bab 23

70 7 2
                                    

Shadvale District

PADA waktu malam, suhu di Pulau Antratik jatuh mencecah -55° celcius sehingga -90° celcius. Malah akan turun lebih rendah sekiranya keadaan cuaca tidak elok seperti malam ini. Deruan suara badai ketika itu kedengaran bergaung ibarat gabungan jeritan yang menggusarkan. Bertiup tanpa sekelumit simpati menampar segenap inci kawasan dengan angin kencang. Habuk-habuk salji yang terbuai dek tiupan badai bergulung-gulung ibarat ombak di lautan.

Di tengah-tengah kawasan beribut salji, sesusuk bertubuh tinggi lampai, berjaket coklat yang tebal dan labuh serta bertopeng, terbongkok-bongkok meredah cuaca buruk pada malam itu. Langkahnya perlahan, namun konsisten menghadap hembusan badai yang menimpa sekujur tubuh. Hujung jaketnya berkibar disapa angin. Sebilah pedang yang bersilang pada belakang tubuh turut terbuai mengikut rentak tiupan angin kencang sedari tadi.

Setelah beberapa ketika meredah fenomena alam semula jadi, langkahnya berhenti betul di hadapan sebuah rumah atau lebih layak dipanggil pondok. Tanpa ragu, susuk tersebut mendaki anak tangga yang menyambung kepada pintu utama. Tanpa mengetuk, dia memulas tombol seraya menolak daun pintu seluasnya. Seiring hembusan angin membawa masuk habuk salji ke ruang dalam rumah yang gelap.

Tanpa membuang masa, susuk tersebut masuk ke dalam lalu menutup pintu. Suis bersebelahan pintu ditekan. Seiring lampu kalimantan yang melekat pada siling berkelip-kelip sebelum menyala. Langsung menerangi ruangan yang tadinya gelap-gelita. Simbahan cahaya lampu menampakkan ruang dalam rumah yang hanya terdapat set kerusi dan meja, sebuah sofa dan televisyen serta gelimpangan botol arak pada lantai.

Dia memerhati seketika ruangan berselerak sebelum mendekati sofa lalu berlutut dan membongkok ke lantai. Sebelah tangannya meraba bahagian bawah sofa untuk beberapa ketika sebelum sebuah alat perhubungan diambil keluar. Berwarna kelabu dan berbentuk bujur serta terdapat antena pada bahagian atas. Ditekan beberapa punat sebelum dihala pada telinga.

"Uncle Gon it's me, Zdenko. Kenapa rumah kosong? Uncle di mana?" tutur susuk tersebut sambil menarik ke bawah topeng yang menutupi wajah.

"Farmville? Malam-malam macam ni?"

Rambut merahnya yang lembab dikibas dengan jemari. Untuk beberapa ketika dia menyepi, terangguk beberapa kali seperti sedang menjawab soalan sebelum riaknya bertukar tegang.

"I knew it. That's why i came here to see you-"

"...."

"About that Uncle tak perlu risau. Aku dah minta Henry jagakan mereka bertiga buat sementara waktu. They're safe with him."

Zdenko diam sebentar. Kemudian, satu senyuman sinis terukir bersama pandangan tajam yang menzahirkan niat membunuh.

"I need gun," tuturnya pendek dengan suara yang dikeraskan.

"Lot of it."

...

Istana Atap Nipah, Jelapang Padi, Tanah Utara

DI BAHAGIAN timur daerah yang sinonim dengan nama jolokan 'padang emas', sebuah istana berciri konsep tradisional berdiri megah berhampiran bendang sawah yang luas terbentang. Kelihatan unik dengan bahan asas binaannya menggunakan kayu dan buluh. Tiada logam yang diguna pakai kerana menggunakan cara pasang siap dengan membentuk alur pada setiap bahagian dinding untuk dicantum tanpa menggunakan bahan pengikat seperti paku. Ukiran-ukiran tembus bermotif bunga-bungaan pada panel di sekeliling istana dan selasar yang menyambung ke anjung istana serta ukiran halus kaligrafi pada setiap jendela menaikkan seni kontemporari yang mengekalkan sisi tradisional istana.

Bumbungnya terdiri daripada tiga lapisan dan melengkung ke atas serta tirus pada bahagian hujung seperti bentuk sebuah bot. Keindahan istana tradisional tersebut ditambah dengan aturan pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni di halaman istana. Laluan berbatu kerikil yang terus menuju sebuah tangga kayu tebal selebar dua meter dan bersambung anjung istana, dikawal oleh dua kesatria di kiri dan kanan tangga.

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaWhere stories live. Discover now