Hutan Simpan Guntur, Bandar Jokowe, Soutoh
BUNYI deruan enjin kenderaan beroda empat memecah keheningan malam di sebuah hutan simpan negara. Laluan bertanah merah yang berlopak kerana hujan petang tadi diredah dengan laju tanpa menghiraukan tompokan lumpur yang mengenai tubuh kenderaan. Si pemandu yang merupakan lelaki mengawal kenderaan dengan baik walaupun laluan yang dihadapi agak berliku kerana gelap ditambah lubang pada kiri dan kanan jalan.
Kenderaan tersebut memperlahankan kelajuan tatkala menghampiri hadangan palang besi yang dikawal dua petugas berpakaian celoreng berwarna coklat. Si pemandu menghentikan kenderaan bersebelahan petugas tersebut sambil menyapa dengan ucapan selamat malam. Sekeping kad yang merupakan kad identiti untuk petugas jabatan perhilitan dipamerkan sebelum besi penghadang dinaikkan oleh seorang lagi petugas.
Tongkat gear ditolak sambil menekan pedal seiring kenderaan beroda empat itu mula berjalan semula. Selama beberapa minit meredah laluan berliku itu, kenderaan tersebut berhenti di satu persimpangan sebelum membelok ke kanan, memasuki laluan berturap yang lebih elok. Ngauman enjin kedengaran kasar serentak kelajuannya kian bertambah membelah laluan yang terang dengan lampu oren pada kiri dan kanan jalan.
Si pemandu mengambil kotak rokok berwarna merah yang berada di ruangan meter. Dikeluarkan sebatang lalu diletakkan pada bibir dan dicucuh.
"Nak rokok?" soal si pemandu kepada penghuni di tempat duduk sebelah yang berkerudung hitam sambil menghulur kotak tersebut bersama pemetik api.
Tanpa balasan, susuk berkerudung tersebut menarik keluar sebatang rokok lalu dicucuh api. Si pemandu sempat menoleh sebentar kepada susuk tersebut sambil tersenyum dengan rokok pada celahan bibir. Dua batang jarinya menjepit rokok tersebut lalu dilarikan daripada mulut sebelum menghembus keluar asap putih yang meliuk disapa angin.
"Kau berdua dari mana? Malam-malam begini berani betul jalan kaki dalam hutan," tutur si pemandu bagi memecahkan kesunyian yang mengisi ruang.
"Titantua. Kereta kuda aku dicuri masa berehat di sempadan petang tadi," jawab susuk tersebut lalu menolak kerudung ke belakang.
"Oh. Jauh tu. Makan lima hari perjalanan dari sini. Kalau naik benda ni laju sikit, dua hari sudah sampai. Tapi, dekat luar sana tak ada supply bahan bakar. Memang terpaksa naik kereta haiwan je lah. By the way, nama aku Coba. Kau?"
"Gambit. Di belakang tu Hayyat."
"Oooh. Salam kenal, Gambit." Coba langsung menghulur tangan sebagai tanda perkenalan mereka.
Selepas itu keadaan mereka kembali hening tanpa sebarang perbualan. Hanya bunyi dengungan angin yang menerobos masuk melalui tingkap.
"Jadi, ke mana tujuan kau berdua?" soal Coba lagi.
"Selatan Jagatraya," jawab Gambit pendek lalu menyedut putung rokok.
"Di sini sudah selatan saudara. Adakah kau mahu ke Rossalem? Cuma dua negara sahaja yang berada di selatan."
"Hmmm." Gambit mengangguk sekali.
"Kalau kau mahu, aku boleh tolong hantar sampai ke sempadan. Aku nak hantar kau ke Rossalem, tak boleh. Pas keluar negara aku sudah luput. Nanti sangkut dekat sempadan. Susah."
"Itu sudah memadai."
"Tapi, esok pagilah. Malam ini kau berehat dekat rumah aku dulu. Esok pagi aku hantarkan ke sana."
"Tak menyusahkan kau?"
"Hahaha. Tak adalah. Aku lebih suka tetamu datang rumah. Membawa rezeki orang cakap. Lagipun cuma ada isteri dan dua orang putera aku sahaja di rumah. Ada satu bilik kosong. Tak perlu kau keluarkan duit untuk menginap. Lagi pula kereta haiwan kau hilang. Apa salahnya aku membantu. Kita sama-sama manusia walaupun lain negara."
YOU ARE READING
Hikayat Sang Pelindung: Perang Titantua
خيال (فانتازيا)Tatkala keadaan dunia semakin tenat. Muncul manusia-manusia yang ditakdir mempertahankan dunia daripada hancur di tangan sekeping jiwa yang obses kepada pemerintahan mutlak. Ideologi yang didendang kepada umat manusia merupakan topeng bagi menutup n...