BAB 9

56 3 1
                                    

Buat kali pertama selepas dua minggu berlalu, Hidayah memberanikan diri untuk menghantar mesej kepada Umar. Pesanan yang dihantar ringkas sahaja.

"Bagi aku peluang jelaskan semuanya. Aku tunggu kau tempat biasa, esok. Pukul 3."

Biarpun tiada sebarang balasan diterima. Hidayah tetap mengotakan janjinya. Tepat jam dua empat puluh lima petang, gadis itu sudah terpacak di gazebo fakulti, tempat yang sudah tidak asing lagi bagi diri Hidayah mahupun Umar.

Hidayah sengaja datang lebih awal. Ini kerana, dia perlu masa. Dia perlu mencari kekuatan sebelum berhadapan dengan Umar kelak. Jantung gadis itu berkerja lebih kuat daripada biasa. Telapak tangannya juga lencun dibasahi keringat. Hidayah mengesat kedua belah tangan menggunakan hujung baju kurung yang dipakai. Tekstur kasar fabrik yang bergeseran dengan kulit gebu milik gadis itu membuatkan rasa gementar dihatinya makin menjadi-jadi.

Hidayah menarik nafas dalam.

Jarum jam terus berdetik tanpa menunggu sesiapa. Satu jam bertukar dua. Sinar terik mentari kini berganti mendung. Namun, kelibat Umar langsung tidak kelihatan.

Pesanan yang tersembunyi di sebalik ikon berwarna hijau di dalam telefonnya, tidak berani dipandang. Hidayah bimbang sekiranya Umar bertindak membiarkan sahaja mesej yang dihantar berlalu pergi. Dia bimbang sekiranya hati Umar masih berdegil untuk memaafkan dirinya.

Azan Asar mula berkumandang.

Mujur dia cuti hati ini. Manalah tahu Umar datang ketika dia ke surau. Hidayah takut dia tidak berkesempatan bertemu dengan lelaki tersebut.

Tersentak dengan keterlanjuran hati. Hidayah cepat-cepat beristighfar. Mengucap panjang gadis itu. Malu rasanya apabila dia seolah-olah memperlekehkan kewajipannya sebagai umat Islam semata-mata ingin mengejar cinta dunia.

Angin mula bertiup agak kencang. Tudung yang tersangkut di bahu terangkat sedikit sekaligus menampakkan dada gadis itu. Hidayah pantas membetulkan kembali fabrik tersebut. Pipinya juga terasa agak kebas dek sapaan angin dingin yang menyentuh.

Hati Hidayah mula berbelah bahagi. Rasa yakin yang tersemat di dadanya beberapa ketika tadi, kini mula terlucut tidak ubah seperti tudung yang ditiup angin. Hidayah mula sangsi sekiranya Umar benar-benar akan muncul.

Biarpun begitu, titisan pertama yang menyentuh kulit gebu milik Hidayah masih belum dapat mengubah hati gadis itu. Namun selepas tudung bawal berwarna ungunya mula berubah warna, Hidayah mengangkat punggung.

Hujan yang membasahi bumi seakan turut menangisi rasa sayu yang dirasai. Mata yang pedih tidak lagi dapat dibezakan sama ada disebabkan oleh gerimis ataupun tangisnya sendiri.

Ketika kakinya memijak marmar berkilat yang menghiasi perkarangan fakulti. Namanya kedengaran jelas meniti di bibir mungil milik insan yang dekat di hati Hidayah.

"Umar," bisik gadis itu. Mata yang membulat mengambarkan perasaannya ketika ini. Hidayah terkedu. Sungguh dia tidak menyangka akan kehadiran lelaki di hadapannya.

Rambut Umar yang sentiasa terurus kelihatan agak kusut. Malah, manik-manik hujan jelas kelihatan di hujung rambut hitam lelaki itu.

"Umar," mulut Hidayah sekali lagi menyeru nama tersebut.

Umar yang masih tercungap-cungap, hanya mampu merenung sahabatnya itu. Tangan kanannya digenggam kemas bagi mengawal emosi yang menguasai perasaan lelakinya. Ego yang kembali menyelinap sedaya upaya ditolak. Dia mahu mendengar sendiri penjelasan dari Hidayah.

"Talk," desis lelaki itu.

Hidayah tersentak. Dialog yang dihafal beberapa hari yang lalu hilang entah ke mana. Mindanya terasa kosong. Tekaknya juga berasa kering benar.

Dia beberapa kali membuka dan menutup mulut. Tiada satupun patah yang terluah. Biarpun begitu, Umar masih menunggu penuh sabar. Wajah gementar Hidayah ditenung penuh simpati. Ingin sahaja lelaki itu memujuk gundah yang jelas terpamer di raup wajah Hidayah. Biar kurang sedikit gugup gadis itu. Namun, bila rasa dikianati masih membengkak di dalam dadanya. Umar hanya mendiamkan diri.

"I love you."

Seperti berjam lamanya, ayat keramat tersebut akhirnya terluah jua. Hidayah tidak membenarkan Umar menyampuk walau sekali. Usai sahaja tiga patah perkataan tersebut terluah dari hati, Hidayah seolah mendapat kembali keyakinan dirinya. Dia bercerita dari A hinggalah ke alphabet ke 26. Tiada satupun yang tertinggal. Bunyi bising hujan langsung tidak menghalang gadis itu dari berterus terang.

Umar kaku.

Segala maklumat yang diterima seakan tepu. Sukar untuk lelaki itu mempercayai perasaan yang selama ini di simpan oleh Hidayah. Hilang sudah kata-katanya. Dia hanya mampu menatap wajah mulus milik Hidayah.

Selepas mendengar semuanya, baru Umar perasan.

Wajah merah milik Hidayah bukan disebabkan oleh terik mentari. Tawa kekok ketika berada di sampingnya bukan disebabkan oleh lawak hambarnya. Diam gadis itu bersebab. Marah gadis itu bersebab. Dia bersabar biarpun tumpuan Umar hanya pada Aireen. Malah, gadis itu tetap setia biarpun tumpuannya sebelum ini hanya kepada Aisyah, Dayana mahupun Rosie. Tidak sekalipun matanya tertancap ke arah Hidayah. Entah kenapa, Umar berasa bersalah.

Rasa bersalah yang menyelinap melenyapkan segala rasa marahnya.  Tanpa Umar sedar dia mula menutur kata.

"Aku maafkan kau."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 23, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

UMARWhere stories live. Discover now