Bab 7: Khabar Dari Ladang Tembakau

6 0 0
                                    

Belum sempat saya sampai rumah, saya rasa betul bala dah datang kepada saya. Kereta saya rosak di tengah jalan. 25 batu lagi sebelum sempat sampai ke simpang Tanjung Rambai. Dari Tanjung Rambai ke rumah saya pula berjarak hampir 5 kilometer, melalui jalan berkerikil dan bercerun. Serta-merta saya teringat lelaki gendut tadi, dan sudah semestinya kata-kata dia tu.

Sepuluh minit berlalu, masih tak ada kereta yang lalu lalang, langit makin hitam legam dan nampak menggerunkan. Jadi saya cuba menghubungi seseorang. Tapi siapa? Saya periksa nombor-nombor kenalan yang saya simpan dalam memori telefon pintar saya. Saya tak rasa ada satu orang pun yang boleh saya harapkan. Mata saya mengecil bila saya melihat satu kereta dari jauh. Semakin dekat dan ia berhenti tak jauh dari saya. Betul-betul di belakang kereta saya. Seorang lelaki berbusana kemas keluar dari perut kereta. Sut hitam dan bercermin mata.

"Cik, apa yang rosak ya?" Dia menghampiri saya di depan.

"Saya tak tahu apa puncanya. Mungkin enjin atau bateri kereta mungkin." Saya menjawab, ikut logik fikiran saya. Lelaki itu tersenyum. Lesung pipitnya muncul di kedua sudut bawah bibir.

"May I? " Satu ibu jarinya mengacung ke bumper kereta saya. Saya mengangguk. Beberapa minit seterusnya saya cuma memerhatikan dia menggodek-godek enjin kereta saya, dengan sedikit perasaan ragu-ragu.

"Okay. Saya rasa cik boleh cuba hidupkan enjin."

Saya segera masuk ke dalam kereta, dan hanya sekali cubaan, enjin kereta saya terus menderum. Tak percaya juga saya.
"Terima kasih." Ucap saya. Lelaki tadi kembali mendekati. Dia menyeluk sesuatu dari poketnya. Mengeluarkan sehelai kertas yang sudah agak renyuk dan kirai.

"Saya sebenarnya mencari ni." Dia hulurkan kertas renyuk tadi kepada saya. Perlahan-lahan saya baca apa yang tertulis di situ.

Lot 31, Rumah Api Tanjung Rambai.

Ini alamat rumah saya.

Saya kembali merenung lelaki itu.

"Oh, saya tahu arah ke sana. Tapi, boleh saya tahu apa urusan encik ke situ? Sebab tempat tu agak terpencil dan tak ramai orang keluar masuk."

"Hahaha saya hampir lupa. Panggil saja saya Gambit, tak perlu berencik- encik. Sebenarnya saya mencari penghuni rumah tunggal dekat situ, sebab ada sedikit urusan penting," Lelaki bernama Gambit itu membalas dengan senyuman. Saya diserang keanehan sebab apa yang baru dia cakapkan dan juga sudah tentu sebab senyuman manis dia tu. Bodoh.

"Ja- jadi kamu ni peguam?" Teka saya, makin salah tingkah bila saya tercium pula bau parfum dia yang dibawa angin yang menghembus.

"Bukan, saya cuma budak suruhan." Balasnya. Mata saya menoleh ke belakang. Budak suruhan apa pakai kereta Porsche pula. "Tapi, betul cik tahu arah ke rumah tu?" Tanya Gambit kemudiannya.

"Ya, sudah tentu. Itu rumah saya." Balas saya.

Gambit sedikit tergamam. Kemudian dia kembali tersenyum lagi. Saya nampak matanya hilang menjadi garis.

*-------------*

"Berani betul Cik Suzana tinggal seorang diri?"

Itu pertanyaan pertama yang Gambit tanyakan lepas dia masuk ke dalam rumah saya. Lepas saya hidangkan kepada dia jus oren dalam gelas kaca yang jarang-jarang saya keluarkan dari almari dapur.

Berbalik ke soalan dia tadi. Saya tak pasti nak balas apa. Saya lebih menganggap yang dia baru saja mengungkapkan kenyataan berbanding pertanyaan. Jadi saya cuma mengangguk.

"Jadi ada apa sebenarnya dengan hal harta pusaka tu?" Soal saya, tanpa berlengah.

Gambit merenung saya. "Biar saya jelaskan dari awal." Dia kini sudah duduk di atas sofa berhadapan dengan saya.

"Majikan saya Tuan Zack Gunawan, pemilik ladang tembakau seluas 5 ratus ribu ekar di Lembah Johannes. Dia diserang kanser paru-paru yang agak kritis kira-kira dua atau tiga bulan yang lepas. Memang tak ada orang berani cakap dia akan bertahan. Mereka betul. Kematiannya pada malam Selasa lepas, adalah sebab saya datang kepada Cik Suzana."

Otak saya tak berapa faham apa koneksinya cerita dia tadi dengan diri saya. Mungkin ekspresi muka saya yang macam orang tolol tu dikesan oleh Gambit. Saya tengok dia tersenyum ringkas,
"Malam sebelum Tuan Zack Gunawan mati, dia memanggil saya ke biliknya. Saya duduk dekat depan dia, melihat dia menghisap paip, sambil dia menceritakan pada saya pasal zaman mudanya. Dia tunjukkan saya satu foto lama. Itu gambar satu-satunya perempuan yang dia pernah cintakan. Perempuan itu lah alasan kenapa beliau tak pernah berkahwin sampailah dia dimakan usia dan mati dek kanser paru-paru dia tu."

Apa yang keluar dari mulut Gambit terdengar macam lagi satu jalan cerita klise daripada filem romantik barat. Saya langsung menggeleng kepala.

"Saya tak pernah kenal dengan orang yang namanya Zack Gunawan. Mungkin kamu tersalah orang." Kata saya, merejeksi. Tapi Gambit masih tenang. Dia kemudiannya menyeluk ke dalam poket sutnya dan mengunjukkan sesuatu ke saya. Sekeping foto lama.

"Perempuan ini. Cik Suzana kenal, bukan?"

Saya mengamati dengan teliti. Sedikit shock.

"Su.. sudah tentu saya kenal. Itu gambar mendiang ibu saya sewaktu muda." Balas saya agak terbata- bata. Gambit mengangguk- angguk kepalanya.

"Ibu Cik Suzana, Rozita adalah satu- satunya kekasih Tuan Zack Gunawan, dan menurut dari apa yang diceritakan kepada saya, saya berani katakan yang Cik Suzana adalah anak kandung beliau, satu- satunya pewaris tunggal Golden Tobacco."

Saya mengerut dahi. Ini sudah keterlaluan.

"Mengarut! Saya tahu betul. Sudah tentu saya ini lahir berbintikan Affendi, bapa kandung saya. Ada tertulis di atas surat lahir saya. Apa kamu nak katakan saya ni anak haram?" Saya marah betul, dan saya rasa aliran darah sudah mencanak-canak naik ke kepala saya.

"Affendi tu tak pernah wujud. Apa Cik Suzana pernah berjumpa dengan bapa kandung Cik Suzana yang namanya Affendi tu?" Tanya Gambit dengan nada suara yang masih datar. Saya menelan air liur. Sudah tentu jawapannya, tidak pernah. Saya membesar dengan fakta yang bapa kandung saya adalah seorang askar yang mati di medan perang dan tak akan pernah pulang-pulang. Itu apa yang mendiang ibu saya selalu ceritakan pada saya setiap malam sebelum saya tidur.

"Saya perlukan bukti." Kata saya. Tapi masih tidak pasti.

"Jangan risau. Beri saya tarikh bila-bila Cik Suzana bersedia melakukan ujian DNA." Gambit bangkit dari duduk. "Kalau boleh secepatnya. Mungkin dalam minggu ni." Dia menyerahkan kad perniagaannya yang berwarna putih kepada saya.

"Oh ya. Besok adalah hari pengebumian Tuan Zack Gunawan. Cik Suzana boleh datang, untuk berikan penghormatan terakhir." Tambah Gambit lagi, sebelum dia ucapkan selamat tinggal dan keluar dari rumah saya. Saya kekal diam di atas sofa, sampailah saya tak dengar lagi deruman enjin kereta Porsche nya yang perlahan-lahan menghilang.

Karton (revisi) Where stories live. Discover now