RUMAH kayu dua tingkat itu nampak meriah dan ceria. Deretan pelita raya dipasang di kiri dan kanan susur jalan menuju ke rumah tersebut dari jalan besar, menerangi jalan yang dilapisi batu kerikil merah itu. Dua tiga lopak sebesar talam kenduri yang ada di sepanjang jalan tersebut, digenangi air yang keruh warnanya. Mungkin kesan hujan lebat yang sudah lebih seminggu melanda kampung ini.
Haji Hussin dan Hajah Limah, tuan punya rumah kayu yang sedap mata memandang ini kelihatan sibuk. Haji Hussin meraup wajahnya yang dibasahi peluh. Sesekali matanya memicing kecil bila asap kayu api lemangnya singgah di mata. Tangan lelaki tua itu begitu tangkas memusing-musingkan buluh berisi pulut lemang yang sedang dipanggang itu untuk mengelakkannya rentung dibakar bara api yang tiba-tiba saja menjadi kuat kerana ditiup angin malam yang agak kencang ketika itu.
Hajah Limah pula sedang asyik merebus ketupat palas yang menjadi sajian wajib keluarga mereka setiap pagi raya. Beberapa orang kanak-kanak yang nampak hampir sebaya, lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur sembilan ke 10 tahun sedang bermain bunga api sambil sesekali kejar-mengejar sesama mereka sambil bergelak riang. Ada pula yang menjerit sambil bernyanyi gembira, "Esok hari raya... Yeay... Esok hari raya..."
Haji Hussin mengerling cucunya yang sedang berkejaran bersama anak cucu jiran tetangganya yang berkumpul di halaman rumah itu semenjak maghrib tadi. Ada yang menjerit dan ada juga yang menangis ketakutan bila dikejar dengan bunga api yang sedang bernyala. Peluh di dahinya diseka sambil menarik nafas panjang.
"Pian, yang hang duk ligan adik-adik hang dengan bunga api tu pasai apa? Sat lagi kalau depa jatuh luka nak kena bawak pi klinik jenuh nak cari time-time lagu ni. Esok hangpa tak beraya, baru padan dengan muka." Haji Hussin membebel sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Cucu sulungnya Suffian yang baru menjangkau usia 11 tahun berhenti mengejar tiga orang adiknya sambil tersengih memandang atoknya itu. Bunga api telah pun padam di tangannya.
Hajah Limah menutup kembali periuk besar berisi ketupat palas yang sedang direbusnya lalu melangkah ke arah suaminya itu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Biaq pilah kat depa, bang aji aih. Bukannya selalu budak-budak tu balik mai sini pun. Bagilah depa main bunga api tu puas-puas. Malam ni pun malam raya."
Suara Hajah Limah membuatkan Haji Hussin mendengus kecil.
"Ha... Itulah yang aku malas nak tegoq tu. Tok hangpa ni mesti masuk belah hangpa. Dah. Pi naik. Mandi. Tidoq. Dah tengah malam ni. Esok pagi-pagi kita nak pi ke masjid. Lekaih pi naik semua."
Arahan Haji Hussin segera dipatuhi. Suffian memegang tangan adik-adiknya dan membawa mereka menaiki tangga batu menuju ke beranda kemudiannya hilang ke dalam rumah. Manakala kanak-kanak yang lain berkejaran sesama mereka sambil menjerit-jerit sebelum hilang ditelan malam yang gelap.
"Abang ni cengey sangat dengan budak-budak tu."
Hajah Limah merenung wajah suaminya yang dibasahi peluh. Kain tuala putih Good Morning yang ada di tangannya digunakan untuk mengesat peluh pada wajah suaminya itu.
"Ayah tu memang cengey pun mak. Daripada kami kecik sampai ke la ni, tak berubah-ubah cengey dia tu."
Suara Hayati, anak perempuan bongsu mereka yang sedang memasang tirai di tingkap bahagian atas rumah membuatkan pandangan Haji Hussin dan Hajah Limah beralih ke arahnya.
"Sebab aku ni cengeylah hangpa semua tu jadi manusia." Haji Hussin memalingkan pandangannya lalu mencapai penyepit arang yang ditongkatkan di besi penahan buluh lemang di sebelahnya lalu digunakan penyepit itu untuk meratakan kayu api dan ketulan arang yang sudah menjadi bara.
YOU ARE READING
40 HARI
HorrorTajuk: 40 HARI Penulis: KHAIRUL ASWAD Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-27-1 Sumpahan yang membelenggu keturunan Haji Sulaiman bukanlah suatu cerita cereka semata-mata bagi penduduk Kampung Wang Merak. Selepas kematian Dandalina, Raizal cuba men...