bab 13

59 10 1
                                    

Razor Safehouse

REMY mendaki anak tangga dalam keadaan tenang menuju bilik persendirian milik Razor. Daun pintu berwarna coklat didekati sebelum diketuk beberapa ketika. Dari dalam bilik, kedengaran suara Razor yang membenarkannya memasuki ruangan peribadi tersebut. Tombol diputar mengikut arah jam sambil menolak perlahan pintu yang menjadi pemisah.

Riak Razor yang sedang duduk di sisi katil kelihatan hairan dengan pajama hijau gelap tersarung pada tubuh. Rambut emasnya kelihatan sedikit kusut. Meyakinkan bahawa dirinya sedang enak diulit mimpi sebentar tadi.

"Kenapa?" Ringkas pertanyaan Razor kepada orang kanannya.

"Berdasarkan laporan kesatria magis, Gambit kini berada di Kota Celikjaya. Tujuan sebenarnya masih belum diketahui. Unit intel telah dikerah bagi melakukan pemantauan. Tapi masih tiada sebarang laporan buat masa ini," jawab Remy.

Satu decitan halus terluah. Razor merenung Remy sekilas. Kemudian memejam kelopak mata sambil melepaskan hembusan nafas yang kedengaran berat.

"Kau ganggu aku malam-malam hanya sebab ini?" tutur Razor dengan nada mendatar. Dia mendongak bersama norma tajam menikam raut wajah Remy.

"Maaf. Aku tidak berniat untuk mengganggu tidur tuan. Berdasarkan arahan tuan pada dua hari lepas yang meminta aku untuk mengemas-kini sebarang laporan tentang Gambit memaksa aku untuk menge-"

"Dia bersama siapa?" potong Razor.

"Berdasarkan laporan, Gambit kelihatan berseorangan. Petang tadi dia telah mencetuskan masalah sehingga memaksa kesatria magis menahannya,"

Razor tidak membalas. Rambutnya dilurut ke belakang lalu bangkit dari duduk seraya menghampiri gerobok kayu jati yang indah dengan ukiran pada pintu. Tidak menghiraukan keberadaan Remy, dia melepaskan pajama daripada tubuh. Mempamerkan tubuh tegap hasil daripada latihan selama ini. Pakaian rasmi kapten disarung pada tubuh sebelum berpaling kepada Remy sambil mengikat rambutnya menjadi sanggul.

"Panggil Drake. Kita pergi Kota Celikjaya sekarang juga," arah Razor.

Gunung Leste

DARI celahan pokok, satu siulan unik telah menarik perhatian seekor rusa yang sedang menjamah buah-buahan hutan di kaki gunung. Ia mendongak dengan perlakuan yang terkaku buat seketika, tertinjau ke kiri dan kanan bagi mencari punca siulan yang kedengaran dari segenap arah. Hidung biru miliknya bergerak kecil.

Rusa tersebut mula menjauhi kawasan pepohon rendang dengan berwaspada. Bunyi siulan masih kedengaran, seakan memanggil-manggil haiwan yang paling sukar ditemui itu untuk mencarinya. Kekal berwaspada, rusa berhidung biru mengatur langkah yang meninggalkan kesan tapak kakinya pada permukaan salju.

Siulan tersebut tiba-tiba senyap. Secara langsung mematikan pergerakannya. Seakan menghidu bahaya, hidung birunya bergerak-gerak kecil sebelum melompat tinggi. Mencecah dahan pokok yang dilitupi timbunan salji.

Sebuah perangkap yang dipasang sekadar menjerat angin. Selajur mencecah tanah, rusa tersebut bingkas memecut. Dengan lincah mengelak satu-persatu jerat yang mensasarkannya. Sedang ia melompat-lompat serta mengelak ke kiri dan kanan dalam kelajuan tinggi, satu rintangan tali halus yang diikat pada dua pohon tersangkut pada salah satu kaki. Membuat si rusa jatuh tergolek. Pergeselan tersebut menghasilkan luka pada kakinya.

Tidak tergugat, ia bangkit semula dengan pantas. Luka pada kakinya seperti tidak merencatkan larian serta kelincahannya dalam mengelak perangkap-perangkap lain. Darah yang mengalir keluar dari belahan luka, meninggalkan kesan pada setiap bekas tapak kakinya.

Dari kaki gunung, ia memecut dengan kelajuan penuh memasuki kawasan hutan tebal. Setelah agak lama memecut, lariannya beransur perlahan. Pendarahan pada kakinya semakin parah, ditambah dengan pecutan yang dilakukan sebentar tadi membuat bukaan luka semakin luas. Langkah si rusa terhincut-hincut mendekati sebatang pohon. Terus direbahkan tubuhnya sambil menghasilkan bunyi menahan sakit. Anak matanya mempamerkan kesakitan yang menyengat.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaWhere stories live. Discover now