Bab 8 : Berbicara Tentang Kematian

11 0 0
                                    

Saya masih ingat lagi, pertama kali saya akhirnya berpeluang menggalas keluar beg pakaian saya dari rumah mendiang Mak Cik Julie adalah pada hari pengebumiannya. Saya jujurnya benci dengan upacara pengebumian. Untuk berlaku adil, siapa juga yang suka dengan upacara sebegitu? Kematian adalah perkara yang menyedihkan, gelap dan sayu. Satu titik masa yang berpaksikan kepada air mata, ditinggalkan dan meninggalkan. Saya masih ingat pada hari itu, cuaca tidak begitu baik. Mendung dan sedikit ribut. Tidak ada banyak orang yang saya kenal, tidak banyak orang yang datang. Rata-ratanya warga emas yang juga saya yakin sedang menghitung masa untuk giliran mereka. Saya yakin mereka tak sukakan idea tentang kematian- tapi mungkin juga ada sebahagian dari diri mereka yang tidak takut malah berasa santai saja- kerana mereka sudah bosan dengan hidup yang terlalu panjang. Mereka inginkan pengakhiran. Pengakhiran dari rutin mengambil ubat-ubatan, masa-masa sukar untuk menjalani hari mengunjungi hospital, atau ringkasnya untuk mengkhuatirkan perihal anak cucu mereka.

Saya juga kembali bertemu dengan ibu saya pada hari itu, setelah beberapa bulan berpisah. Ibu saya seorang jururawat, tetapi dia tidak mahu saya menjadi seorang yang sepertinya. Dia pernah katakan yang saya bebas mahu jadi apa saja kecuali menjadi seorang budak kapal atau pelayar laut. Jelaslah dia tidak mahu saya berakhir seperti bapa saya juga, yang pergi dan tak kembali-kembali. Kematian yang tidak punya upacara pengebumian adalah salah satu perkara yang lebih melukai dirinya, daripada kematian itu sendiri menurut saya.

Jadinya, kematian mak cik Julita tidak begitu memberi kesan kepada ibu, jika saya baca pada raut wajahnya. Dia ingin cepat-cepat pergi, kerana dia tidak suka untuk diingatkan dengan kematian, atau majlis pengebumian. Oleh kerana itu, pada petangnya juga, saya dan ibu sudah mendapatkan dua tiket kereta api di tangan. Kereta api kembali Kota Panjang, yang terletak hampir lima jam dari Tanjung Rambai. Ibu tidak berkata apa-apa sepanjang perjalanan. Tidak ada hairannya, dia telah menjadi seorang yang tidak gemar berbual, setelah kematian suaminya. Dia cuma ada beberapa kali menanyakan kepada saya jika saya memerlukan baju panas dan juga ketika kru kereta api menawarkan makanan untuk dibeli. Saya masih ingat dia membelikan sebungkus sandwich keju untuk saya dan tidak mendapatkan apa-apa untuk dirinya sendiri.

*-----------*

Saya putuskan untuk hadir ke majlis pengebumian Tuan Zack Gunawan, lelaki yang saya tahu sebatas namanya saja, yang juga berkemungkinan adalah ayah kandung saya. Ini kedengaran macam satu lawak, tapi saya yakin tak ada siapa yang akan setuju kalau ini benar- benar melucukan. Di sekeliling saya semuanya orang- orang asing, yang saya tak kenal langsung. Kebanyakan mereka berwajah sugul dan tegang. Tak dapat dipastikan sama ada mereka benar- benar sedih atau mereka cuma pening dan bosan berada di majlis pengebumian. Sekali sekala saya mendengar ada ketawa- ketawa kecil yang datang dari sekumpulan wanita-wanita berusia yang masih tegar berdandan dan gemar bergosip.

Elemen hitam ada di mana-mana.
Maksud saya, warna hitam pada baju-baju, alas meja, dan juga lapik kerusi. Di hujung keranda tu, saya melihat seorang perempuan muda, bergincu merah saga, dengan topi bunga kecil yang menutup separuh mukanya. Bahunya berhenjut, tangannya mengusap penutup keranda. Dia kelihatan sangat sedih dan ketakutan. Okay, yang ini agak menarik. Jadi, saya terus memerhati, sambil duduk seorang diri di kerusi hujung sudut ruangan majlis, dengan kedua kaki yang rapat dan kaku.

"Cik Suzana."

Gambit tiba- tiba muncul dan menghampiri saya dari arah kanan. Dia nampak lega dan senang dengan kewujudan saya di situ.

"Sudah makan?" Tanya dia. Saya menoleh ke meja hidangan. Agak meriah, tapi saya rasa tak sedap hati untuk menjamu selera sambil ada keranda di dalam ruangan ini. Bukan kah itu sangat janggal dan sedikit menyeramkan?

"Oh, saya sudah kenyang." Bohong saya.
"Kalau gitu, mungkin saya boleh dapatkan Cik Suzana secawan kopi? Americano?" Pelawa Gambit lagi.

Saya mengangguk. Jadi Gambit pergi mengambilkan saya secawan kopi. Bila saya kembali jadi si keseorangan lagi, saya kembali melihat ke arah keranda, mencari kelibat perempuan muda tadi. Dia masih di tempat yang sama. Tidak berganjak.

Saya ingin menghampiri. Sebab saya juga sudah rasa bosan, dan lagi satu sebab saya terlanjur diserang kuriositi. Jadi saya berjalan ke arah keranda, dan berdiri agak dekat dengan perempuan itu. Tangan saya naik ke keranda, supaya tak nampak pelik dan lebih natural.

Perempuan muda tu menaikkan kepalanya. Dia menoleh ke saya perlahan- lahan. Saya merenungnya. Matanya bengkak dan pipinya agak basah. Dia nampak teruk.

"Kita kehilangan orang yang baik bukan?" Kata saya, seusahanya untuk bernada sendu. Ini seperti lakonan, tapi saya cuma mahu memancing untuk berbual dengan perempuan ini. Tidak ada niat jahat.

Ah, perempuan muda itu cuma mengangguk. Tapi masih tak bersuara.

"Kamu kenal baik dengan mendiang Tuan Zack Gunawan?" Tanya saya lagi. Berharap kali ini saya akan dapat jawapan balas.

"Rupanya Cik Suzana dekat sini." Suara Gambit tiba- tiba datang dari belakang. Saya menoleh, dia dengan cawan kopi kertas di tangannya. Mata dia membulat bila nampak perempuan muda tu.

"Oh, Maria. Saya baru saja nak kenalkan kamu dengan Cik Suzana, rupanya kamu berdua dah bertemu," Saya merenung yang namanya Maria. Perempuan muda di depan saya itu. Mukanya tiba- tiba nampak sedikit terkejut. Tangan Maria naik dan bergerak-gerak di sekitar wajah dan dadanya. Eh, ini bahasa isyarat.

"Maria ucap selamat bertemu. Dia minta maaf sebab tak cam siapa Cik Suzana." Beritahu Gambit. Jadi dia pekak atau bisu? Saya kira hanya Gambit seorang saja yang tahu pasal kewujudan saya?

"Sebenarnya Maria ini anak angkat mendiang Tuan Zack Gunawan. Dia cuma bisu tapi tak pekak. Cik Suzana jangan risau, Maria boleh dipercayai. Hanya Maria seorang, dan saya saja yang tahu pasal hal hubungan Cik Suzana dan mendiang Tuan Zack Gunawan," Terang Gambit dengan nada perlahan di hujung ayatnya. Dia memang pandai membaca air muka orang barangkali, langsung menjawab soalan- soalan dalam kepala saya.

Maria kemudian meminta diri. Gambit juga sudah kembali menghilang entah ke mana. Saya masih berkira- kira sama ada untuk kekal di sini untuk beberapa minit lagi, atau pulang ke rumah saja.


*--------*

Karton (revisi) Where stories live. Discover now