Mulut sudah melebar dengan senyuman. Cepat-cepat Deeja masukkan motor ke dalam garaj kereta dan keluar semula. Helmet di kepala pun tak sempat dicabut.
"Umar!" jeritnya gembira. Terus dia mendapatkan kembarnya yang sedang menggeleng dalam senyuman.
Lengan si abang ingin dicapai tapi cepat sahaja tangan Umar naik dan menahan kepala Deeja yang masih berhelmet.
"Tak senonohlah kau ni. Cabutlah helmet dulu! Buatnya berlaga dengan kepala aku, tak pasal pecah otak aku," gurau Umar.
"Oh... Haahlah." Baru Deeja sedar yang dia masih belum mencabut helmet di kepala.
"Umar... Rindunya kat kau. Kau buat apa datang sini?"
"Aku hantar awek aku tadi kat rumah hujung tu. Jadi, aku singgahlah tengok kau."
"Awek rumah hujung? Itu rumah Aunty Lela. Anak dia semua lelaki. Aunty mana ada anak perempuan?"
Bertaut keningnya. Kebingungan sendiri.
Umar gigit bibir.
"Haihlah Deeja, entah bilalah perangai lurus kau ni nak meninggal? Sah-sahlah aku datang nak jumpa kau!" Laju sahaja tangan naik dan mengetuk kepala si adik.
"Heiii... Sakitlah! Aku baru nak touching tadi. Mujur kena tipu aje. Nak marah pun ada, sebab kalau kau ada awek pun belum tentu nak bagi tahu aku. Sebelum kau cari awek, awek kau tu, biar aku aje yang tapis sebab otak kau bila melibatkan perempuan bukan boleh percaya sangat. Kelabu asap." Kali ini giliran Deeja pula yang membebel pada kembarnya.
Umar sekadar tersenyum. Lega pabila melihat Deeja sentiasa ceria sebegini. Deeja, tolonglah jangan cepat sangat dewasa. Aku tidak pernah bersedia untuk itu.
"Jom, lepak mana-mana?" ajak Umar seraya membukakan pintu kereta.
"Hmmm... Dekat perempuan lain pun kau selalu bukakan pintu ke?" Soalan itu datang menerpa fikiran. Melihatkan rupa tampan Umar dengan kerjayanya yang stabil, tak mustahil ramai yang jatuh suka kepadanya. Apatah lagi dia penyayang orangnya.
"Mestilah... Aku kan gentleman."
"Better don't. Kau hanya akan buat ramai perempuan patah hati," komen Deeja sebelum masuk ke dalam perut kereta.
Pemanduan Umar terus ke taman berdekatan. Dia menjinjit mangkuk tingkat kecil dan dua botol minuman sebelum mendapatkan sebuah meja kosong di tepi taman.
"Kenapa tak minum kat kedai aje? Bukan selalu dapat paw kau," bebel Deeja.
"Malas aku nak berhabis duit kat kau. Duduk... Makan..." Mangkuk tingkat dibuka. Terhidang makanan kegemaran Deeja.
"Ya Allah, pulut kuning dengan sardin?"
Deeja yang nampak tak berminat tadi terus melabuhkan duduk. Matanya sudah bercahaya menangkap makanan kegemarannya. Laju sahaja tangannya ingin mencapai pulut, tapi cepat dilepuk oleh Umar.
"Main terjah aje. Basuhlah tangan tu dulu." Dari dulu lagi tak pernah berubah Si Deeja ni. Tak senonoh!
"Ohhh... Haah, kan." Sengih ditayang sebelum mula membasuh tangan menggunakan air mineral yang tersedia.
Namun belum sempat tangannya buat kerja, Umar terlebih dahulu mencubit pulut kuning dan mencicah dengan sardin sebelum menyuakan ke mulut Deeja.
"Aummm..." Suapan terus diterima tanpa banyak soal. Sudah biasa dengan layanan kelas pertama dari Umar.
"Sedapnyaaa pulut dan sardin yang mama buat..." Matanya sedikit bergenang dek air mata. Tak terperi rindunya pada masakan mama. Tapi rindunya pada mama lagi menggunung.
YOU ARE READING
Bidadari Tanpa Sayap
General FictionTajuk: Bidadari Tanpa Sayap Penulis: Ezza Mysara Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-85-4 Harga: RM32.00 (Semenanjung) // RM35.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2019