SUASANA pagi itu agak kelam tanpa suara cleaner-cleaner yang kadangkala datang untuk membersihkan ruangan hospital. Azfar masih duduk di wad, keadaannya belum stabil untuk keluar dari hospital. Fikirannya terbang pada Dylia, bekas isterinya.
“Semoga kau temui kebahagiaan di luar sana, Dylia. Aku tidak layak untuk kau. Terlalu banyak dosa yang terpalit di tubuhku,” keluh Azfar.
“Selamat pagi, Azfar,” sapa Fazira.
Seperti selalu, dia akan hadir bersama senyuman manis. Dia pasti memberikan rawatan yang terbaik pada pesakitnya. Fazira memandang air muka Azfar yang dipenuhi kekeruhan itu. Sesungguhnya, Azfar tidak kuat untuk menerima segala ketentuan buat dirinya. Sehingga kini, dia masih bertemankan kerusi roda untuk bergerak.
“Sihat pagi ni, Azfar?” Fazira terus mengajukan soalan lain bila pertanyaannya tadi tidak dijawab.
“Kau tidak nampak ke aku ni? Mau lagi tanya? Aku lumpuh!” tengking Azfar.
Fazira menyambutnya dengan senyuman. Mila, nurse yang menemani Fazira, berasa kurang selesa dengan sikap Azfar. Tidak patut Azfar menengking Fazira.
“Kenapa bahasa tu kurang ajar, Encik Azfar? Nasib baik jumpa yang penyabar macam Doktor Fazira ni,” tempelak Mila.
Fazira menyentuh bahu Mila. “Sudah, Mila. Pergi pantau wad lain. Nanti biar saya yang handle Azfar.”
“Baiklah, doktor.”
Fazira menyeroti langkah Mira yang sudah jauh berlalu, kemudian dia duduk di atas kerusi berdepan dengan katil Azfar. Lama dia memandang Azfar.
“Aku tau, dugaan ini terlalu berat buat kau, Azfar. Sakit ini bukan kita yang minta. Kalau betul hari ini kau disahkan lumpuh, bukan selamanya kau berada dalam kondisi itu. Kita bukan TUHAN, Azfar. Hanya DIA yang boleh merubah segala ketentuan hidup kita. Kita hanya mampu berikhtiar dan berusaha.” Panjang lebar huraian Fazira, hilang bahasa I dan You yang selalu menjadi perantara di antara mereka.
Setitis air mata jatuh di pipi Azfar. Dia tidak kuat untuk menerima ketentuan ini, semua ini terlalu berat untuknya. Jatuh semangatnya bila mendengar kata-kata Fazira. Satu keluhan Fazira lepaskan. Simpatinya terhadap Azfar datang bertimpa-timpa.
“Doktor Fazira.” Terlontar segala khayalannya tadi bila namanya disebut.
Dia menoleh. Doktor Aina hadir bersama Airiez.
“Macam mana dengan keadaan anak saya, doktor?” soal Doktor Aina.
Fazira cuba untuk tersenyum. “Sudah beransur baik tapi, keadaannya masih dalam pantauan hospital..”
Doktor Aina mengangguk. Dia mendekati Azfar sambil menyentuh lengan anaknya itu. Perlahan-lahan Fazira menghampiri Airiez.
“Airiez, aku mau cakap dengan kau kejap, pasal Azfar,” ujar Fazira perlahan.
Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu Doktor Aina mendengar masalah Azfar. Cukuplah Airiez seorang saja yang mengetahuinya buat masa sekarang.
“Di sini?” tanya Airiez.
Fazira menggeleng. “Kita bincang di bilik rawatan.”
Fazira berdiri dan mengorak langkah menuju ke bilik rawatan, Airiez menyusul langkahnya dari belakang. Suis komputer di hidupkan, Fazira mula menunjukkan pada Airiez tentang sesuatu.
“Keadaan Azfar belum stabil, kan?” soal Airiez dengan dahi berkerut.
Fazira mengetap bibir. “Keadaan Azfar sudah beransur baik sekarang, Airiez. Tapi, emosinya berlawanan dengan fikirannya. Aku risau bila keadaan ini berterusan, tahap kemurungan dalam dirinya bakal terjadi. Azfar perlukan pakar psikologi. Aku minta izin dengan kau untuk jalankan kaedah psikologi padanya di rumah aku.”