Bab 38

26 3 0
                                    

Keesokan harinya..
Istana Atap Nipah

SINARAN mentari masih belum membias cahaya dari ufuk timur. Namun, ribuan kesatria telah berkumpul di halaman istana. Ruang halaman seluas padang itu sarat dengan kesatria, sehingga ada yang terpaksa berbaris di pagar masuk istana.

Dari dalam istana, Jeneral Kumbang melangkah keluar. Terhenti seketika di anjung istana memerhati pejuang-pejuang negara yang sudah siap berbaris.

Jue di sebelah, mengiringi Jeneral Kumbang menghampiri barisan kesatria. Wajah-wajah mereka tampak keliru dengan persoalan-persoalan yang membelenggu sedari semalam. Jelas ketidaksabaran mereka untuk mengetahui apa yang diselindung oleh jeneral tersebut.

Si jeneral menghentak tanah. Serentak tanah pada tapak kaki mula terangkat menjadi sebuah kubah. Cukup tinggi untuk memudahkannya melihat setiap kesatria.

"Pertama-tama sekali. Terima kasih diucapkan kerana telah menyelesaikan arahan yang dikeluarkan. Saya juga ingin memohon maaf kepada kamu semua kerana merahsiakan beberapa perkara."

Jeneral Kumbang jeda, melihat reaksi kesatria yang tertanya-tanya.

"Berdirinya saya di sini kerana membawa beberapa berita yang kurang sedap. Jika hempedu sudah cukup pahit, pahit lagi berita ini untuk diluahkan oleh mulut saya kepada kamu semua. Dan.. berat untuk saya menjawab persoalan-persoalan yang timbul di kotak fikiran kalian.

Namun, tiada guna berbolak balik. Hari ini.. saya! selaku pemegang amanah negara akan berlaku jujur tentang kondisi Titantua saat ini. Negara yang kita cintai... dan kita yang sanggup bergadai nyawa demi keamanan sejagat telah dinodai oleh tangan-tangan halimunan."

Si jeneral berdehem. Merengkuh liur sebeluk menyambung ucapan.

"Selama lima tahun ini... kita... telah diperintah oleh musuh. Musuh yang berniat untuk menjatuhkan dan menguasai Titantua-"

"Mana buktinya, jeneral!"

Jeneral Kumbang terhenti namun tetap beriak tenang.

"Buktinya adalah mata kepala saya sendiri. Jika saya berbohong saat ini. Kelak pancunglah saya di hadapan kamu semua!"

Suara lantang jeneral bergema di kawasan halaman. Mengunci bibir-bibir kesatria yang masih berbicara.

"Kejadian yang berlaku semalam di istana Versailers tidak pernah saya jangkakan. Sepasang mata ini yang menyaksikan bagaimana tubuh-tubuh tidak berdosa tergantung di siling, dikumpul menjadi gunung di hadapan balairung istana.

Waraskah Raja Hadrian.. raja yang kita hormati tega melakukan perkara sebegitu? Sanggup menamatkan riwayat mereka-mereka yang selama ini setia kepada baginda?"

Sepi, tiada lagi suara-suara yang kedengaran di antara kesatria.

"Sekali lagi saya katakan, jika kamu rasa saya berbohong. Terserah... itu semua pilihan kamu.

TAPI! Pinjamkan saya kekuatan kamu! Hulurkan setiap tangan kaki kamu! Acukan pedang kalian ke udara! Alirkan seluruh tenaga! Bergabunglah! Bergabunglah sesama kita menjadi benteng yang tidak terkalahkan.

Peperangan kini sudah tidak boleh dielak lagi. Ianya semakin menghampiri. Mereka! si lahanat-lahanat itu sudah sepuluh langkah ke hadapan daripada kita. Sedangkan kita.. masih di sini. Saling sangsi sesama sendiri."

Keadaan perlahan-lahan menjadi heboh. Ribuan suara mula berkecamuk. Namun ianya tidak menggoyahkan Jeneral Kumbang.

"RAJA KITA! RAJA HADRIAN! Telah mangkat lima tahun lalu ketika perang besar dahulu. LIMA TAHUN! Lima tahun lamanya sumpah kita diperkotak-katik! Disandera dan dipijak ibarat debuan kotor! Sanggupkah! Sanggupkah kamu semua wahai pejuang Titantua yang rela bergadai nyawa.. membiarkan sumpah yang dilafaz penuh dedikasi dan kejujuran, diinjak-diinjak sebegini rupa!"

Hikayat Sang Pelindung: Perang TitantuaWhere stories live. Discover now