BUNYI hentakan kasut bertumit di dinding rak kasut mengejutkan Encik Ammar. Bunyi hentakan kaki Alna yang kuat itu membuatkan Encik Ammar terus bangun.
Dia sudah tahu jika Alna menghentakkan kaki begitu, tentu ada yang dimarahinya. Siapa pula yang menyakitkan hati anak daranya ini?
"Kenapa ni?"
Encik Ammar pandang Alna.
"Abah tahu tak? Alna tak kenal pun dengan lelaki tu. Dia layan Alna macam dah lama dia kenal Alna. Mulut macam longkang," adu Alna.
"Siapa?" tanya Encik Ammar.
"Bapa saudara anak murid Alna."
Alna merengus kasar.
Encik Ammar menggeleng kepala. Begitulah Alna jika dia tidak puas hati. Patutlah Alna lambat pulang hari ini. Dia ke rumah anak muridnya.
Sejak putus tunang, semua lelaki yang dikenalinya bagaikan musuh. Seorang pun tidak dilayan dengan elok. Kadang-kadang Encik Ammar takut juga, andainya kebencian itu membuatkan Alnatidak mahu berkahwin sampai bila-bila.
"Abah makanlah cucur tu dulu. Alna masak sekejap."
Alna sudah melangkah ke dapur.
Encik Ammar menoleh kepada bekas cucur yang ada di atas meja kopi. Dia mengambil sebiji dan menggigitnya. Dia ternampak Alna keluar dari bilik dan sudah bersalin pakaian.
"Kita makan kat luar hari ni. Abah belanja."
Encik Ammar mengajak Alna makan di luar.
Alna terus duduk di depan abahnya. Mukanya bersinar. Jarang abahnya mahu makan di luar. Selalu beri alasan jika makan kat luar, makanan tak bersih. Itulah dan inilah.
Tapi, lain pula malam ini.
"Abah mimpi ke ni?" tanya Alna sambil menyengih.
"Taklah. Abah nak belanja anak abah malam ni. Selalu merungut nak makan di luar dengan abah," balas Encik Ammar tersenyum.
"Terima kasih abahsebab tahu Alnamalas masak malam ni. Sebab bapa saudara Adham tulah," adu Alna, kemudianmemuncungkan mulutnya.
"Alna nak mandilah."
"Ya Allah Alna. Abah ingatkan Alna dah mandi." Terjerit Encik Ammar.
Melihat Alna yang sudah bertukar pakaian membuatkan dia membuat andaian begitu.
Alna terkekek-kekek sambil berlari masuk ke dalam biliknya.
LENGAN abahnya dipeluk sambil berjalan masuk ke dalam restoran.
"Wah, abah betul-betul buat Alna terkejut," kata Alna.
Matanya liar memandang ke sekitar restoran. Nampak cantik betul dekorasinya.
"Sekali-sekala. Abah dapat projek perabot pejabat," beritahu Encik Ammar.
Alna pandang abahnya dengan pandangan terkejut. Patutlah abahnya mahu belanja makan.
"Abah rahsiakan daripada Alna ya?"
"Hmm, Alna ingat tak meja yang Alna lakar kat abah tu? Pelanggan abah suka. Dia tempah sepuluh meja untuk pejabatnya. Sikit, tapi berbaloi sebab rekaan anak abah jadi pilihan mereka," beritahu Encik Ammar.
"10 tu abah cakap sikit?Abah dah belajar tamak ya," usik Alna.
Encik Ammar ketawa kecil.
Selepas makan, Encik Ammar membawa Alna membeli-belah pula. Mereka berdua jarang keluar bersama meskipun waktu itu ada.
Sesekali ada mata-mata yang memerhati,melihatdua beranak itu. Mereka berdua sudah lali dengan pandangan itu. Ramai yang tersalah anggap hubungan mereka.
Alna meninggalkan abahnya yang penat berjalan. Dia membiarkan abahnya duduk di kerusisementara dia membelek-belek baju yang tersangkut. Blaus tanpa lengan dibelek. Tangannya menggenggam fabrik tersebut. Lembut. Terus jatuh suka dengan kelembutan fabrik tersebut.
"Memang patutlah perempuan yang mendedahkan tubuh badan bagi orang tengok niadapakwe tua ya. Tak sedar diri."
Tiba-tiba telinga Alna menangkap kata-kata kesat tersebut. Pantas dia berkalih, memandang empunya suara. Matanya bulat memaku wajah lelaki yang dijumpai petang tadi.
"Tak malu ke pakai skirt paras lutut macam ni?"
Rayyaz menambah lagi. Sakit hati melihat betis yang tidak bertutup itu. Bagi Rayyaz, seorang perempuan tidak patut berpakaian begitu. Kenapa dengan mudahnya membiarkan bahagian badan yang sepatutnya bertutup itu ditatap oleh orang lain.
Alna sudah mendidih. Nampak sangat lelaki yang dipanggil Ray itu sedang mengatanya.
"Kita kenal ke?" tanya Alna.
Dia menudingkan jarinya ke arah diri sendiri dan Rayyaz berselang-seli.
"Hmm, saya tak lupa."
Rayyaz membalas sinis sambil menjuih memandang betis putih melepak Alna.
"Saya ni tak tambah dosa awak. Sebab kita tak kenal satu sama lain pun," juih Alna. Dia perasan dengan pandangan Rayyaz ke kakinya.
Muka berbulu macam mawas. Ada hati nak mengata orang. Menyampah Alna dengan muka berjambang dan rambut panjang sekerat bahu itu. Dan satu hal lagi, mulut tak ada insuransnya.
Rayyaz gelak sinis.
"Orang-orang yang pakai macam awaklah yang menambah dosa kami ni. Kami semua tak buta," katanya lagi.
"Kalau macam tu, butakanlah mata sendiri," balas Alna.
Dia sakit hatibertemu dengan lelaki ini di tempat awam begini. Tak payahlah keluar kalau tak mahu tambah dosa. Baru dua kali bertemu, sudah berani mengata Alna secara terang-terangan.
Siapa sebenarnya lelaki ini?
Alna terus berjalan ke arah abahnya. Baju yang hendak dibeli tadi tidak jadi diambil. Tangan abahnya terus ditarik pergi, membuatkan Encik Ammar terpinga-pinga seketika sebelum mengikut.