Prolog

33 0 0
                                    

Sampai dekat satu titik kehidupan, saya terasa hilang. Bila semua orang menghilang tiba-tiba, seperti diculik oleh makhluk asing dengan kapal berbentuk piring, lalu lenyap ke angkasa lepas. Bermula dari orang-orang yang pernah tersimpan nombornya dalam senarai kenalan telefon saya, bekas-bekas teman sembang kosong di kedai kopi, cinta-cinta tahi ayam satu malam, dan terakhir sekali kucing yang saya pungut di lorong jalan masa hujan lebat Ogos, tahun lalu. Hilang juga, mungkin mati dibaham anjing jiran.

Dekat bulatan titik masa tu, saya tahu dan saya sedar, luka-luka dari sakit hati itu sudah tak valid. Saya merasa sudah kebal. Betul, saya seperti tercampak ke dalam satu ruang kosong, tersangat kosong sehingga tak ada benda yang dapat saya dengar selain dengungan dalam telinga yang mungkin adalah gema-gema keegoan- yang dah 27 tahun berkembang biak dan berongga padat, dalam diri saya sendiri.

Jadi - saya mahu membawa diri. Kalau boleh saya jujur, itu bukan perkataan yang saya suka. Tidak sama sekali. Kerana ianya, kedengaran seperti apa yang keluar dari mulut seorang pencundang.

Tapi, itulah apa yang saya buat, secara teorinya.

Kau tahu- bawa diri, pulang ke tempat yang saya yakin, saya berhak berada di situ. Tetapi yang kelakarnya, saya sendiri tidak tahu di mana tempat itu. Jadi, waktu itu, sebuah petang di akhir bulan Disember. Kelmarin harinya, saya sudah dipecat dari pekerjaan saya, seperti yang sudah saya jangkakan beberapa waktu sebelumnya. Selesai saya merokok dan membuang air kecil pada pukul 3 pagi, saya meninggalkan rumah dengan harapan kontang, sedikit duit dalam dompet, dan kad pengenalan diri. Saya pasti, saya tak akan datang kembali ke situ keesokan harinya atau sampai bila-bila.

Kotak karton lengkap berselotep saiz 40" dekat kerusi penumpang belakang saya renung menerusi cermin dashboard. Sekurang- kurangnya, saya tahu betul ke mana kotak itu akan pulang.

Karton (revisi) Where stories live. Discover now