Bab 3

964 19 0
                                    

"Apa dah jadi dengan awak ni, Nizar?!"

Nizar tersentak. Dia cepat-cepat bangkit dari kerusi yang didudukinya. Tuan Kamil tiba-tiba muncul di hadapannya dengan riak marah.

"Ya, Tuan Kamil. Ada apa?" soalnya polos.

"Awak tanya saya ada apa? Ini..." Tuan Kamil mengunjuk sejumlah helaian kertas betul-betul di hadapan wajah Nizar.

"Apa semua ni?"

"Saya tak faham..."

Belum sempat Nizar menyudahkan pertanyaannya, Tuan Kamil mencampakkan kertas-kertas tersebut ke wajah Nizar. Kertas-kertas itu melayang di atas meja dan juga bertaburan di atas lantai. Nizar tergamam menerima serangan Tuan Kamil itu. Pekerja yang lain juga turut terkejut dan tergamam. Masing-masing diam menikus memerhatikan drama petang itu.

Apalah nasibnya minggu ini? Kena simbah jus tembikai, kena hambur dengan kertas. Entah-entah esok lusa ada orang baling telur busuk pula.

Lambat-lambat Nizar membongkok mengutip kertas-kertas yang bertaburan di atas lantai dan meja. Dia meneliti sekali imbas.

"Ini maklumat item-item yang diagihkan ke setiap cawangan," kata Nizar.

"Kenapa dengan item-item ni?"

Tuan Kamil menarik nafas kasar.

"Awak tanya saya kenapa? Awak tak tau apa salah awak?"

Nizar masih terpinga-pinga. Dia meneliti kembali tulisan dan nombor yang tertera pada kertas-kertas tersebut. Ada sesuatu yang tidak kena. Nombor-nombor yang tertera di bawah kolum kuantiti kelihatan ganjil dan tidak sesuai dengan item yang diwakilinya. Nizar menelan air liur.

"Tuan Kamil, saya..."

"Keluar! Saya tak nak tengok muka awak dekat ofis ni!" Tuan Kamil berteriak macam Hitler sedang mengamuk di meja bulat.

Nizar terpinga-pinga apabila tiba-tiba disuruh keluar ketika waktu bekerja. Dia memandang Tuan Kamil dan rakan-rakan sekerjanya satu per satu. Tuan Kamil bercekak pinggang dan membelakanginya.

Rakan sekerja yang lain saling berpandangan antara satu sama lain. Mereka juga terpinga-pinga melihat situasi tersebut. Perlahan-lahan Nizar menyusun kertas-kertas tadi di atas meja sebelum menarik beg sandangnya dari bawah meja, ingin beredar.

Tuan Kamil mengeluh berat. Dia memandang Nizar semula. Wajahnya sudah tidak menyinga seperti Hitler lagi.

"Nizar, letak balik beg awak tu." Suara Tuan Kamil sudah bertukar kendur.

"Masuk bilik saya sekejap."

Tuan Kamil kembali semula ke biliknya. Berdegar-degar bunyi tapak kasutnya. Nizar garu kepala. Dia tidak tahu sama ada dia telah dipecat serta-merta atau bakal menerima hukuman berat. Dia meletakkan begnya kembali.

Razi, rakan sekerja yang duduk di meja sebelah menghampirinya lalu mengambil kertas-kertas yang diambil oleh Nizar tadi. Dia ternganga.

"Wow, apa yang kau dah buat ni, Nizar? Kau salah key in kuantiti item. Mahu mengamuk orang dekat semua cawangan ni."

Nizar mengeluh. Nasi sudah menjadi bubur.

"Kau pergilah minta maaf dengan Tuan Kamil tu elok-elok supaya dia tak pecat kau," kata Razi sambil menepuk bahunya.

Nizar mengeluh lagi.

Nizar mengetuk pintu dengan tanda nama Tuan Kamil bin Ramli - Pengurus Besar. Terdengar arahan menyuruhnya masuk. Nizar memulas tombol pintu. Dilihatnya Tuan Kamil sedang berdiri membelakanginya sambil memandang ke luar jendela.

Anak Tuan RumahWhere stories live. Discover now