Paradise Palace
RUANGAN balairung istana besar ini sentiasa suram. Baik malam atau siang, keadaannya tetap sama ibarat tiada sinar cahaya yang mampu menerangi. Di atas singgahsana kristal merah, Pablord duduk bersilang kaki dengan sebelah tangan menongkat kepalanya yang terteleng. Senyuman sinis menghiasi seraut wajah yang penuh misteri. Daripada tersenyum meleret, dia tertawa kecil dan beransur terbahak-bahak lagak watak antagonis di dalam sesebuah karya.
"Betul apa yang dikatakan kau. Semuanya berjalan mengikut predeksi kau," tutur Pablord setelah usai dengan tawanya kepada seseorang yang berada di sebalik kesuraman balairung.
"Semuanya telah aku jangka. Mana mungkin orang terpintar istana gagal mengatur rancangan. Walaupun, ianya memakan sedikit masa untuk tiba pada kemuncak." balas susuk misteri tersebut sambil mendekati singgahsana. "Kita semakin hampir, Pablord. Misi kita daripada Maharaja Gaius bakal diselesaikan tidak lama lagi. Tanah istimewa ini, tanah Titantua bakal dikuasai oleh empayar besar dari barat," sambung susuk tersebut lalu disudahi dengan tawa kecil. Kedengaran juga derapan tapak kasut yang menghentak permukaan lantai balairung. Bergema dan kian mendekati.
"Aku tidak sabar untuk melihat hari bersejarah itu." Pablord kembali tertawa dengan sepuasnya.
Susuk misteri itu semakin menampakkan identitinya. Sedikit demi sedikit tubuhnya disimbah cahaya malap. Lalu kelihatan seraut wajah seorang lelaki tua berambut putih yang disikat rapi ke belakang dan berjubah biru - Ahli Falsafah Khidir.
"Jangan terlalu senang. Masih ada banyak lagi hal yang perlu dibereskan," tegur satu suara lain. Hanya kelihatan susuk tubuh berkemeja putih dan berseluar hitam mengikut saiz kaki yang sedang duduk bersilang kaki di sebuah kerusi. Kasut kulit hitamnya berkilat dan terdapat corak naga yang memanjang pada kiri dan kanan, kemudian bercantum pada bahagian hadapan. Naganya ternganga luas dengan sedikit semburan api.
"Kalau setakat hal sang pelindung itu, aku sudah hantar orang terbaik aku untuk membereskannya. Hari ini-"
"Ingat! Pablord. Dalam dunia ini bukan ada seorang sahaja sang pelindung. Dan bukan ada satu masalah sahaja yang boleh timbul. Aku tidak mahu kerana masalah kecil, ianya menyukarkan kita pada kemudian hari," potong individu tersebut sebelum sempat Pablord menghabiskan kata-katanya.
"Kau terlalu paranoid, Bruno." Pablord membalas sinis.
Susuk tersebut menjatuhkan satu kakinya dengan hentakan keras dan bergema. Deruan hembusan nafas keras kedengaran.
"Aku bukan paranoid. Aku bersiap sedia dengan pelbagai kemungkinan. Kalau bukan kerana 'paranoid' aku. Kau tidak akan berada ada pada posisi kau sekarang. Tidak kerana grimoire-grimoire itu, kau tidak akan sekuat ini."
"Jadi kau mahu mengungkit?"
"Kalau bercerita tentang mengungkit. Aku secara tiba-tiba teringat tentang blueprint teknologi senjata terkuat sepanjang zaman, Pablord. Tapi, ternyata aku telah memberikan pada orang yang salah."
"Kau jangan menyindir aku Bruno. Kalau tak kerana aku, kau takkan dapat Batu Mulia. Ini semua disebabkan budak yang bunuh aset terpenting aku. Kalau tidak, projek ini sudah selesai lama." Bidas Pablord kasar.
"Selama lima tahun, cuma sebiji. Itu yang budak bawahan aku cakap. Lagi sebiji masih di utara. Siapa yang harus dapatkan batu-batu itu kalau bukan aku? Hmmphh! Aku dengar kau sedang menjalankan projek setanding meriam terkuat itu? Di mana?" perli Bruno.
YOU ARE READING
Hikayat Sang Pelindung: Perang Titantua
FantasyTatkala keadaan dunia semakin tenat. Muncul manusia-manusia yang ditakdir mempertahankan dunia daripada hancur di tangan sekeping jiwa yang obses kepada pemerintahan mutlak. Ideologi yang didendang kepada umat manusia merupakan topeng bagi menutup n...