Barang-barang dimasukkan ke dalam beg. Barang Adam juga dikemas. Sekadar mengambil yang perlu sahaja.
"Adam, kita kena lebih kuat lepas ni. Adam geng aunty mama, kan? Kalau geng aunty mama, kena kuat dan tabah. Tak boleh manja-manja tau!" Deeja berbual seketika dengan si kecil.
Lambat-lambat Deeja bergerak ke pintu. Tangan kiri memaut tubuh Adam. Tangan kanan pula menjinjit beg milik mereka. Baru sahaja pintu rumah dibuka, wajah AJ terpacul di situ.
AJ yang baru berkira-kira untuk mengetuk pintu dijamah rasa terkejut melihat Deeja, Adam dan beg milik mereka.
"Kau nak pergi mana ni?" Walaupun sudah faham, tapi tetap AJ memohon penjelasan.
"Aku... Aku... Nak pergi..." Belum sempat Deeja menjawab, AJ sudah menapak masuk ke dalam rumah. Satu tapak AJ melangkah, satu tapak Deeja mengundurkan langkah.
AJ pejam mata. Menghela nafas. Sangkanya, perbalahan mereka sudah pulih dengan insiden semalam. Nampaknya Deeja betul-betul marahkan dirinya. Jika tidak, takkan gadis itu bertindak untuk melarikan diri? Tanpa sebarang kata, beg Deeja terus ditarik.
"AJ, kau nak buat apa dengan beg tu?" Rahang Deeja jatuh. AJ ni memang sukalah ikut kepala otak dia sendiri. Langkah kaki terus mengekori langkah AJ yang masuk ke dalam bilik di ruangan bawah itu.
Beg milik Deeja itu diletakkan di atas katil. Zip dibuka dan satu demi satu baju dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam almari.
"AJ, kau buat apa ni?" Suara Deeja sudah naik satu oktaf. Melihatkan AJ yang langsung tak mengendahkan dirinya, Deeja meletakkan si kecil di atas katil. Senang nak bergaduh bila tiada jalan untuk berbincang.
"AJ!" Tak boleh jadi ni. Beg miliknya ditarik. Pakaian yang dipegang oleh AJ serta-merta jatuh ke kakinya.
Melopong Deeja saat melihat kutang miliknya mendarat tepat di kaki AJ. Cepat-cepat Deeja membongkok dan menyorokkan kutang itu di belakang badannya.
"Kau nak buat apa ni, AJ?" Marah satu hal. Malu dah jadi dua hal. Kalau AJ kena tumbuk, memang akan jadi tiga hal.
AJ gigit bibir. Wajahnya juga kering dengan darah. Tapi dia masih berpura-pura tenang. Tapak tangan dicekak ke pinggang.
"Siapa suruh kau pergi? Siapa suruh kau tinggalkan rumah ni? Sejak bila kau hati tisu ni, cakap sikit merajuk? Cakap sikit merajuk?" Terkejut sebenarnya dengan tindakan Deeja yang ingin meninggalkan rumah ini. Ke mana gadis itu hendak tuju?
"Kau merepek apa ni?"
"Yalah. Kau nak tinggalkan rumah ni, kan? Nak lari dari aku sebab marahkan aku yang tak bagi kau jaga Adam?"
Deeja tepuk dahi. Tak tahu nak ketawa atau nak hempuk kepala AJ saat ini.
"Aku nak balik rumah mak akulah! Ayah aku suruh balik. Adam pula aku nak tinggalkan dekat rumah Mak Naim. Sebab itulah aku berkemas pagi-pagi ni. Kejap lagi Naim ambil." Satu nafas Deeja menceritakan hal sebenar.
Kali ini jatuh rahang AJ.
"Kau ni... Kenapa tak cakap awal-awal?" Jari naik menggaru tengkuk sendiri.
"Nak cakap awal-awal macam mana kalau kau terus tarik beg aku tadi? Kau tak reti nak tanya ke? Kau reti nak marah aje, kan? Sekarang tak pasal-pasal aku kena kemas beg semula," bebel Deeja geram. Rasa macam nak kunyah-kunyah aje AJ sekarang.
"Tak apa. Biar aku tolong kemaskan semula." Baju yang diletakkan di dalam almari tadi kembali dicapai. Tapi kali ini tangannya terpegangkan sesuatu...
"AJ!" jerit Deeja kuat apabila tangan AJ terpegangkan seluar dalam miliknya.
"Tak payah! Biar aku kemas sendiri." Bibir digigit. Malunya terasa bukan kepalang. Habis semua ruang privasi miliknya terkorban. Sekarang ni, mana aku nak letak muka ni?! Gggrrr...
YOU ARE READING
Bidadari Tanpa Sayap
General FictionTajuk: Bidadari Tanpa Sayap Penulis: Ezza Mysara Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-85-4 Harga: RM32.00 (Semenanjung) // RM35.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2019