Bab 6

703 16 0
                                    

Agaknya alamat buruk semalam sudah efektif hari ini.

Sudah hari keempat.

Nizar masih belum berjaya menghubungi Rozlyn. Hatinya sudah bertambah-tambah resah. Berkali-kali ganda resahnya dari semalam. Dia sudah kebuntuan. Dia menunggu Rozlyn di tempat kerjanya tetapi sampai ke petang kelibat Rozlyn tidak kelihatan. Nizar kemudian datang ke rumah sewa Rozlyn tetapi kawan serumahnya memberitahu Rozlyn balik bercuti ke kampung.

Ini bukan berita baik. Rozlyn tidak pernah merajuk dengannya lebih dari tiga hari. Ada sesuatu yang tidak kena. Adakah Rozlyn betul-betul maksudkan yang dia mahu berpisah?

Petang itu, akhirnya penantiannya berakhir. Waktu itu, Nizar baru sahaja pulang dari kerja dan mahu menukar pakaian. Tergeliat tangannya ketika sedang menyarung baju T di kepala kerana terkejut apabila nama Rozlyn tertera di skrin telefonnya.

"Helo. Lyn, awak dekat mana? Awak tak apa-apa ke? Kenapa awak tak jawab panggilan saya?" Bertubi-tubi soalan yang dilontarkannya.

"Nizar, boleh saya jumpa awak sekarang?"

"Sekarang? Okey. Awak dekat mana? Saya datang sekarang."

Rozlyn pernah bertanya, apa yang ada pada dirinya sehinggakan Nizar jatuh hati dengannya. Dan jawapan yang Nizar beri;

"Jodoh. Kita tak boleh memilih dengan siapa kita jatuh hati."

Kemudian, Rozlyn bertanya lagi. Kalau kita tak boleh memilih dengan siapa kita jatuh hati, kita pun tak boleh hendak memilih kalau dah bukan jodoh, betul tak?

Nizar masih ingat. Ketika mendengar kesimpulan Rozlyn itu, dia hanya ketawa. Dia fikir kesimpulan Rozlyn itu hanya kata-kata kosong untuk memenuhi perbualan mereka semata-mata. Macam kata-kata di angin lalu. Dia sudah melupakannya.

Tapi sekarang, dia ingat betul bait-bait yang diujarkannya kepada Rozlyn. Malah kata-kata Rozlyn itu terngiang-ngiang kembali di telinganya bagai semalam dia baru mendengarnya. Dia rasa kata-katanya pada masa lepas itu datang menghantuinya semula. Mengejek dan mentertawakannya. Nizar memejam mata. Dia cuba mengawal kocakan di dalam dadanya.

Cuaca petang ini cerah benar. Angin berpuput perlahan. Taman rekreasi itu seperti biasa dipenuhi pengunjung yang datang beriadah. Dia lihat kanak-kanak berlari keriangan bersama keluarga mereka. Dia selalu menggambarkan pemandangan ini dalam rancangan masa depannya bersama Rozlyn.

Dua tahun lalu, ketika hatinya sedang perit menanggung perpisahan dengan Aufa, Nizar berkenalan dengan Rozlyn di taman rekreasi itu. Pada waktu petang, dia selalu nampak Rozlyn duduk di atas bangku rehat sambil membaca novel. Mulanya mereka bertukar pandang, kemudian bertukar senyuman dan tidak lama kemudian mereka saling bertukar bicara.

Dua bulan kemudian mereka bertukar nombor telefon. Disebabkan Rozlyn, dia mula dapat melupakan Aufa. Sejak itu, dia mula berfikir yang pertemuannya dengan Rozlyn adalah peluang kedua baginya untuk memulakan kehidupan baharu. Setiap kali mereka bertemu di bangku itu dan melihat kanak-kanak berlari keriangan bersama keluarga mereka, Nizar sudah pasti masa depan yang bagaimana yang dia mahukan.

Nizar membuka mata semula. Kocakan di dalam dadanya masih belum surut tapi dia masih waras untuk mengekalkan ketenangannya. Tidak ada faedahnya jika dia menghamburkan apa yang ada di dalam dadanya.

"Siapa lelaki tu?"

"Anak kenalan ayah."

"Dia kerja apa?"

"Doktor."

"Hospital mana?"

"Awak tak perlu tahu."

Anak Tuan RumahWhere stories live. Discover now