Bab 15

3.6K 74 2
                                    

"Jomlah,"ajak Kayyisa selepas selesai makan.

Muka Kayyisa Alna pandang pelik. Ketika makan tadi mereka hanya mendiamkan diri. Cuma ada suara yang keluar dari bibir kedua-dua lelaki itu.

"Eh, dah nak pergi?" tanya Razuan pelik.

Hari ini dia betul-betul terasa macam dalam drama. Tak pernah lagi dia tersepit antara kawan baik. Tambahan pula baruhari ini dia nampak mereka berdua.

"Yalah, kita pun baru kenal kat sini. Takkanlah saya nak ikut awak pula kut," juih Kayyisa, senyum kepada Razuan.

"Lainlah kalau mereka berdua ni. Mereka ni dah kenal lama."

Muncung Kayyisa terarah kepada Rayyaz dan Alna.

Razuan berpaling kepada Rayyaz yang tidak memandangmereka. Hanya asyik dengan telefonnya. Rayyaz buat tak tahu!

Razuan menyenggol siku Rayyaz. Tetap begitu juga. Nampak sangat Rayyaz tidak mahu mengaku.

"Awak belanja ya."

Terus Kayyisa tarik tangan Alna.

Tapi, dengan ekor mata Rayyaz mengerling kedua-dua perempuan yang sudah berlalu itu.

"KAU memang teruk buat aku macam ni!" jerkah Alna.

Dia menolak bahu Kayyisa. Kayyisa tergelak.

"Aku tahulah si mawas tu salah faham. Kan dari dulu lagi memang orang salah faham dengan abah kau. Kau pula, bila dengan abah kau, manja semacam," juih Kayyisa.

Seronok dia dapat mengenakan Alna.

"Lagipun saja aku nak kenal rapat dengan mawas tu. Mana tahu itu jodoh kau. Orang kata daripada benci turun ke hati," usik Kayyisa lagi.

Dia terus ketawa.

"Kau memang gila. Tak lalu aku nak tengok dia. Makan pun asyik dengan tisu saja. Nak kena lap jambang dia. Lagi satu pakej dia, rambut panjang tu. Eii, geli dan menyampah aku. Nampak kotor," jerit Alna.

"Kau tak berambut panjang?" tanya Kayyisa.

"Rambut aku cantik, okey," kata Alna terus memegang rambutnya.

Dan buat gaya macam iklan syampu.

"Sepadanlah tu, dua-dua rambut panjang," tambah Kayyisa lagi.

Elok dia berkata begitu, satu kutilan singgah di pahanya. Terjerit-jerit Kayyisa. Padan muka!

Alna meletakkan beg kertas di atas sofa. Selepas makan tadi, dia kembali ke tempat kemeja tadi. Membeli kemeja yang berwarna biru laut itu. Warna tersebut tentu elok di badan abahnya.

"SIAPA perempuan yang tarik tangan aku tu?" tanya Razuan.

Sejak di dalam kereta lagi dia menahan diri daripada bertanya. Tak boleh lupa seraut wajah yang bulat dan comel itu.

"Mana aku kenal," kata Rayyaz sambil membelek majalah Maskulin.

"Mustahillah kau tak kenal."

Razuan tidak percaya.

"Betullah." Sepatah Rayyaz menjawab.

Dia tak pernah tanya dan ambil tahu siapakah Kayyisa.

"Gayanya mereka berdua kawan baik. Mustahillah kau kenal yang pakai dress tu aje. Seorang lagi kau tak kenal."

Razuan mengomel. Dia ingat lagi, ketika perempuan bernama Yisa itu menarik tangannya, membawanya masuk ke dalam restoran. Selepas makan, disuruhnya belanja makan.

Selamba saja. Walaupun baru kenal hari itu.

Rayyaz diam, tapi dia tengah memikir. Sungguh matanya hanya nampak perempuan yang suka tayang betis itu saja. Di mana dia pernah jumpa Yisa?

"Aku baru teringat. Dia orang memang kawan baik. Sebab dah banyak kali aku jumpa. Mereka berdua saja. Lagi satu, dia cikgu macam perempuan tu juga," cerita Rayyaz.

"Cikgu rupanya."

Razuan mengusap-usap dagunya.

"Kenapa, kau dah berkenan ke?" tanya Rayyaz apabila tingkah Razuan kelihatan agak pelik.

"Entah. Tengok dulu macam mana."

Razuan jongket bahu. Dia pun tak tahu sama ada suka atau hanya suka-suka. Berbeza kedua-dua rasa itu.

"Dengan mulut yang macam tu, aku rasa baik kau hati-hati. Tak mustahil ditolaknya duda macam kau ni."

Rayyaz sengih.

"Belum cuba, mestilah aku tak tahu."

Razuan gelak kuat. Dia bukannya mahu mengurat pun. Dia hanya ingin tahu kerana asyik teringat saja adegan tadi. Ibarat dalam drama.

"Kau ni suka kat perempuan tu ke?" tanya Rayyaz.

Razuan tak pernah menunjukkan minat terhadap perempuan selepas jatuh cinta kepada adik ipar sendiri. Mulut selalu cakap, dia dah lupakan cinta itu. Tetapi, Rayyaz tidak tahu kebenarannya.

Sekarang, bila Razuan berminat untuk tahu tentang seorang perempuan lain, Rayyaz yakin Razuan sudah mula melupakan cinta itu.

"Kau ni, aku dah jawab tadi. Tak."

Razuan menjawab tegas disertakan sekali dengan anggukan.

Rayyaz menarik tali getah rambutnya, terlerai ikatan itu.

Razuan pandang Rayyaz.

"Hmm, aku serabut tengok kau berambut panjang dan berjambang. Kau tak rimas ke?" tanya Razuan.

Rindu untuk melihat wajah bersih dan rambut kemas Rayyaz dahulu.

"Aku okey aje.Bukan setahun aku bela jambang ni. Dah lama, jadi sayang nak cukur," balas Rayyaz.

Semakin lama dia semakin selesa berpenampilan begini.

"Kalaupun kau nak berkabung, takkanlah sampai bertahun-tahun, Ray?Yanna dah tinggal tulang. Kalau masih hidup, lain cerita."

Agak kasar kata-kata Razuan. Dia memang tak puas hati apabila Rayyaz masih tidak boleh melupakan Yanna. Pelik, tapi benar.Yanna tidak dicintai, tapi kerana Yanna dia tidak dekat dengan perempuan.

"Aku sedar semua tu. Tapi, kau ingat senang ke nak buang rasa bersalah?Aku janji nak terima dia, tapi belum sempat aku cakap, dia dah tak ada. Kalau kau ditempat aku, apa yang akan kau buat?" tanya Rayyaz.

Razuan diam. Dia tidak tahu kerana dia tidak berada di tempat Rayyaz.

"Sebab tulah aku selalu cakap, kau kahwin aje dengan Myra tu. Mana tahu kau dah tak rasa bersalah."

Asyik-asyik itu saja ayat yang diulang Razuan.

"Kau ni memang nak kena kan.Berapa kali aku nak cakap?"

Rayyaz layangkan penumbuknya di bahu Razuan.

Walaupun tubuhnya berotot, tapi bila kena penumbuk Rayyaz, Razuan mengaduh juga.

Kau Yang KutungguTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang