Bab 11

2.2K 54 0
                                    

Rasa lega menumpang dalam hati apabila dia selesai mendaftar nama Adam di Jabatan Pendaftaran Negara. Walaupun prosesnya agak renyah, tapi syukur ia selesai. Namun melihat ruangan bapa yang kosong, Deeja akui hatinya dijentik rasa sayu. Bagaimana hidup Adam nanti?

Sejak Maya berpantang ni, Deeja sudah bersahabat baik dengan Google. Habis semua benda akan diGoogle. Daripada penjagaan untuk wanita berpantang sehinggalah penjagaan bayi. Satu buku nota juga disediakan bagi memudahkan dia menjaga kedua-duanya.

Malah Deeja sudah menyiapkan senarai makanan yang perlu dimasak buat Maya. Selain daripada memudahkan dirinya nanti, ia juga membantu supaya Maya memperolehi khasiat yang mencukupi.

"Deeja, kau buat apa tu tak tidur lagi?" Dia tersedar daripada tidur dan melihat Deeja tiada di tempatnya. Kerana itu, dia keluar dan melihat Deeja sedang duduk di meja makan.

"Tak mengantuk lagi. Kau kenapa tak tidur lagi ni? Pergilah rehat. Muka kau nampak pucatlah."

"Oh, badan aku rasa bisa-bisa sikit. Jadi tak boleh nak tidur lena. Adam pun baru habis menyusu tadi. Tapi susu macam tak banyaklah. Macam mana nak bagi susu banyak, ya?" Bimbang pula jika Adam tidak mendapat susu yang mencukupi.

"Ya ke? Kejap aku Google makanan untuk tambah susu badan..." Laju sahaja tangan menyentuh skrin telefon.

"Hah... Ada banyak tip tapi antaranya kena banyakkan makan lobak putih. Okey, esok aku masakkan lobak putih masak air. Lepas tu kena..." Mulutnya terhenti daripada terus menyambung bicara.

"Kenapa?" Pelik pula bila Deeja terdiam begitu.

"Oh... Kau cakap pasal bisa badan, kan? Aku lupa sepatutnya orang lepas bersalin kena berurut. Lepas tu, berurut pun boleh banyakkan susu." Ada riak kesal di wajahnya. Bagaimana Deeja boleh terlupa perkara basic seperti ini?

"Deeja..." Tangan sahabatnya itu dicapai. Bibirnya mengoyak senyum.

"Kau dah jaga aku dan Adam dengan terlalu baik, Deeja. Aku tak dapat bayangkan hidup aku tanpa adanya kau. Mungkin aku tak sekuat sekarang ni. Boleh jadi, nasib kami akan lebih teruk lagi. Jadi, jangan salahkan diri sendiri. Lagi pun, manalah kau tahu perkara-perkara macam ni, kan? Kau bukannya ada pengalaman bersalin pun."

Deeja terdiam menyambut kata-kata Maya. Kadang-kadang ringan sahaja tangannya ingin menelefon ibu. Bertanya itu ini. Tapi bimbang jika ibu berfikir yang tidak-tidak sahaja. Lagi pun dia tidak mahu perkara seperti ini sampai ke pengetahuan ayah.

"Sorry ya, Maya. Aku tak jadi kawan yang baik untuk kau."

"Jangan cakap macam tu. Aku ni yang tak guna. Aku dah banyak susahkan kau. Dari segi tenaga dan wang ringgit. Terima kasih, Deeja. Tak terbalas tiap satu pun jasa kau pada kami berdua. Terima kasih sebab sentiasa ada pada saat yang lain dah buang kami." Rasa sebak ditahan. Dia sangka papanya akan memasukkan duit belanja bulanan seperti kebiasaan. Nampaknya kali ini papa memang betul-betul tekad untuk membuangnya.

Mampukah dia untuk hidup dalam kemiskinan begini bersama Adam? Benarkah pilihan dia untuk memilih Adam? Semuanya saling bergendang dalam fikirannya. Kadang-kadang dia rasa dia berani. Tapi rasa takut lebih bermaharajalela.

"Hei, tak mahulah cakap macam ni. Aku tak nak kau sedih-sedih. Kau pun tahu kan kesan yang kau boleh dapat? Orang panggil meroyan. Jadi, tenangkan fikiran kau. Banyakkan zikir. Boleh pasang ayat-ayat rukyah dekat telefon kau," pesan Deeja.

"Deeja..." Air mata yang luruh di pipi cepat sahaja disapu Deeja.

"Hmmm..."

"Boleh tak peluk aku?"

Tanpa membuang kata lagi, tubuh Maya dipeluk. Menyalurkan segala kekuatannya untuk Maya. Belakang tubuh sahabatnya itu digosok lembut.

"Jadi perempuan ini memang perlu hebat menjahit. Lebih-lebih lagi untuk jahit luka dalam hati sendiri. Allah uji kau. Allah uji aku. Dan sebesar apa pun masalah kita, kita kena tahu yang Allah lagi besar daripada segala-galanya. Kau kena ambil iktibar dengan apa yang jadi. Jadikan benda ni kekuatan untuk kau terus kuat. Aku tahu, Maya aku memang kuat. Kau perlu kuat demi Adam." Pelukan dilepaskan. Pipi Maya yang kuyup dek air mata itu disapu.

Bidadari Tanpa SayapWhere stories live. Discover now