ALNA membelek cincin berbatu Ruby di jarinya. Pemberian arwah mama ketika hari lahirnya yang ke-21. Dipusingnya berkali-kali dijarinya itu.
"Hai, anak abah buat apa ni?" Suara garau menegurnya. Lantas Alna berpaling ke arah abahnya. Dia mengukirkan senyuman.
"Hmm... tengah berehatlah. Abah dah lama balik ke?" tanya Alna. Dia mengukirkan senyuman untuk abahnya. Encik Ammar sekadar mengangguk.
"Kenapa hari ni lewat?" tanya Encik Ammar.
"Mensyuaratlah abah. Kalau diikutkan hati Alna, malas nak tunggu. Nanti rekod tak bagus pula." Dia sengih.
Encik Ammar mengusap belakang Alna. Satu-satunya cinta hati yang tinggal selepas isterinya meninggal.
"Abah... abah masak apa?" Alna beralih topik. Dia sengih hingga ke telinga. Encik Ammar menggelengkan kepalanya. Tinggal berdua dengan Alna membuatkan mereka berdua membahagikan tugas di dalam rumah. Siapa yang balik awal, dia yang kena masak.
"Abah malas hari ni. Abah buat nasi goreng aje. Terlajak pedas pula," beritahu Encik Ammar.
"Alna tahu, abah bukan buat terlajak pedas, abah memang sengaja," kata Alna sambil melangkah. Terus laju melangkah ke dapur. Tahu dengan rasa yang abahnya suka. Walaupun tidak suka pedas, tetapi dia tetap makan apa yang dimasak oleh abahnya tanpa banyak songeh. Alna menghidangkan nasi goreng ke dalam pinggan sambil meletakkan potongan timun ke dalam pinggan. Benda wajib yang dia selalu sertakan sekali jika makan nasi goreng.
"Duduk dulu, Alna. Abah dah banyak kali tegur Alna. Kita mudah terkena jika orang nak guna-gunakan kita." Encik Ammar menggelengkan kepalanya. Dia selalu menitipkan perkara yang satu itu. Selainnya, nampak tidak sopan. Alna menyengih. Segan dengan teguran abahnya.
"Sorry, abah."Alna menyengih sambil duduk. Dia menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Pijar terasa mulutnya di saat nasi goreng memenuhi mulutnya.
"Abah! Berapa banyak abah letak cili padi dalam ni?"
Mulutnya yang sedia merah, lebih merah lagi. Potongan timun diambil lalu disumbatkan ke dalam mulutnya. Bergembol pipinya dengan potongan timun dan nasi tersebut.
"10 biji."
"Abah!"
Alna menjerit, namun dia tetap menyuapkan nasi tersebut diselangi dengan timun. Encik Ammar terlupa dia terlajak masukkan cili padi. Lagipun ketika itu dia hanya ingat mulutnya saja yang boleh menerima kepedasan. Bila sudah siap menggoreng barulah dia teringat anaknya itu tidak suka terlampau pedas. Tapi, dia sudah terlajak. Lalu dibiarkan saja.
"Lepas ni, Alna masak tanpa cili padi pula. Abah gigit aje cili padi mentah dengan nasi goreng," kata Alna.
Encik Ammar ketawa. Alna hanya bercakap ketika dia makan makanan pedas sahaja begitu. Bila sudah hilang pedas, apa saja yang mahu dimakannya akan dimasak Alna.
"Teringat mama. Mama selalu masakkan asing makanan kita," kata Alna. Dia senyum kepada abahnya. Tiba-tiba saja anaknya itu mengimbau kenangan silam.
"Hmm... abah pun. Tak pernah sehari pun abah tak teringatkan mama," ujarnya. Cintanya kepada arwah isterinya tetap utuh meskipun sudah 5 tahun berlalu.
"Lepas ni abah kena masakkan makanan kita asinglah..." kata Alna sambil memandang abahnya.
"Haisy, tak kuasa abah. Abah bukan arwah mama."
Encik Ammar menjuih. Alna ketawa kecil. Mulutnya semakin kebas dek kepedasan nasi goreng. Sampai hati betul abahnya buat dia macam tu.
"Abah dah masak. Alna yang basuh pinggan," arah Encik Ammar.
"Eh, bukan abah dah janji nak basuh pinggan ke?" Alna pura-pura. Wajahnya itu dikerutkan. Encik Ammar sudah dapat menangkap gaya Alna yang mahu mengelakkan diri. Kerusi ditolak ke belakang dengan perlahan, dan dia terus angkat kakinya. Lari dari situ.
"Abah!" Alna menjerit. Terkontang-kanting dia ditinggalkan abahnya di dapur. Kali ini dia terkena. Lambat-lambat Alna tersengih kecil. Itulah selalu sangat buat perangai macam tu. Abahnya pun sudah terikut-ikut apa yang sering dilakukannya. Sebabnya dia paling malas jika tiba bab membasuh pinggan. Tak suka bau sabun basuh pinggan di jarinya. Awak tu perempuan Alna, nak tak nak, kena basuh pinggan juga. Desis hatinya.
Lagi satu itu alasan orang malas. Lalu pinggan tadi dibawanya ke sinki. Membasuhnya sebelum mengelap pinggan itu.