Bab 8

696 16 0
                                    

Hari pertama sebagai pengurus cawangan, Nizar rasa dia perlu membawa buah tangan walaupun dia hanya datang untuk bertanya khabar dan melihat-lihat keadaan cawangan yang bakal menjadi tempat kerjanya selama enam bulan berikutnya. Dia bertolak awal dan berhasrat untuk singgah membeli sesuatu untuk bakal staf yang akan ditemuinya nanti.

Sebaik tiba di pekan Tanjong Karang, Nizar membuat keputusan untuk membeli kek sahaja. Nizar berpusing-pusing sebentar di sebuah kawasan perniagaan sebelum akhirnya mendapat parkir. Bagus. Tidak jauh dari kedai kek dan pastri yang baru dilihatnya tadi.

Setelah mengunci kereta, dia menghampiri kedai tersebut. Nizar nampak seorang perempuan dengan apron menolak daun pintu dan keluar meletakkan papan hitam kecil di pinggir pintu. Papan hitam kecil itu memaparkan menu istimewa hari ini yang ditulis menggunakan kapur pelbagai warna.

Apabila perempuan itu menoleh, langkah Nizar terhenti. Pandangannya terpaku. Perempuan itu juga turut terpaku melihatnya.

Aufa!

Hari ini Ojie tiada kerana perlu membantu rakannya berniaga di Klang. Kata Ojie, rakannya itu baharu sahaja membuka kedai peralatan komputer. Jadi, dalam dua tiga hari ini, Ojie tiada di rumah. Peluang itu digunakan oleh Sufi untuk menunggang motosikal ke tempat kerja. Tiada lagi perlu menunggu untuk dijemput.

Lagipun, tanpa Ojie, panjang sikit langkahnya. Kali ini, bolehlah dia singgah ke kedai bakeri berjumpa dengan Haris.

"Awalnya acik bersiap hari ni?" tegur ibu apabila melihatnya masuk ke dapur.

"Acik tak kerja ke hari ni?"

"Kerja."

"Habis tu, kenapa tak pakai baju kerja?"

"Pakai. Sampai sana nanti acik tukarlah."

Ibu kerut dahi.

"Kenapa?"

"Saja. Acik nak singgah kedai bakeri dulu. Aida kirim beli kek keju."

"Hari jadi dia?"

"Taklah. Teringin nak makan. Beli sikit aje."

"Kenapa dia tak beli sendiri?"

Pagi-pagi ibu sudah buat soal siasat. Memanglah kalau niat itu tidak betul, ibu bagai dapat menghidu jenayahnya saja. Tujuan dia ke kedai bakeri memang sebab Haris. Kek keju yang kononnya dikirim untuk Aida itu alasan saja. Tapi tidak mengapa. Aida memang hantu kek keju.

"Saja. Acik pun teringin nak makan juga."

Ibu tidak menyoalnya lagi sebaliknya menatang bekas berisi nasi goreng ke meja makan.

Sarapan hari ini ibu buat nasi goreng. Walaupun nasi goreng itu masin kerana menurut ibu tertumpah garam, Sufi senyum sahaja. Sufi begitulah. Kalau hatinya senang, meski perkara jelek apa pun yang berlaku di hadapannya, dia tidak kesah.

"Acik, sikitnya makan? Tak nak tambah lagi?"

Sufi geleng. Dia menghabiskan kopinya.

"Acik nak gerak ni."

"Hati-hati bawa motor tu, acik." Ayah bersuara dari sebalik surat khabarnya.

"Acik taulah."

"Bawa motor jangan laju-laju. Tengok kiri kanan."

"Kalau sampai jadi apa-apa, ayah tak akan bagi acik sentuh lagi motosikal. Ingat!" kata ayah lagi. Wajahnya masih tersembunyi di balik surat khabarnya.

"Ya, acik ingat."

"Nak bawa bekal, acik?"

"Kalau ibu rajin nak bekalkan."

Anak Tuan RumahWhere stories live. Discover now