DENGAN kaki berbalut, Alna pergi ke sekolah. Itu pun selepas berbuih mulut abahnya mahu menghantarnya. Jika tidak, Alna mahu memandu sendiri.
"Macam manalah kau boleh tergeliat ni?" tanya Kayyisa.
Dia pandang kaki Alna yang berbalut. Alna hanya mengenakan sandal saja.
"Hmm, laki Cikgu Mayuri yang buat aku jadi macam ni."
Selamba Alna memberitahu.
"Hah, kat mana kau jumpa dia?" tanya Kayyisa terus berminat.
Kisah cinta kawannya ini berselirat sungguh. Secantik-cantik dia, dia tidak bertuah dalam hal percintaan. Hancur separuh jalan cintanya. Tapi, Alna memang kuat. Tak nampak lemah langsung. Jika tidak ketika perkahwinannya terbatal itu dia akan meraung. Sebaliknya, dia ketuk kepala Sahid dengan mangkuk.
"Aku jumpa kat pasar raya. Hilang terus mood aku. Tak payah tahulah pasal dia. Dia dengan si mawas tu sama saja. Buat spoilmood aku saja," juih Alna.
"Aisy, ini lagi menarik. Macam mana pula si mawas tu ada sekali dalam cerita kau?"
Kayyisa kenyit mata kepada Alna. Dia tarik kerusi, mendekat ke meja Alna.
Alna menjeling. Mulutnya laju pula menyebut mawas. Tak mahu ingat, tapi mulut asyik menyebut saja. Nak tak nak, kena juga bercerita dengan Kayyisa.
Selagi dia tak dapat apa yang dia nak, Kayyisa akan memburunya macam paparazi.
"Agaknya kau ni berjodoh dengan si mawas tu tak?"
Kayyisa mula buat kesimpulan. Mulut sudah tersengih-sengih.
Kulit lengan Kayyisa yang terlindung dek baju, Alna kutil kuat. Ternganga mulut Kayyisa menerima kutilan tersebut.
"Mulut kau biar ada penapis sikit ya. Jangan main cakap saja."
Selepas itu barulah Alna melepaskan kutilannya.
Kayyisa menjerit sambil menggosok-gosok lengannya. Sakit sungguh. Nampaknya Alna benar-benar maksudkannya.
"Kau ni gila ke apa? Sakit tahu tak!"
Kayyisa menggosok-gosok lengannya.
"Lain kali jangan sebut pasal jodoh dengan mawas tu."
Alna memberi amaran.
Kayyisa jongket bahu. Tanda dia memang akan menyebutnya lagi.
MASIH terbayang di depan mata Rayyaz ketika dia menjemput Adham tadi. Alna sedang dipeluk oleh suaminya, memasuki kereta.
Bukannya selalu dia menjemput Adham, tapi hari ini dia melalui kawasan itu. Sebab itulah dia menelefon mak ngahnya memberitahu dia akan menjemput Adham. Jadinya, tak perlulah Adham naik van hari ini.
"Pak su, kenapa diam?" tanya Adham.
"Pak su tak ada benda nak cakap."
Rayyaz pandang sekilas Adham di sisi. Lepas itu dia fokus memandu semula.
"Kalau macam tu, biar Am cerita. Cikgu Alna tergeliat kaki dia. Tapi, dia datang sekolah juga. Sebab tulah, Am sayang dia. Lagipun, Am rindukan mama."
Tiba-tiba Adham bercerita. Pasal cikgunya itu dia tahu. Tapi, bila Adham menyebut tentang mamanya, Rayyaz tersentak. Adham tidak pernah menyuarakan rasa rindunya kepada arwah mamanya.
"Am rindukan mama, tapi kenapa Am cakap sayang cikgu Am?" tanya Rayyaz.
"Setiap kali tengok Cikgu Alna, Am nampak mama. Sebab tu Am sayang dia," jawab Adham.