Bab 10

956 16 1
                                    

Semasa dia sampai di hadapan premis itu tadi, hatinya sedikit hampa. Premis itu tidak seperti yang dijangkakan. Walaupun cawangan Tanjong Karang memang diketahui sebagai cawangan yang paling rendah prestasinya, namun apabila melihat sendiri premis yang menempatkan cawangan perniagaan milik Tuan Kamil itu, dia hanya mampu melepas keluhan.

Lokasi premis itu memang strategik tetapi aura persekitarannya langsung tidak membawa mood yang bagus. Seolah-olah, premis itu hanyalah satu kedai yang menunggu masa untuk ditutup sahaja.

Orang kata, jangan menilai dari segi luaran sahaja tetapi yang penting perlu juga nilai dalaman. Sentimen yang begini barulah adil. Namun, setelah beberapa minit dia mengekor langkah Cik Linda yang murah senyuman itu, senyuman yang dia sendiri pamerkan sejak dia masuk ke premis itu tadi semakin lama semakin kendur.

Sepanjang Cik Linda membawanya melihat-lihat bahagian serta staf yang menjaga setiap bahagian itu, hatinya mula rasa tidak senang. Walaupun pelanggan tidak ramai, kebanyakan staf di situ hanya berbual sesama sendiri.

Pelanggan sepatutnya dilayan dan dipenuhi permintaannya. Memang ada sesetengah pelanggan yang tidak selesa apabila setiap langkah mereka diekori oleh pekerja tetapi sekurang-kurangnya, staf perlu sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat apabila diperlukan. Bukannya pelanggan terpaksa tercari-cari staf untuk mencarikan sesuatu item.

Staf yang menjaga bahagian pakaian nampaknya tidak mengambil serius tentang bahagian mereka. Jenis-jenis pakaian yang sepatutnya dipamerkan dan digantung terutamanya di bahagian pakaian wanita tidak banyak sepertimana yang sepatutnya.

Seingat Nizar, banyak kod item di dalam senarai pakaian wanita. Sudahlah banyak pakaian yang tidak disusun mengikut kategori yang betul, malah pada besi waterfall tertentu, ada pakaian yang digantung terlalu padat dan ada yang terlalu kurang. Malah ada waterfall yang dibiarkan kosong tanpa pakaian yang diperagakan.

Penyangkut baju juga tidak diuruskan dengan baik. Apabila ada pelanggan yang melihat-lihat pakaian, pelanggan biasanya akan membuka pakaian daripada penyangkut baju. Pelanggan akan memilih lebih daripada satu dan sudah menjadi tanggungjawab staf untuk menyangkutkan semula pakaian yang tidak terpilih itu ke tempat asalnya atau kumpulkan di satu tempat dan susun kembali kemudian.

Tetapi di sini, penyangkut baju ada di merata-rata tempat. Di atas baju-baju yang berlipat atau dibiarkan tergantung di atas besi waterfall begitu sahaja.

Ini hendak berniaga baju atau berniaga penyangkut baju?

Pada baju-baju yang tergantung tetapi tidak mendapat sambutan pula, Nizar dapati habuk yang agak tebal sudah menyelimuti baju-baju tersebut. Malah ada baju yang sudah lusuh dan nampak lama. Nizar telan air liur. Agaknya sudah berapa lama baju-baju itu tergantung begitu saja tanpa dipedulikan?

Namun, berbanding itu semua, Nizar lebih peduli tentang kedudukan bahagian pakaian wanita yang tidak strategik. Entah mengapa mereka meletakkan kedudukan pakaian dalam wanita yang sensitif itu berdekatan dengan bahagian pakaian lelaki.

Kalau jenis pakaian yang lain mungkin tidak mengapa. Pelanggan wanita yang hendak membeli pakaian dalam pasti rasa tidak selesa hendak membeli-belah jika ada pelanggan lelaki yang berdekatan. Kalau Nizar sendiri jadi pelanggan, dia lebih rela tidak membeli.

Pandangan Nizar melorot pula pada beberapa guni berisi item seperti pakaian, selimut dan seragam sekolah yang terletak di setiap bahagian. Ada yang diletak di bawah bin dan ada yang diletak pada kaki bin. Nizar berasa rimas pula melihatnya.

Mengapa stok diletakkan di ruang niaga agaknya? Apa gunanya ada stor? Tiada orang yang mahu mengemaskah?

Nizar membetulkan cermin matanya yang sudah melorot di hidung.

Anak Tuan RumahWhere stories live. Discover now