Semalaman Maya tidak pulang ke rumah. Jarinya tetap masih belum jemu mendail nombor Maya. Kadar kebimbangannya, hanya Allah sahaja yang tahu. Disebabkan risaukan Maya, semua gubahannya serba tidak menjadi.
"Aduh, kenapa tak cantik ni?" Kemarahan dilepaskan kepada diri sendiri.
AJ yang sedari tadi memerhati terus menggeleng. Bunga dan gunting yang berada di tangan Deeja dirampas.
"Kau dah kenapa, AJ? Tolonglah, hari ni aku kehabisan bateri nak bergaduh. Bak sini balik gunting tu." Cemberut sahaja wajah Deeja.
"Kau tu yang kenapa? Kau gubah bunga ke kau gubah sampah?" Kasar teguran AJ. Kembali membelek gubahan Deeja yang perlu diperbaiki.
"Huwa! Sampai hati kau cakap gubahan aku macam sampah..." Rasa sedih menjalar dalam ruang hati. Mata dah kabur. AJ tak pernah reti nak jaga hati dan perasaannya.
AJ lepas nafas. Lambat-lambat ditarik kerusi dan mengarahkan Deeja untuk duduk. Dah kenapa sensitif sangat minah ni hari ni? Biasanya hati dawai besi sangat. Sekejap dia bergerak ke pantri dan menghulurkan sebuah botol mineral kepada Deeja.
"Selama ni, aku tengok kau gubah bunga dari hati. Jadi memang gubahan kau terletak cantik. Tapi hari ni kau gubah guna emosi, jadi sebab tu semuanya jadi cacamarba. Apa kena dengan kau? Gaduh dengan boyfriend?" Sambil membebel, tangan AJ laju bekerja. Sejujurnya dia bukanlah orang yang arif dalam menggubah sejambak bunga. Tapi dia banyak belajar dari kerja-kerja Deeja yang sentiasa kemas itu.
"Aku kan tak ada boyfriend."
"Dah tu? Kau emosi sebab kau tak ada boyfriend?"
"Bukanlah! Kau diamlah, AJ. Makin kau cakap, makin sakit aje hati aku dengar," bebel Deeja kembali.
AJ sekadar tersenyum. Dah boleh marah-marah tu maksudnya emosi Deeja akan segera pulihlah.
"Maya tak balik rumah." Akhirnya Deeja memulakan cerita.
Terhenti kerja-kerja AJ.
"Dia ada beritahu dia pergi mana?"
Deeja menggeleng.
"Tak ada. Call pun tak dapat. Lately ni, dia macam nak larikan diri aje dari aku."
Sekarang baru Deeja perasan. Memang Maya mengelak dari keluar dengannya. Hujung minggu pun Maya sibuk dengan projek-projeknya. Tapi kalau dah Mira sendiri beritahu Maya dah lama ponteng kelas, habis tu selama ni Maya ke mana? Adakah benar telahan Rita? Maya mengandung. Mengandung anak tak sah taraf? Anak siapa?
Ya Allah, sebagai kawan baik dan rakan sebilik, kenapa aku boleh tak perasan perkara sebesar ni? Teruknya kau ni, Deeja!
"Perasaan kau aje tu. Dia mungkin sibuk."
"Kawan sekelas dia cakap, Maya dah lama ponteng kelas." Pelbagai cerita buruk menjalar dalam fikiran. Dia kenal dengan Maya dari semester pertama lagi. Maya sentiasa ada di sisinya pada saat dia susah dan senang. Saat dia ketawa dan menangis. Punyalah dia sayang dengan Maya sampai dia tak sanggup nak berpindah dari rumah itu.
"Kau dah call keluarga dia?" AJ bentangkan jalan.
"Maya tak rapat sangat dengan keluarga dia. Aku pun tak ada contact keluarga dia." Mereka berdua menjadi serasi kerana mereka memiliki nasib yang hampir sama. Jadi, mereka saling berkongsi kekuatan dengan cara mereka. Deeja sendiri tak pernah kenal keluarga Maya.
Tiba-tiba Deeja teringatkan peristiwa minggu lepas. Maya menangis teresak-esak di dalam selimutnya. Apabila ditanya, hanya gelengan sebagai jawapan.
"Entah-entah, dia dalam masalah dan... Dia tak kongsi masalah dia dengan aku? Ya Allah, kesiannya Maya. Kawan jenis apalah aku ni sampai tak perasan masalah kawan baik sendiri?" Rasa macam nak ketuk-ketuk kepala sendiri.
YOU ARE READING
Bidadari Tanpa Sayap
General FictionTajuk: Bidadari Tanpa Sayap Penulis: Ezza Mysara Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-85-4 Harga: RM32.00 (Semenanjung) // RM35.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2019