hutan tu kan tempat tinggal macam-macam makhluk yang kita tak tahu. Yang kita tak nampak, tapi sebenarnya mereka boleh nampak kita."

Rodzy diam dan matanya terus difokuskan ke jalan raya di hadapannya. Kedengaran bunyi nafas Rahim yang duduk betul-betul di belakang Zalee yang sedang turun naik. Zalee sedut lagi asap rokoknya sambil memandang Rahim melalui cermin pandang belakang.

"Apa nama kampung yang terdekat dengan lubuk tu Lee?" soal Rodzy yang sedari tadi hanya berdiam diri.

"Kampung Wang Merak. Tempat tu memang pedalaman sikit. Kalau dari Pekan Grik nak ke kampung tu kita kena lalu jalan mini tar lebih kurang 15 kilometer."

"Wau. Boleh tahan jugak jauhnya tu."

Rodzy mengangkat kening. "Sebab itulah aku ajak kau orang pergi sana dengan pickup kau ni. Kalau naik kereta biasa, tak berapa nak sesuailah nak masuk ke tempat macam tu."

Rodzy mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Pelik pulak aku dengar nama kampung tu. Wang Merak? Ramai ke penduduk kat kampung tu?" Rahim pula menyoal.

Zalee jongket bahu. "Entahlah. Aku pun jarang sebenarnya masuk ke kampung tu dulu sebab jauh sangat dengan jalan besar. Lagipun kita bukannya nak singgah kat kampung tu pun, kita cuma nak lalu aje sebab jalan di hujung kampung tu adalah jalan yang paling dekat sekali untuk ke jeti bot di Tasik Biru."

Rahim mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Tak ada hantu ke kat kampung pedalaman macam tu, Lee? Seram pulak aku dengar nama kampung tu."

Soalan Rodzy membuatkan Zalee tersengih. Dia dapat membaca niat sahabatnya itu untuk menakut-nakutkan Rahim yang memang terkenal dengan sifat penakut semula jadinya.

"Kau ni kan Zi... Kau suka sangat nak takutkan aku yang sudah sedia takut ni." Rahim garu kepala. Bulu romanya mula meremang.

Dia tahu yang Rodzy paling suka menyakatnya dengan kisah-kisah seram yang kadang-kadang tak wujud pun sebenarnya dan hanya direka-reka. Tapi, dia tetap akan rasa takut.

"Sebenarnya memang ada banyak jugak kisah misteri yang pernah berlaku kat kampung tu. Serius, sumpah aku tak tipu. Cerita dia memang pelik sikit. Terpulanglah kat kau orang nak percaya ke tak."

Rodzy mengerling Zalee. Rahim pula hanya diam di belakang.

"Ceritalah, Lee. At least cerah sikit mata kita malam-malam ni. Aku pun malas nak speed sangat. Bawak slow-slow ni kalau tak ada cerita yang menarik, mata cepat mengantuk."

Rahim tiba-tiba saja mencelah. "Kita cerita pasal benda ni esok pagi aje tak boleh ke?"

Zalee dan Rodzy ketawa serentak. Rahim tersengih. Zalee tarik nafas dalam-dalam dan bersedia untuk bercerita tentang urban legend yang pernah dan sebenarnya masih lagi berlaku di kampung itu hingga ke hari ini.

"Kau orang pernah dengar pasal cerita roh orang yang dah mati balik ke rumah keluarganya selama 40 hari selepas kematiannya?"

"Balik ke rumah macam cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah tu ke?"

Soalan Rodzy disambut dengan ketawa daripada Rahim dan Zalee. Tapi ketawa Rahimlah yang paling kuat sekali.

"Pengaruh wayang betullah kau ni." Rahim mengekek ketawa.

Zalee meraup wajahnya sambil tersengih. "Weh, ini betul-betul balik. Serius aku tak tipu kau orang. Roh si mati tu memang betul-betul balik ke rumah dan ahli keluarga dia boleh nampak benda tu ada dalam rumah dia orang."

Rahim berhenti ketawa. "Kau ni biar betul Lee. Mana ada roh boleh balik-balik rumah semua ni. Khurafat kau tahu tak."

Dia menggosok bulu roma yang mula tegak di lengannya. Zalee menyedut lagi asap dari batang rokoknya yang masih bernyala.

"Kisah ni sebenarnya lebih kurang macam satu sumpahan. Yang terkena sumpahan tu cuma keturunan Haji Sulaiman ni saja. Dan kalau kau orang nak tahu, Haji Sulaiman tu memang berasal dari Kampung Wang Merak dan dia pernah jadi ketua kampung kat situ puluhan tahun yang lalu."

Rahim mendengus. "Punyalah banyak tempat memancing, tempat berpuaka macam tu jugak yang kau cari dah kenapa Lee? Kalau kita lalu kat sana nanti macam mana kita nak tahu yang mana orang betul yang mana satu bukan?"

Rahim bersuara serius. Wajahnya juga nampak sangat serius. Tapi keseriusannya itu tidak dipedulikan langsung oleh Zalee dan Rodzy. Buat ke sekian kalinya dia diketawakan oleh kedua-dua sahabatnya itu. Rahim mendengus lagi.

"Hah gelaklah. Gelak puas-puas. Esok kalau benda tu ganggu kita semua baru padan muka kita bertiga. Time tu nanti jangan nak salahkan aku tak nasihat kau orang supaya jangan pergi ke tempat macam tu." Rahim menekan suara.

Zalee dan Rodzy terus ketawa mengekek. Rahim yang bosan nak mendengar gelak ketawa dua sahabatnya itu menyandarkan tubuhnya ke kusyen kereta sambil membebel-bebel seorang diri.

"Aku ada satu cerita pasal sumpahan Haji Sulaiman ni. Benda ni kawan baik aku yang kita nak jumpa besok nilah yang ceritakan dengan aku."

Rahim mendengus lagi. Dia menggaru-garu kepalanya kerana dia tahu Zalee akan mula bercerita dan ceritanya pula selalunya memang menyeramkan. Dahlah aku duduk sorang-sorang kat belakang ni. Rahim telan liur. Bulu romanya mula berdiri.

"Cerita ni pasal apa yang berlaku kepada satu keluarga yang merupakan keturunan terdekat arwah Haji Sulaiman. Kisah ni berlaku di sebuah kampung di Kedah lebih kurang tiga tahun yang lalu. Nama kampung aku pun tak tahu sebab memang dirahsiakan. Malam tu sebenarnya malam raya..."

Zalee memulakan ceritanya.  

40 HARIWhere stories live. Discover now