KadirKadariah 5

314 28 0
                                    

Dua wanita yang agak berusia masih bersembang serius di atas pangkin berteduhkan pohon yang berbuah dan berbunga.

Mak Aji Maznah terkenangkan sahabat sepermainannya, Reha, yang dapat jodoh setelah lelaki yang dia suka itu dipinangkan untuknya. Kini, bersembang dengan waris sulung Reha, Bada, Mak Aji Maznah cuba simpulkan ceritanya.

"Janji, emak kau selamat, biarlah orang kampung perli, perigi cari timba. Alhamdulillah, kekal sampai hujung hayat..." kenang Mak Aji Maznah.

Dua wanita itu merenung pula kerenah Kadir sejenak. Terlihat Kadir terkial-kial menyusup benang ke lubang jarum. Seketika kemudian, dia berjaya. Dia mula menjahit.

"Tapi Mak Aji, mak ada abah. Ni, siapa pula nak kita sorongkan pada Kadir, supaya pendamping tu tinggalkan dia?" Bada rasa tak sedap hati pula.

Mak Aji Maznah berfikir untuk seketika. "Aku ada anak saudara, tinggal di Melaka. Dah berusialah juga. Tahun ni, dah 41 umurnya. Baik, pandai serba-serbi malah bertarannum pernah menang anugerah. Tapi.. dia ada hobi yang lain macam sikit," terang wanita tua itu.

Bada dengar Mak Aji Maznah bercerita lagi.

"Entahlah, hendak ke pun si Kadir tu? Aku tengok dia selesa bujang..." tambah Mak Aji Maznah lagi.

Giliran Bada pula senyap. "Kita cuba sajalah, Mak Aji. Selama ni pun, bukannya kami tak pernah kenalkan dia dengan gadis-gadis yang kami rasa sesuai jadi calon isteri. Kadir tak pernah terbuka hati. Kalau jadi, bukan saja dapat buang pendamping tu, dapatlah saya adik ipar lepas ni," putusnya.

"Tapi Bada, aku tengok gaya si Kadir tu... Susah sikit nak makan pujuk. Takkanlah anak saudara aku kita nak suruh jadi penggoda pula? Tapi, kalau tak ditarik perhatian si Kadir tu, maulah sampai ke tua si pendamping tu melekat pada dia. Lagi tak boleh jadi. Haih, rumit ni," Mak Aji Maznah menimbang sendiri.

"Beginilah, Mak Aji tanya dululah pada anak saudara tu. Kalau dia sudi, kita ikhtiarlah rapatkan dia dengan si Kadir ni. Eh Mak Aji, apa namanya anak saudara Mak Aji tu?" Bada baru teringat nak bertanya.

"Marhamah. Marhamah Morshid. Tapi geng rapat dia panggil, Marhamah Morbid," tergelak sedikit Mak Aji. "Dia elok sangat orangnya, kelakar! Cuma... lawak dia tu... Haih, macam mana aku nak cerita ya. Nanti kau tengoklah sendiri."

Bada teruja. Tak sabar dia nak jumpa si empunya nama, Marhamah Morbid ni.

Lagu Bunga Melati Pagi disenandungkan lagi dek Kadir, yang masih tekun menjahit.

Siang-siang buta, panas pula, tapi meremang bulu roma.

"Bila Mak Aji boleh bawa Marhamah datang sini?" Bada kalau boleh, tak mahu bertangguh lagi.

KadirKadariahTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang