Bab 5

2.6K 77 4
                                    

Deeja menggeleng. Tak boleh jadi ni. Sudah dua kali wajah AJ menjadi mangsa tumbukan ayah Maya. Akhirnya, dia memberanikan diri dengan berdiri di hadapan AJ. Menghalang wajah AJ daripada menjadi sasaran lagi.

"Pak cik... Saya rasa pak cik dah salah orang ni. AJ kawan saya. Dia yang tolong kami tadi. Bukan dia lelaki jahanam yang pak cik fikirkan tu." Mungkin kerana melihat baju AJ yang diselaputi darah, ayah Maya telah menganggap AJ adalah lelaki jahanam itu.

Kali ini berubah wajah Dato Jaafar.

"Nama aku Dato Jaafar. Panggil aku Dato Jaafar." Keras nada suara Dato Jaafar memperkenalkan diri. Wajah AJ sedikit pun tidak dipandang.

Deeja telan liur. Patutlah Maya takut benar dengan ayahnya. Memang garang macam harimau rupa-rupanya. Sudahlah tu, tak reti nak minta maaf bila tersalah orang. Dia sudah beberapa kali bertemu dengan Dato Jaafar, tapi mereka tak pernah dikenalkan antara satu sama lain. Sudah hampir lima tahun berkawan dengan Maya, baru hari ini dia tahu Maya tu anak Dato.

"Maaf, Dato."

"Mana perempuan tak guna tu?" Kali ini kemarahan Dato Jaafar beralih pada Maya pula.

"Dato, saya tahu Maya salah. Tapi tolonglah jaga emosi..." Belum sempat Deeja habiskan ayat, Dato Jaafar sudah meluru ke dalam wad yang menempatkan Maya.

Deeja dan AJ sudah saling berpandangan sebelum bergerak masuk ke dalam. Semua kemungkinan boleh berlaku bila menangkap kemarahan Dato Jaafar yang meluap-luap itu.

Pang! Pipi si anak menjadi sasaran tapak tangannya.

"Papa..."

"Anak tak kenang budi! Berani kau conteng arang dekat muka aku?" Dato Jaafar sudah naik gila. Beberapa kali tangannya menghempuk tubuh Maya sebelum isterinya datang membela.

"Abang, jangan buat Maya macam ni. Dia baru lepas bersalin," rayu Datin Tiara menarik si anak menyembunyikan diri di belakangnya walaupun dia sendiri takut dengan kemarahan suaminya itu.

"Kau tepi, Tiara! Biar aku ajar betina ni. Kau nak menjalang sangat, kan?"

"Papa, ampunkan Maya. Ampunkan Maya... Jangan buat Maya macam ni." Pipinya kuyup dek air mata. Malu bila menjadi tontonan mata-mata yang memandang. Habis semua orang di sini tahu yang dia melahirkan anak tak sah taraf.

"Encik, tolong bagi kerjasama. Jangan buat bising di kawasan hospital ni. Kalau ada masalah, sila bincang elok-elok." Seorang jururawat bertugas datang memberikan amaran.

"Hei, anak aku dah conteng arang kat muka aku! Nak bincang apa lagi?!" pekik Dato Jaafar kembali. Terus jururawat itu diam tidak berkutik.

Deeja pegang kepala sendri yang berdenyut. Perkara tak akan selesai andai Dato Jaafar mendahulukan nafsu amarahnya.

"Siapa lelaki tu? Cakap dengan aku Maya, siapa lelaki tu? Biar aku cincang-cincang dia sampai lubang cacing." Jari telunjuk naik terarah ke wajah si anak.

Lambat-lambat Datin Tiada memusingkan tubuh. Memandang si anak.

"Cakap dengan papa, Maya. Siapa lelaki tu? Takkan dalam keadaan macam ni pun Maya masih nak selamatkan dia? Maya nak tanggung semua ni sorang-sorang?" Lembut Datin Tiara memujuk.

Maya teresak-esak mengelap air matanya. Malunya tak terperi dengan segala yang berlaku hari ini. Tapi inilah yang perlu ditanggung atas segala dosanya. Lambat-lambat Maya melepaskan pandang ke arah Deeja dan AJ yang berada di hujung katil.

Deeja mengerutkan dahi. Kenapa Maya memandang ke arah AJ tika ini? Adakah AJ yang dimaksudkan oleh Maya? Adakah kerana itu AJ kelihatan sangat panik dan gelisah tadi? Benarkah begitu?

Bidadari Tanpa SayapWhere stories live. Discover now