"APA yang jadi lepas tu Lee?"
Rahim menghulurkan kepalanya di tengah-tengah, di antara kedua-dua kusyen hadapan Triton tersebut.
Zalee menarik nafas panjang. "Daripada apa yang kawan aku ceritakan tu, Hajah Limah meninggal malam tu jugak sebab serangan jantung. Esoknya mereka kebumikan ketiga-tiganya sekali."
Rodzy menggeleng-gelengkan kepalanya. "Tapi, betul ke roh tu balik ke rumah? Aku ni bukanlah tahu sangat pasal ilmu agama ni, tapi daripada apa yang aku pernah dengar, alam roh dengan alam kita ni banyak bezanya. Ibarat macam air dengan minyak. Mustahil roh orang yang dah meninggal boleh balik ke alam kita ni sewenang-wenangnya Lee."
Pertanyaan Rodzy membuatkan Zalee mengangguk-anggukkan kepalanya. "Aku pun fikir seperti yang kau fikirkan tu. Sebab itulah bila kawan aku tu cerita, aku tak ambil pusing sangat pun."
"Tapi, macam mana kalau benda tu memang betul-betul berlaku? Takkanlah orang saja-saja nak mereka cerita pulak. Tak logik weh."
Soalan Rahim buat Zalee dan Rodzy saling berpandangan sesama sendiri.
"Kalau nak diikutkan, kemungkinan tu memang ada. Kalau Allah berkehendak, apa saja pun boleh berlaku. Tapi, mungkin ada rahsia di sebalik semua tu kita tak tahu."
Rahim dan Rodzy mengangguk-angguk, mengiakan kata-kata Zalee.
Triton putih itu meluncur tenang di permukaan jalan raya yang kasar. Jam di dashboard menunjukkan pukul 11.30 malam. Ini bermakna sudah hampir sejam berlalu sejak mereka bertolak tadi. Rodzy hela nafas panjang sambil menyalakan sebatang lagi rokok dan menyedutnya nikmat. Lebuhraya Utara Selatan ketika ini agak lengang. Tak banyak kenderaan kecuali beberapa buah kereta dan lori yang dipandu perlahan di lorong sebelah kiri.
"Member aku tu cakap lagi, keluarga Haji Hussin tu memang daripada keturunan Haji Sulaiman pun. Keluarga dekat sebelah Haji Hussin."
Rodzy pandang wajah Zalee. "Habis tu, roh Hajah Limah tu ada balik ganggu keluarga mereka ke tak?"
Soalan Rodzy pantas dijawab dengan anggukan Zalee.
"Malam lepas dikebumikan tu, memang roh Hajah Limah balik ke rumah tu, siap ketuk pintu lagi. Waktu tu hujan lebat. Hajah Limah menangis tersedu-sedu kat depan pintu, cakap dia kesejukan. Dia mintak Hayati bukakan pintu sebab dia nak masuk tukar pakaian. Si Hayati tu menangis dan meraung sampai pengsan sebab kesiankan arwah mak dia tu."
Rahim telan liur. Bulu romanya kembali meremang. "Dahsyat jugak."
Zalee mengangguk-angguk. "Tapi Haji Hussin halang. Tak bagi sesiapa pun bukakan pintu. Sampai ke subuh jugaklah benda tu asyik menangis merayu sambil ketuk pintu. Mungkin orang tua tu tahu yang kat luar rumah tu bukannya Hajah Limah, tapi benda lain."
Rahim tarik nafas dalam-dalam. Dia tidak dapat membayangkan kalau dia berada dalam situasi tersebut. Nak lari keluar tak boleh sebab 'benda' itu ada di depan pintu. Rahim menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bulu tengkuknya berdiri seketika. Mintak jauhlah benda macam ni, getus hati Rahim.
"Benda tu terus ganggu Haji Hussin sekeluarga hampir setiap malam. Paling mengerikan, bila tangisan dan rayuan dia tak dipedulikan, roh tu mula cakar-cakar pintu, dinding dan ada masanya sampai ke tahap berjalan di atas bumbung hampir setiap malam. Aku yang dengar cerita kawan aku tu pun dah meremang satu badan waktu tu."
Rodzy meraba tengkuknya. Rahim pula semakin menjulurkan kepalanya ke depan.
"Kenapa boleh jadi sampai macam tu sekali? Kau tak tanya kawan kau tu siapa arwah Haji Sulaiman tu yang sebenarnya?" Rodzy menyoal.
Zalee memandang jalan raya di hadapannya yang gelap dan suram. "Dia ada cerita jugak dengan aku. Tapi memang panjang ceritanya."
Rodzy angkat kening. "Cerita ajelah. Lagi panjang lagi bagus. Kita pun ada empat, lima jam lagi perjalanan nak sampai ke tempat tu. Cerah sikit mata aku ni dengar cerita seram macam tu."
Zalee sengih. Dia mengangguk-angguk.
"Aku okey aje. Tapi yang aku risaukan si Rahim ni ha, kepala dah makin ke depan. Kau ni dah kenapa Im? Nak masuk kat celah ketiak aku ke apa?"
Suara Zalee membuatkan Rahim tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Aku nak duduk depan boleh?"
Permintaan Rahim membuatkan ketawa Zalee dan Rodzy berhambur. Bersungguh-sungguh mereka ketawakan sifat penakut semula jadi sahabat baik mereka itu.
"Apa yang kau nak takutkan Im? Kalau hantu tu duduk kat sebelah kau, kau tempeleng aje kepala dia kuat-kuat. Hantu pun takutlah tengok badan kau yang besar tu." Rodzy bersuara kemudian menyambung ketawa.
"Hantu pun tak boleh nak bezakan yang mana orang yang mana kerbau... Hahaha."
Ketawa Zalee dan Rodzy semakin kuat. Rahim mencebik. Dia menyandarkan kembali badannya ke kusyen sambil sesekali memandang ke kiri dan kanannya yang gelap-gelita. Di hadapan mereka, lebuh raya yang gelap itu terus diredah menuju ke destinasi.
YOU ARE READING
40 HARI
HorrorTajuk: 40 HARI Penulis: KHAIRUL ASWAD Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-27-1 Sumpahan yang membelenggu keturunan Haji Sulaiman bukanlah suatu cerita cereka semata-mata bagi penduduk Kampung Wang Merak. Selepas kematian Dandalina, Raizal cuba men...