SEPANJANG malam, Luqman tak boleh lena. Padahal dia sangat penat dan mengantuk. Hanya merenung siling penthouse ini tanpa berkedip. Dia sendiri tak faham kenapa dia tak dapat lena. Banyak sangat benda dalam kepalanya.
Siang tadi, bermacam perkara berlaku. Dia jumpa mak. Dia jumpa ayah. Dan dia jumpa Ashikin. Semua itu orang penting dalam hidupnya.
Dia tak sangka, banyak sungguh perubahan dalam lapan tahun ini.
Ayah makin tua. Mak.. Semakin keras.
Dan Ashikin.. Ashikin sangat lain. Luqman tak pernah terbayang Ashikin akan berubah sampai macam tu sekali. Bila teringatkan Ashikin, dadanya jadi sesak amat.
Dia pandang jam dinding. Dah tiga pagi. Luqman bangkit duduk di birai katil. Merenung karpet di kaki. Matanya meredup.
Akhirnya dia berdiri, bergerak ke bilik air. Bersihkan diri dan berwuduk. Dia menukar pakaian, menyarung jubah putih yang memang menjadi seragamnya untuk tahajjud.
Angkat takbiratul ihram, dia tenggelam dalam solat malam.
Baru sahaja baca al-Fatihah, tiba-tiba mata bergenang. Segala perasaan yang tersumbat dalam hatinya sejak siang tadi seperti hendak terhambur. Dia cuba kuatkan diri menghabiskan al-Fatihah. Sejenak dia tenangkan diri selepas membaca amin.
Spontan dia membaca tiga ayat terakhir surah al-Baqarah. Sebagai seorang hafiz, memang hobinya untuk memetik mana-mana ayat dari seluruh al-Quran.
Ayat terawal, dia masih kuat. Namun sebaik masuk pada ayat kedua, suaranya jadi tersekat-sekat. Dan air matanya perlahan gugur.
'وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ..'
Menyebut sahaja ayat itu, seperti satu bom jangka yang tersimpan lama. Dia terus teresak-esak. Air matanya tumpah dengan murah. Menggeletar seluruh tubuhnya.
(..dan dia mendapat seksaan daripada kejahatan yang dilakukannya.)
Itulah terjemahan ayat itu. Dan itu sangat merentap jantungnya.
Seperti bayangan dia cuba mengapa-apakan Ashikin tergambar di kepala. Jeritan Ashikin dan rayuan gadis itu juga terbayang. Walaupun semua itu samar-samar, namun rasa dosa tetap menghimpitnya.
Luqman tersedu-sedu. Berkali-kali mengulang ayat ighfirlana dalam surah al-Baqarah itu. Sampai lenguh lidahnya.
Hampir setengah jam juga dia cuba tenangkan diri dari tangisan. Rakaat pertama sahaja panjang. Dia menangis sepanjang-sepanjang solat. Sujud, rukuk sehingga tahiyat akhir. Masih dia menangis. Sehingga penat dia dibuatnya.
Usai solat tahajjud itu, dia termangu lama di sejadah. Wajahnya diraup.
Dia mengangkat tangan. Menadah doa.
Terlalu banyak perkara dia mahu minta dari Yang Perkasa.
Namun tiga tunjang utama dia pohon pada malam ini,
Ya Allah, lembutkan hati ibu saya.
Ya Allah, ampunkan dosa saya.
Ya Allah..
Doa ketiga buat Luqmam terkelu. Air matanya tumpah lagi.
Ya Allah.. Warda Ashikin, adakah salah saya dia berubah seperti itu?
.
.
."KAMU buat apa dengan Luqman semalam?"
Waktu sarapan, Alia terus diserang soalan tersebut. Dia baru siap menggoreng nasi. Dihidang untuk suaminya. Tiba-tiba Haji Bakar soal begitu. Tegas bunyinya.
YOU ARE READING
LUQMAN ANNASAIE 1 © (TERBIT)
Spiritual||||||||||||||||||||||| Ini bukan kisah wali Allah. Bukan juga kisah imam muhaddis. Hanya sekadar sebuah kisah tentang pemuda yang mendambakan syurga. Syurga ibunya dan syurga akhiratnya. Saat hakikat diri ditolak oleh sang ibu, maka hanya tuhan...