Bab 8

2.2K 51 1
                                    

Air mata tak putus-putus mengucupi pipi. Sungguh tak sangka papa benar-benar membuangnya setelah dia membuat keputusan untuk menjaga anaknya. Tapi dia tak boleh salahkan papa. Dalam hal ini, dia tidak berhak untuk merasa terluka atas layanan papanya.

"Dahlah. Ibu bersalin tak elok emosi sangat," pujuk Deeja sambil mengelap air mata di pipi sahabatnya.

"Lagipun kau tengah susukan baby. Nanti emosi tu baby dapat rasa." Tangan berubah mengusap kepala si kecil.

"Aku banyak susahkan kau, Deeja." Maya tidak tahu bagaimana hendak dia sorokkan malunya pada Deeja. Sudahlah membantunya ketika melahirkan anak, malah Deeja juga masih membantunya ketika dia dibuang keluarga.

"Susahkan aje aku sebanyak mana kau nak, Maya. Kita kan kawan." Deeja tersenyum. Tapi tidak lama sebelum senyuman itu pudar sendiri.

"Aku minta maaf, Deeja." Rasa sebak yang menghuni dada, memang sukar untuk disembunyikan.

"Aku akui, aku terkilan sebab kau tak cerita masalah kau ni dari awal." Mungkin jika Maya ceritakan dari awal, dia tidak terlalu terkejut sebegini. Malah dia pasti akan bantu Maya membuat persediaan dengan lebih baik.

"Aku malu. Aku takut. Aku takut kau benci aku. Setiap malam aku bimbang memikirkan nasib aku dengan anak aku. Macam-macam yang aku fikir, Deeja. Pernah juga aku rasa macam nak bunuh diri. Nak bunuh anak aku..." Bicaranya tergantung bila esakan sudah menjadi gantinya.

Kali ini Deeja membiarkan Maya melepaskan rasa yang terbuku di dalam dada.

"Jadi, aku tak nak kau tanggung beban ni. Aku tak nak kau hilang selera makan fikirkan pasal aku. Aku tak nak tidur kau terganggu fikirkan pasal aku. Aku kenal kau, Deeja. Kau akan dahulukan orang lain lebih daripada diri sendiri. Aku yang berdosa, jadi... Aku tak nak kau tanggung akibat daripada dosa aku walaupun akhirnya, aku tetap susahkan kau. Aku tetap... Susahkan kau."

Terenjut-enjut bahu Maya melampiaskan tangis.

Tak membiarkan Maya bersedih sendiri, Deeja terus menarik tubuh Maya ke dalam pelukannya. Bahu sahabatnya ditepuk lembut. Cuba menenangkan.

"Terima kasih sebab fikirkan tentang aku, Maya. Hanya Allah aje yang tahu betapa aku sayangkan kau banyak mana. Jadi, lepas ni jangan simpan semuanya sorang-sorang lagi, Maya. Kongsi aje semua kesakitan kau dengan aku..." pujuk Deeja lembut.

Maya lepaskan pelukan. Wajah Deeja dicari.

"Lepas apa yang jadi, kau tak bencikan aku?"

Takut-takut soalan itu dihulur. Bimbang dengan jawapan yang bakal diterima.

Deeja senyum.

"Aku benci dosa yang kau lakukan. Tapi itu tak dapat menutup kasih sayang aku pada kau."

"Jujur, Deeja. Aku pernah terlanjur sekali aje. Sekali aje aku terpedaya dengan tipu daya syaitan. Sekali aje, Deeja. Tapi sebegini hebat Allah hukum aku."

Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis. Tapi apa pilihan yang dia ada selain meratapi kebodohan diri?

Maruah keluarga, dia calarkan. Kepercayaan keluarga, dia hancurkan. Yang tinggal hanya kekecewaan.

"Jangan rasa ini hukuman Allah, Maya. Sebenarnya Allah tegur dan selamatkan kau daripada melakukan dosa yang sama berulang kali. Kau rasa kalau kau tak mengandung, ada kebarangkalian tak kau ulang dosa kau?" provok Deeja supaya akal Maya berfikir.

"Mungkin kalau kau tak mengandung, kau akan ulang dosa yang sama. Kau akan rasa nikmatnya sebuah kemaksiatan. Tapi sebab Allah sayang kau, dia selamatkan kau. Dia selamatkan anak kau. Dan dia juga selamatkan kau daripada lelaki tak guna macam Amran tu."

Bidadari Tanpa SayapWhere stories live. Discover now