Suasana kelihatan tegang antara dua keluarga. Tangan Dato Jaafar sudah ringan sahaja hendak menumbuk muka Amran. Tapi ditahan amarahnya. Bosan dengan kebisuan yang tak berpenghujung ini, Dato Jaafar mula bersuara.
"Sekarang ni macam mana? Dah pandai buat anak, pandailah bertanggungjawab."
Rata-rata yang menunduk terus mengangkat kepala. Lebih lebih lagi Puan Rosnah. Tuhan sahaja tahu apabila menerima WhatsApp daripada anak lelakinya tadi. Mujur tak kena serangan jantung. Tapi rupa-rupanya WhatsApp itu ditulis oleh orang lain? Berani betul hantar mesej begitu kepadanya.
"Anak sendiri yang tak pandai jaga maruah, nak salahkan anak lelaki kita pula," provok Puan Rosnah memeluk tubuh. Dia akui anaknya nakal, tapi tak mungkin anaknya akan melebihi batas.
Dato Jaafar sudah bangun dari duduk. Kakinya sudah mendekati lelaki tak guna itu. Tapi cepat sahaja Amran menyorok di belakang ibunya.
Maya makin menunduk. Takut dengan segala kemungkinan. Tangannya terketar-ketar. Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis.
"Dato jangan nak marah anak saya, ya? Dato yakin ke yang budak ni hasil daripada benih anak lelaki saya? Entah-entah budak ni hasil daripada benih lelaki lain? Anak kita pula yang dipersalahkan," bela Puan Rosnah lagi. Mukanya sombong. Suaranya angkuh.
"Lagipun bila saya tengok muka budak ni, tak ada rupa macam anak lelaki saya pun. Yalah, kalau betul cucu saya, mestilah rupa dia macam anak lelaki saya, kan?" tambah Puan Rosnah lagi. Tak mahu kalah. Wajah si kecil sekadar dipandang dari jauh. Sikit pun dia tak rasa ingin memegang. Jijik.
Tangisan Maya yang jatuh sudah bertukar esakan. Sungguh hatinya begitu terluka dengan tiap satu bicara daripada ibu Amran. Benar kata orang. Balik-balik, wanita juga yang akan menanggung akibatnya. Dan paling sayu, rasa sakit dalam hati datang dari mulut seorang wanita juga.
"Am... Kenapa kau diam aje? Kenapa kau tak mengaku ni anak kau?" Geram dikutuk dan dicaci, Maya memberanikan diri untuk bersuara. Memang patut papa marah kerana dia sudah mencalarkan maruah keluarganya. Sudahlah pula, maruah si anak dipijak-pijak oleh ibu lelaki.
"Am tak tahu apa yang Maya cakap. Memang betul pun ni bukan anak Am... Yalah, mana Am tahu kalau Maya pun ada bersama dengan lelaki lain? Takkan Am pula yang kena bertanggungjawab." Mudah jawapan balas daripada Amran. Mujurlah emak menyebelahinya. Tidaklah dia rasa takut sangat berhadapan dengan ayah Maya yang sedari tadi bagai hendak menelannya.
"Amran!" Maya kancing gigi menahan amarah. Amran sendiri tahu dia lelaki pertama. Amran sendiri bangga kerana berjaya menakluki kesuciannya. Sampai hati Amran...
Deeja yang mendengar segalanya menjadi sedih. Sedih melihat hidup sahabatnya rosak di tangan lelaki durjana seperti Amran. Malah semua beban yang ada seakan-akan hanya perlu dipikul oleh kaum wanita. Bukan itu sahaja, keluarga lelaki pula tegar membela si anak. Bukannya nak sekolahkan anak sendiri.
Ingin sahaja Deeja menumbuk Amran seperti tadi. Kakinya sudah melangkah setapak, tapi cekap sahaja tangan AJ menarik hujung lengan bajunya. Nampak lelaki itu berulang kali menggelengkan kepala.
AJ hantar isyarat mata. Tidak mahu Deeja mengeruhkan lagi keadaan yang sudah sedia keruh.
Dato Jaafar memandang anaknya. Bibirnya herot dengan senyuman sinis sebelum bertepuk tangan.
"Tahniah, Maya. Kau tengoklah apa yang kau dah buat!"
Maya tundukkan kepala.
Dato Jaafar mengubah anak matanya ke arah lelaki yang merosakkan anak perempuannya.
"Baik. Tak nak mengaku sangat, kan? Kita buat ujian DNA. Biar semua orang tahu siapa bapak budak ni!" tegas Dato Jaafar mengarah.
"Mak... Memang bukan anak Am. Tak payah susah-susah buat ujian DNA." Amran sudah ketakutan. Bahu si emak digoncang. Minta bantuan kecemasan.
YOU ARE READING
Bidadari Tanpa Sayap
General FictionTajuk: Bidadari Tanpa Sayap Penulis: Ezza Mysara Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-85-4 Harga: RM32.00 (Semenanjung) // RM35.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2019