Bab 11

3.5K 90 3
                                    

ALNA turun dari keretanya. Dia membuntuti Adham untuk memastikan Adham masuk ke dalam rumahnya. Ketika mereka terkial-kial mahu membuka pagar rumah, nenek Adham keluar.

"Dah sampai rupanya," tegurnya.

"Ya, mak cik. Maaflah lewat sikit."

"Eh, tak apa. Mak cik memang hanya harapkan Rayyaz saja. Tapi, tiba-tiba dia ada kerja pula. Dia yang cakap tadi katanya cikgu dan Adham dah balik," beritahu Puan Jamila.

Dia terus menjemput Alna masuk ke dalam rumah.

Alna mahu menolak, tapi melihatkan kesungguhan Puan Jamila, Alna ikutkan juga. Alna putarkan mata ke seluruh ruang tamu tersebut. Kemas dan teratur.

"Jemput minum, cikgu."

Puan Jamila meletakkan dulang di atas meja kopi.

"Mak cik ni buat susah-susah saja."

Alna naik segan.

"Kalau tak ada cikgu dan Rayyaz yang ambil berat pasal Adham, tak tahulah macam mana dengan dia. Selepas ibu dan baba dia meninggal, mak cik hilang punca. Nasib baiklah Rayyaz tak pernah tinggalkan kami," ujar Puan Jamila.

Alna hanya mengangguk. Nak tak nak saja mendengar cerita berkaitan dengan lelaki tersebut. Anginnya dengan si jambang memang boleh jadi ribut.

"Adham tak ada adik beradik lain ke?" tanya Alna. Pasal ini dia tidak pernah bertanya kepada Adham. Adham pun tak bercerita.

"Tak ada, cikgu. Patutnya sekarang adalah. Tapi, mamanya pergi dulu. Ketika kemalangan tu, mamanya tengah mengandung." Puan Jamila senyum tawar. Alna tak tahu nak cakap apa lagi. Sedih betul mendengarnya.

"Terima kasihlah sebab selalu ambil berat pasal Am ni." Puan Jamila mengucapkan terima kasih kepada Alna.

"Oh, sama-sama. Saya pun tak sempat nak tengok anak murid yang ramai tu. Tapi, Adham, dia selalu cari saya. Sebab tu saya rapat dengan dia," beritahu Alna.

"Hmm, agaknya dia rindukan mama dia."

Puan Jamila tunduk. Sedih mengenangkan Adham.

Alna tidak tahu membalas apa, kerana dia tahu bagaimana rasanya apabila mamanya meninggal dahulu.

"Cikgu masih ada mak dan ayah lagi?" tanya Puan Jamila.

Dia tidak mahu ada yang bersimpati dengannya yang terpaksa menjaga seorang cucu.

"Abah masih ada. Mama sudah meninggal. Tinggal kami berdua saja." Alna senyum.

"Maafkan mak ngah."

Puan Jamila membahasakan dirinya dengan panggilan mak ngah. Lebih mudah kerana semua orang memanggilnya begitu.

"Tak apa mak cik. Setiap yang hidup pasti akan mati. Cuma kita tidak tahu bila waktunya. Saya terlupa nak bawa Tupperware yang mak cik bagi dulu. Sedap cucur jagung mak cik tu," puji Alna.

Puan Jamila ketawa. Ah, sudah lama berlalu pun. Tapi, cikgu muda ini masih lagi ingat.

"Lain kali kalau mak ngah buat cucur jagung, cikgu datanglah lagi. Rayyaz pun suka makan cucur jagung yang mak ngah buat tu."

Sebut saja nama Rayyaz, Alna tak nampak benda lain. Nampak mawas sedang terkinja-kinja melompat sambil menepuk-nepuk dadanya. Alna menyembunyikan senyuman.

"Ha, panjang umur dia..."

Puan Jamila senyum sambal memandang ke muka pintu.

Alna telan liur.

Kau Yang KutungguTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang