BAB 5

148 5 0
                                    

RAIZAL meninggalkan restoran mamak itu dengan perasaan yang berbaur. Sesekali ada lintasan lembaga hitam yang selalu mengganggunya. Raizal menggenggam stereng keretanya dengan kemas.

Dia memandu keretanya dengan tenang untuk pulang ke rumah. Jam di dashboard keretanya menunjukkan pukul 11.00 malam. Pelbagai lembaga melintasi di hadapan kereta yang sedang dipandunya, namun tidak diendahkan. Kata-kata Bakri tadi terngiang-ngiang di telinganya kembali.

"Aku akan tolong kau cari idea-idea baru yang lebih fresh dan lebih mantap. Aku yakin kalau kau ikut betul-betul apa yang aku nak aturkan untuk kau kali ni, nama kau akan gah kembali, bro."

Dia pandang wajah Bakri dalam-dalam. "Aku dah tak ada idea. Entahlah. Aku pun tak tahu macam mana nak beritahu kau. Mood nak menulis pun dah ke laut."

"Tak apa, yang itu kau jangan risau. Aku akan uruskan. Kerja kau, tulis aje cerita tu sampai siap. Then kita publish. Kalau ada produser yang nak filemkan novel tu lagi bagus. Kita buat benda yang orang jarang buat. Keluarkan filem dulu, baru publish novel."

Raizal angkat kening. "Boleh ke macam tu?"

Bakri ketawa. "Kalau aku yang aturkan, insya-Allah boleh."

Raizal tersenyum tawar.

"Macam ni... Aku plan untuk launch satu e-contest. Aku nak namakan e-contest tu, Ilham Kisah Seram. Pertandingan tu nanti terbuka kepada sesiapa saja. Hadiah utama RM1000. Kisah atau idea yang paling seram akan menang hadiah tu."

Dahi Raizal berkerut. "E-contest? Macam mana peserta nak hantarkan kisah seram tu?"

"Mereka cuma perlu taip cerita tu dalam Twitter. Buat thread dan thread yang paling banyak like dan retweet akan menang. Simple."

Raizal mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Nak join pertandingan ni mudah aje. Buat thread dan letakkan saja hashtag Ilham Kisah Seram. Aku yakin ramai yang akan join pertandingan tu nanti. So, aku rasa dengan cara tu kau boleh baca dan nilai idea-idea cerita seram yang ada tu. Lepas tu, pandai-pandai kaulah olah semula. Aku tahu tu memang kepakaran kau. I'll leave it to you."

Raizal hela nafas panjang. Kereta yang dipandunya melewati sebatang jalan sunyi sebelum tiba di persimpangan taman perumahan tempat tinggalnya. Satu lembaga lelaki tanpa kepala kelihatan berdiri di tepi sebatang pokok yang rendang. Raizal mengerling sekilas ke arah lembaga tersebut yang nampak samar-samar disimbahi cahaya lampu jalan.

Sedang dia melayan perasaannya, Toyota Camrynya tiba-tiba saja bergegar. Raizal menggeleng-gelengkan kepalanya. Setiap hari gangguan itu menjadi semakin kasar dan biadab. Terutamanya selepas Dandalina keluar dari rumah mereka. Gangguan itu jadi semakin melampau dan kadangkala hingga ke tahap mencakar dinding batu dan pintu biliknya, hampir setiap malam.

Lembaga manusia tanpa kepala yang dilihatnya tadi sebenarnya sudah kerap mengganggunya sampaikan dia dah hilang rasa takut. Cuma kadang-kadang dia terperanjat kerana munculnya tidak beramaran.

Raizal menekan pedal minyak. Kereta Toyota Camry yang sedang dipandunya itu meluncur lebih laju berbanding tadi. Sekali lagi bumbung kereta itu bergegar, seolah-olah ada benda yang besar, keras dan berat jatuh menghempap.

Dia mendengus. Kakinya semakin keras menekan pedal minyak. Hatinya tiba-tiba saja terasa panas. Kesabarannya mula hilang. Raizal memandang tepat ke arah jalan raya yang gelap di hadapannya. Toyota Camry itu sedang meluncur dengan cukup laju ketika tubuh lembaga tidak berkepala itu tiba-tiba saja melekat di cermin hadapan keretanya.

40 HARIWhere stories live. Discover now