Bab 1

2.4K 24 0
                                    

Nizar menyebak rambut dan melepas keluh. Dia sudah rasa hilang sabar. Kereta Perodua Viva di hadapannya ini sejak tadi asyik brek mengejut saja. Trafik pada malam itu agak perlahan. Tidak seperti kebiasaan.

Nizar memeriksa jam pada dashboard. Sudah lewat 10 minit dari masa yang telah dijanjikan. Dia mengeluarkan telefon, berhasrat untuk menekan nombor 1 speed dial. Jemarinya tidak terhenti. Dia teragak seketika sebelum membatalkan hasrat lalu mencampakkan telefon ke tempat duduk sebelah.

Beberapa minit kemudian, barulah Nizar mengetahui punca trafik yang perlahan itu. Ada sekatan jalan raya yang sedang dilakukan oleh polis trafik. Kelihatan tiga orang penunggang motosikal ditahan di tepi jalan sambil disoal siasat oleh pegawai yang bertugas.

Dia memperlahankan kereta, mengangkat tangan dan mengangguk kepada petugas trafik sebelum meneruskan perjalanannya.

Sebaik saja Nizar terlihat bangunan restoran yang dijanjikan, dia membelok dan mula mencari parkir kosong. Kawasan parkir di situ penuh dan dia berpusing beberapa minit sebelum mendapat sebuah tempat kosong yang baru saja ditinggalkan oleh sebuah kereta Proton Persona.

Setelah mematikan enjin, Nizar membelek wajah pada cermin kereta, merapikan rambut yang kusut dan memeriksa pakaiannya. Semuanya nampak okey. Dia menarik nafas panjang. Berharap. Malam ini, strateginya adalah dengan meminta maaf dan menelan apa saja kata-kata yang keluar dari mulut Rozlyn kelak.

Dia menolak pintu restoran dan menebar pandang mencari Rozlyn. Dilihatnya Rozlyn sedang duduk di sudut paling hujung. Di atas meja sudah ada segelas jus tembikai kegemarannya. Namun, wajah Rozlyn nampak sedikit keruh dan matanya sembap. Dia benar-benar berharap yang kekeruhan pada wajah Rozlyn itu hanya disebabkan oleh kelewatannya dan bukannya sebab lain.

"Lyn, dah lama awak sampai?" Nizar menggarit senyum lebar seraya menghuni kerusi di hadapan Rozlyn.

"Taklah. Saya pun baru sampai." Rozlyn sebaliknya membalas tawar.

Ruang di dalam restoran hingar dengan gelak ketawa dan perbualan pelanggan yang datang. Pelanggan restoran itu memang ramai pada waktu sebegini. Ini adalah restoran kegemaran Rozlyn kerana makanannya menepati cita rasanya.

"Awak dah oder?"

"Belum. Saya tunggu awak."

"Okey..." Nizar melilau mencari pelayan tetapi pelayan yang ada sedang sibuk mengambil pesanan dari meja lain. Pelayan yang lain pula sedang sibuk menghantar pesanan dari meja ke meja. Dia melambai tetapi tiada seorang pelayan pun yang memandangnya kerana masing-masing sibuk dengan pesanan pelanggan.

"Nizar, betul ke awak serius dengan saya?" soal Rozlyn tanpa sebarang mukadimah.

Nizar menjatuhkan tangan. Iris coklat Rozlyn dipandang tepat dan dalam. Soalan cepumas Rozlyn yang tiba-tiba itu menjentik-jentik kuat hulu hatinya.

"Ya. Awak pun tahu, kan?"

"Betul ke?"

"Betul. Awak tak percayakan saya ke?"

Rozlyn menggigit bibir.

"Lyn, awak nak makan apa?" Sengaja Nizar mahu mengalihkan hala tuju perbualan mereka. Dia mengangkat tangan kembali sambil matanya mencari kelibat pelayan. Ada seorang pelayan yang melihatnya tetapi pelayan itu memberi isyarat memintanya menunggu kerana dia sedang melayan pelanggan yang berdekatan dengannya terlebih dahulu. Geram pula hatinya dengan pelayan tersebut sedangkan dia terlebih dahulu sampai. Dia melilau pandang cuba mencari pelayan lain.

"Nizar, bila awak nak masuk meminang?"

"Huh?"

"Awak memang tak nak kahwin dengan saya ke?"

Anak Tuan RumahWhere stories live. Discover now