♛ Bab 13

2.8K 171 16
                                    

"KENAPA dengan Aira ni? Tak malu ke dengan orang yang ada dekat luar tu?"

Suara Puan Aminah memetir keheningan bilik yang menjadi tempat menunggu Adreanne. Mencerlung tajam mata Puan Aminah kepada satu-satunya anak gadis yang dia ada. Adreanne terdiam seribu bahasa. Tak tahu jawapan apa yang perlu dia berikan bagi menyejukkan 'kepanasan' si mama.

"Hari tu dah elok kata setuju bagai. Hari ni tup tup kata nak batalkan... mana mama dengan papa nak letak muka? Nenek tu, lagi malu dia nanti," bebel Puan Aminah sambil bercekak pinggang. 

"Fikir baik buruk dulu baru bertindak, jangan melulu je buat keputusan. Ini tak, nak fikir pasal kepuasan diri sendiri je. Tak ingat dah tempias yang kena dekat orang lain," tambah Puan Aminah lagi. Dia benar-benar kusut dengan perangai Adreanne.

Adreanne dilema. Dia sendiri tak tahu kenapa di saat-saat akhir begini hatinya mula rasa ragu-ragu walhal solat istikharah yang dia tunaikan telah memberi jawapan kepada kekeliruannya sebelum ini.

"Dahlah, mama malas nak cakap panjang lebar. Aira dah besar, bukannya budak kecil yang mama nak kena ajar itu ini... Aira fikirlah sendiri." Puan Aminah melangkah ke luar dari bilik itu lalu kakinya menghala ke arah dapur.

Jatuh kasihan Adzim dibuatnya apabila melihat keadaan Adreanne. Dia faham, bukan mudah untuk Adreanne yang baru mahu menginjak dewasa untuk menerima berita yang bakal mengubah masa depannya.

Dengan usia yang baru menjengah 20-an dan ditambah pula dengan jiwa yang meronta inginkan keseronokan, sangat sukar untuk gadis seperti Adreanne untuk menerima gelaran menjadi isteri. Apatah lagi tunangan orang.

Adzim melabuhkan duduk bersebelahan dengan Adreanne. Bahu Adreanne dipaut erat lalu diusap lembut. "Along tak nak paksa Aira untuk buat keputusan yang Aira tak boleh nak terima. Ikut kata hati Aira sendiri," pujuk Adzim perlahan.

Adreanne yang sedari tadi hanya tunduk mula mengangkat muka. Dia toleh ke kanan untuk memandang wajah Adzim. "Tapi... nanti orang kata macam-macam. Lepastu mama mesti lagi marah dengan Aira," ujarnya sebak.

Sampai bila Puan Aminah akan marahkannya, dan sampai bila juga dia mampu menanggung semua ketidakrelaan ini. Adreanne pejamkan matanya. Lama.

"Biarlah apa orang nak kata, jangan fikir sangat pasal cakap-cakap orang ni. Yang penting ni..." Adzim menepuk dadanya berkali-kali. "Hati kita rasa tenang dengan apa saja decision yang kita buat. Once we ignore all the negative vibes, life will be more happier. Trust me."

Adreanne melingkarkan tangannya di pinggang abang sulungnya. Kepala dilentokkan ke dada Adzim. "Terima kasih along sebab faham apa yang Aira rasa. Aira cuma rasa ragu-ragu, betul ke keputusan yang Aira buat ni? Aira takut kalau Aira tak boleh pegang amanah ni," luah Adreanne. 

Ya, takut. Itu yang Adreanne rasa. Bila dia bergelar tunangan orang nanti, pasti banyak benda yang akan berubah. Maruah dia dan keluarga perlu dijaga.

Orang kata dugaan bertunang ni lagi kuat. Sebagai persediaan seorang lelaki dan seorang perempuan untuk melangkah ke fasa yang lebih tinggi iaitu membina masjid Allah dan dia bimbang kalau-kalau dia tewas suatu hari nanti.

"InsyaAllah, tak ada apa-apa yang akan jadi. Percaya dengan takdir Dia dan kita akan mudah redha. Hati pun tenang." Senyuman seikhlas mungkin Adzim hadiahkan bagi meredakan kegusaran Adreanne.

Sedang asyik Adzim memujuk Adreanne, telefon pintar di dalam kocek baju melayunya mendendangkan lagu Hello nyanyian Adele. Dilihat siapa pemanggil yang tak henti-henti menghubunginya. Bibir Adzim ternaik dengan sendiri apabila melihatkan nama si pemanggil.

"Along jawab call ni kejap," beritahu Adzim. Dia bangun dari duduk dan melangkah ke arah tingkap yang terletak di hujung bilik itu. Badan disandarkan ke dinding kayu yang menjadi tembok kepada rumah separa papan ini.

Gadis Idaman Hati ©Where stories live. Discover now