Part 1

65 4 0
                                    

Semuanya bermula pada malam tahun baru.

Ketika ramai sedang sibuk menghitung detik berubahnya angka di hujung digit pada tahun ini. Dahi Nur Hidayah hanya menjemput kerutan seribu. Teman yang berada di sisinya juga gagal menghayati makna di sebalik letupan bunga api yang menghiasi langit malam. Umar merenung deretan ayat yang berada di sebalik skrin telefon pintarnya.

"Dia tak cakap kenapa?" Soal Hidayah setelah beberapa minit mendiamkan diri. Umar hanya menggeleng. Tidak ada patah perkataan yang terluah dari bibir lelaki itu.

Kerutan di dahi Hidayah makin bertambah.

"Habis tu, kau tak nak jumpa dia ke?" Hidayah bertanya lagi. Keengganan Umar menceritakan perkara yang sebenar membuatkan Hidayah sakit hati.

"Dia dah tak nak aku, Dayah. Aku nak buat apa lagi," balas Umar sebelum mengangkat punggung. Jambangan bunga mawar yang sepatutnya menjadi milik Aireen, terbiar kaku di lantai.

Hidayah mengeluh berat.

Jika diikutkan hati, ingin sahaja gadis itu mengejar Umar yang kini kian menjauh. Ingin sahaja dia meminjamkan bahu, memujuk hati yang terluka itu. Namun, Hidayah sedar akan kedudukan dirinya di hati Umar. Lelaki itu tidak pernah memandang dirinya lebih dari seorang kawan. Tidak kira samaada dia menepek bedak setebal roti. Atau, menggeles gincu semerah darah. Hati Umar tetap bukan untuknya.

Jadi, ketika Suzana; pelajar MassComm, menghulur kad sim yang masih berbalut ke arah Hidayah. Dia terus mencapai tanpa banyak bicara. Program yang dianjur oleh gadis berbaju merah itu langsung tidak menarik perhatian Hidayah. Apa yang penting, kad kuning yang berada di dalam tas tangannya.

Usai melabuhkan punggung di atas katil, Hidayah cepat-cepat membuka telefon sebelum meletakkan kad bersaiz nano tersebut di dalam slot yang sepatutnya. Bersyukur kerana telefonnya mempunyai kemudahan dual sim. Hidayah menekan segala tetapan yang diarah dengan perasaan tidak sabar.

Jarum jam menunjuk ke arah nombor tiga. Namun, Hidayah masih merenung objek hitam yang berada di hadapannya. Nombor telefon milik Umar sudah di simpan di dalam senarai kenalan. Tinggal untuk digunakan sahaja. Sudah tiada halangan lagi untuk Hidayah menjalankan rancangan yang bersarang di kepalanya.

Akan tetapi, kenapa jantung gadis itu berdegup begitu kencang? Kenapa begitu berat untuk dia menekan nombor tersebut.

Sejam berlalu pergi, Hidayah masih tidak jemu merenung telefon tersebut. Dia seolah-olah berharap Umar sendiri yang akan menghubunginya.

Ketika mesej pertama di hantar, waktu subuh mula mengetuk tirai. Biarpun mata Hidayah mula berpinar. Setiap huruf tetap ditekan dengan jari yang menggeletar. Pelbagai ayat cuba disusun. Namun, tiada satu yang dapat memuaskan hati gadis itu.

Selepas berfikir panjang, Hidayah memutuskan untuk menggunakan ayat yang digunakan oleh penulis terkenal J.K. Rowling sahaja sebagai kata sapaan.

"But you know, happiness can be found even in the darkest of times, if one only remembers to turn on the light."

Di hujung kata-kata tertulis nama Nur bagi memperkenalkan diri kepada lelaki tersebut. Hidayah tahu dia tidak patut berbohong kepada sahabatnya sendiri. Akan tetapi, hanya ini sahaja cara untuk gadis itu mendekati Umar sebagai seorang yang istimewa. Bukan sebagai kawan yang dibanggakan oleh lelaki itu.

Selepas itu, hampir setiap hari Hidayah menaip kata-kata sebelum di hantar kepada sahabat baiknya.

Biar tiada satu pun mesej yang berbalas. Tanda biru yang bercahaya di sudut kanan telefon sudah cukup untuk membuat hati Hidayah berbunga riang. Sekurang-kurangnya dia tahu Umar masih sudi membaca mesej yang dihantar.

Ketika berada di alam nyata pula, Umar tidak sekali pun bercerita akan mesej misteri yang diterimanya.

Lelaki itu berlagak seperti biasa.

Sudah tiada gundah yang menghiasi wajah tampannya. Hanya tawa yang menghiasi hari-hari mendatang. Hidayah turut tersenyum melihat wajah ceria Umar. Suasana mula kembali seperti sedia kala.

Apa yang berubah?

Bunyi mesej terus setia menemani malam Umar.

UMARWhere stories live. Discover now