Bab Satu

9.6K 162 22
                                    


ALNA menilik dirinya yang sudah siap didandan. Cuma menanti untuk pergi ke masjid sahaja. Tidak sabar mahu menjalani kehidupan berumahtangga dengan Sahid. Bertunang hampir dua tahun, membuatkan dia sudah kenal hati budi Sahid. Tiba-tiba, Kayyisa masuk ke dalam bilik dengan muka yang berkerut. Disuruhnya semua orang keluar. Pintu dikunci rapat.

"Kau ni kenapa Yisa?" tanya Alna langsung tidak berfikiran negatif. Kayyisa suka buat skandal. Sudah lama dia kenal Kayyisa.

"Kau jangan terkejut beruk ya," kata Kayyisa sambil memegang tangan Alna.

"Kau tak beritahu aku lagi, takkanlah aku nak pura-pura terkejut beruk." Alna kerutkan keningnya. Pandangan ditumpukan kepada mata Kayyisa.

"Sahid kena tangkap basah pagi tadi." Kayyisa telan liur. Tangannya kejap memegang tangan Alna.

"Hah! Kau main-mainkan aku kan. Semalam aje dia datang sini. Kau tipu kan..." Alna tidak percaya.

"Betullah. Aku baru tahu. Abah kau suruh aku tenangkan kau," balas Kayyisa.

Alna bangun dari kerusinya. Mula mundar-mandir.

"Alna , duduklah dulu. Kita fikir apa nak buat." Kayyisa memujuk.

"Kau nak aku duduk selepas tahu bakal suami aku kena tangkap basah. Dengan siapa dia kena tangkap basah?" tanya Alna. Matanya dijegilkan kepada Kayyisa.

Kayyisa telan liur lagi. Kalau beritahu, pengsankah kawannya itu? Kayyisa diam. Tak tahu sama ada mahu cakap atau tidak? Tapi, bila melihat mata Alna terjegil kepadanya membuatkan Kayyisa berdeham sekali.

"Dengan Cikgu Mayuri."

Terduduk Alna. Mayuri yang selalu cakap Sahid tak padan dengannya. Mayuri yang pernah belajar satu tempat dengannya. Mayuri yang selalu cakap sukakan Sahid. Alna memang tak sangka langsung. Tapi, bila difikirkan semula apa yang nak dihairankan mereka berdua mengajar di sekolah yang sama.

"Sahid mana?" tanya Alna setelah terduduk hampir sepuluh minit. Dia sudah berdiri tegak.

"Mangkuk tu ada kat luar," balas Kayyisa sambil tuding jari ke pintu. Kayyisa sakit hati kerana Sahid buat begitu kepada Alna. Mengkhianati Alna, sama seperti mengkhianati hatinya.

"Kau tolong bawa mangkuk kat aku satu," balas Alna sambil berjalan ke pintu. Kayyisa terburu-buru membuntuti Alna. Masih agi blur kenapa mangkuk yang diminta oleh Alna. Semua mata memandang Alna yang keluar dengan pakaian pengantin. Matanya tajam menikam wajah Sahid yang duduk di sisi abahnya.

"Alna," panggil Encik Ammar.

"Tak apa abah. Bila kau dengan Mayuri bercinta?" tanya Alna. Sedih dan sakit hati bercampur apabila melihat wajah Sahid. Dengan muka tak malu Sahid ada di sini. Jantan ini memang tegar. Muka tebal macam simen dah kena air. Tebal dan keras.

"Aku, aku... dah dekat 5 bulan kami bercinta." Jujur Sahid menjawab. Alna menggigit bibirnya. Satu sahaja sikap Sahid yang ada pada dirinya. Dia jujur ketika menjawab soalannya. Tapi, tidak jujur bila main kayu tiga.

"Kau nakkan Mayuri atau aku?" tanya Alna bak seorang pendakwaraya sedang menyoal.

"Aku nak dua-dua," jawab Sahid. Jujur lagi. Dia tenung wajah Alna.

"Tamaknya kau," juih Alna.

"Aku cintakan kau orang berdua." Jujur lagi Sahid menjawab. Kejujuran Sahid membuatkan Alna rasa mahu pelempang Sahid. Alna ketawa kuat. Tidak peduli lagi ramai yang melihat drama itu.

"Aku tak ingin bila kau dah buat aku macam ni. Sekarang kau baliklah. Kahwinlah dengan Mayuri tu cepat-cepat. Dahlah kena tangkap basah, apa yang kau orang buat dalam rumah hinggakan kena tangkap basah pada waktu pagi? Lelaki macam kau memang tak sesuai untuk aku. Bukan kau seorang saja jantan dalam dunia ni. Bercambah jantan kat dunia ni. Ada yang lebih baik daripada kau!" Alna tunak memandang Sahid. Kalaulah dia tak fikir semua orang , sudah lama digomolnya Sahid.

"Yisa mana mangkuk yang aku minta tu." Alna berpaling kepada Kayyisa.

"Alna... aku masih cintakan kau," kata Sahid. Dia menghulurkan tangan ke arah yang Alna menjuihkan mulutnya. Mangkuk yang sudah diberikan oleh Kayyisa dipegang kejap.

"Cinta?" tanya Alna.

Alna mengayunkan mangkuk tersebut ke kepala Sahid. Kelekuk! Sahid menggosok kepalanya yang sakit. Tak sangka Alna akan menghempuk kepalanya dengan mangkuk.

"Nah mangkuk. Aku dah ayunkan mangkuk ni kat kepala kau. Mangkuk ayun!"

Alna lemparkan mangkuk itu ke riba Sahid. Terkebil-kebil Sahid dengan gelaran yang diberikan kepadanya.

"Alna!" panggil Sahid. Dia tidak sanggup kehilangan

"Sahid, jangan ganggu Alna lagi. Pergi balik!" Encik Ammar terus menarik tangan Sahid. Alna pun dah tak teringin melihat Sahid.

Kau Yang KutungguTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang