HAJI Bakar pulang ke rumah dengan baju Melayu yang berserabut. Butang bajunya tercabut satu kerana direntap kawan Sarip tadi ketika hendak menyelamatkan dia dari serangan kawan Kudin. Dia sudah tidak peduli apa-apa. Apa yang dia mahu sekarang hanyalah semua tahu anaknya ialah lelaki sejati. Dia benci mendengar perkataan khunsa buat anak lelakinya itu.
Rumahnya semakin kelihatan. Langkah Haji Bakar terhenti bila terlihat seorang pemuda berkurta biru sedang duduk di pangkin rumahnya. Nampak berfikir panjang. Haji Bakar menghampiri pemuda itu.
"Kamu ni lelaki dekat masjid tadi ke?" Dia menegur pemuda itu tanpa memberi salam terlebih dahulu. Pemuda itu terkejut lantas mengangkat wajah.
"Assalamualaikum." Pemuda itu memberi salam sopan. Berdiri menghormati kedatangan tuan rumah.
"Waalaikumussalam." Haji Bakar acuh tak acuh menjawab. Dia tak berapa senang bila melihat pemuda ini di sini sedangkan isterinya ada di dalam rumah berseorangan.
"Kamu buat apa dekat sini?" Haji Bakar atas bawah memandang pemuda ini. Segak orangnya. Patutlah dekat masjid tadi semua kecoh kata ada pemuda tampan mengaku dari Madinah datang ke kampung ini. Mereka beranggapan mungkin pemuda itu hendak berjumpa ustaz selebriti. Tidak hairanlah ada perantau di kampung ini pada waktu begini.
Pemuda itu tidak menjawab. Nampak menelan liur. Tertunduk.
Haji Bakar mengeluh berat.
"Baiklah kamu pergi ke masjid. Tolong apa yang patut dekat sana." Haji Bakar melangkah meninggalkan pemuda itu. Hendak masuk ke rumah. Dia sudah tidak sabar hendak mandi dan tukar baju. Sungguh perasaan marah berkenaan anaknya tadi belum surut.
"Allah taala berfirman, adakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan mengatakan mereka beriman sedangkan mereka tidak diuji?"
Langkah Haji Bakar mati di depan tangga.
"Setiap insan akan diuji dengan berbeza cara. Namun ironiknya, setiap ujian itu sesuai dengan kesabaran dan kecekalan insan itu. Tidak sekali-kali Allah meletakkan kita pada satu tempat yang kita tidak mampu menghadapinya."
Haji Bakar terkedu. Dia kenal kata-kata itu.
"Maka bersabarlah. Dalam kesabaran ada ganjaran. Jika disertai ikhlas maka besar lagi ganjaran yang diperoleh. Orang yang bersabar takkan pernah rugi, kerana Allah bersama mereka." Pemuda itu kedengaran menghela nafas kemudiannya.
"Itu yang ayah pesan dekat saya sebelum saya pergi dari kampung ini lapan tahun lalu. Waktu itu hati saya sangat hancur dan saya rasa sangat lemah. Dan itulah kata-kata semangat yang sampai sekarang saya pegang dan tak pernah lupakan."
Haji Bakar perlahan menoleh. Entah bila mata ini sudah dilimpahi air.
"Ayah, saya dah balik. Anak lelaki ayah, Luqman Annasaie dah balik."
Haji Bakar memandang tepat pemuda di hadapannya. Pandangannya kabur dengan air mata.
Luqman mengulas senyuman manis buat bapanya. Lelaki yang menjaganya dan mendidiknya dari kecil. Lelaki yang menyuap makanan dalan mulutnya dan membancuh susu untuknya. Satu-satunya insan yang memahaminya dan meredai setiap apa yang dibuatnya.
"Ayah.." Luqman menapak menghampiri. Menghulurkan tangan pada ayahnya. Menggapai tangan yang dirinduinya itu dan dikucupnya penuh syahdu.
"Luqman minta maaf sebab mengambil masa terlalu lama.." Nadanya sebak.
Haji Bakar dengan perasaan gembira bercampur terharu perlahan mengangkat wajah anaknya. Dia rindu untuk menatap wajah anaknya. Luqman mengangkat kepala.
YOU ARE READING
LUQMAN ANNASAIE 1 © (TERBIT)
Spiritual||||||||||||||||||||||| Ini bukan kisah wali Allah. Bukan juga kisah imam muhaddis. Hanya sekadar sebuah kisah tentang pemuda yang mendambakan syurga. Syurga ibunya dan syurga akhiratnya. Saat hakikat diri ditolak oleh sang ibu, maka hanya tuhan...