PADA samudera dan lautan luas itu ada ceritanya. Ada kisahnya yang tenggelam bersama air laut yang berombak deras. Membawa hanyut pasir-pasir yang terdampar pada dasar. Membasah seluruh hamparan dan lantai bumi yang memutih. Ada kisah dia yang tersimpan bersama. Ada cerita dia yang tak pernah diberitahu. Ada dia yang juga tenggelam dalam luasnya kehidupan. Ada Maryam yang lemas dalam pekikan-pekikan dan raungan kesedihan dan kesakitan yang tak ingin dibicara.“Sarah Maryam.”
Panggilan nama penuhnya itu mengembalikan Maryam pada dunia sekarang. Dunia yang sedang berputar. Masa yang sedang beranjak. Meninggalkan waktu itu. Mengembalikan seorang Maryam pada hakikat. Meleraikan semua khayalan dan masa silam yang bertandang. Maryam mengangkat kepala mendongak ke tepi memandang figura yang memanggilnya tadi.
“Abang Fal.” Nama itu disebut perlahan seraya senyum nipis Maryam pamerkan.
“Boleh abang Fal duduk?”
“Duduklah.” Maryam angguk memberi izin.
Memandang lelaki yang sedang tegak memerhatikan dia dari tadi. Maryam beranjak sedikit dari tempat duduk di kerusi yang punggung yang telah dia labuhkan. Memberi sedikit ruang untuk Naufal mengambil tempat di sebelahnya.
Naufal mengambil tempat di sebelah Maryam di kerusi kayu.
Di bawah pohon redang itu mereka sedang duduk bersama menikmati hembusan angin senja dan menghayati kehangatan mentari petang itu yang kian terbenam. Mentari petang yang sudah mulai pulang. Dan sebentar lagi malam akan mengganti siang menjalankan tugas sesuai aturanNya. Siang akan pergi dan malam akan menjelma.
“Ara…” Panggilan namanya itu berbunyi lagi. Tapi cukup ringkas.
Naufal sedang memanggil namanya buat kedua kalinya. Mahu Maryam berpaling dari mata yang sedang ralit memandang deruan ombak yang bergulung hebat di hadapan.
“Ya, abang Fal.” Sekali lagi Maryam menyahut.
“Ara okey?”
Garau suara yang bertanya itu terdengar di gegendang telinga Maryam. Mendengar suara itu memecah kesepian kata yang meneman mereka detik ini. Hanya bunyi alam yang bernada dan berirama.
Dipandang mentari di hadapan mata yang sedang beransur pergi. Bersama desir-desir pasir yang menyentuh lembut telapak kaki tanpa alas sebelum suara Maryam keluarkan perlahan. “Ara okey, abang Fal. Janganlah risau sangat. Ara dah tak sedih lagi. Semua dah tertulis, Ara ikhlas dan redha.”
Seorang Maryam sudah biasa ditinggalkan. Dan seorang Maryam sudah lama mengerti hakikat perpisahan. Jadi biar sakit dan sukar, lama-lama Maryam akan biasa. Maryam akan kuat lagi. Hanya seorang Maryam perlukan waktu dan masa.
Naufal yang terus memandang tanpa mengalihkan anak mata kepada wajah gadis di tepinya yang sedang menahan hiba dan air mata. Kenapa dapat Naufal rasakan sesungguhnya Maryam sedang berpura-pura kepadanya. Naufal tahu Maryam sedang menyembunyikan rasa.
“Ara betul-betul okey atau Ara buat-buat okey?” Naufal menyoal dengan nada mengambil berat.
“Ara betul-betul okey, abang Fal.”
Itu kata yang terbit dari mulutnya. Bukan dari hati yang sebenar-benarnya. Mungkin hakikatnya dia sedang menipu. Mungkin hakikatnya Maryam sedang berbohong, bukan pada Naufal tapi pada diri sendiri. Pada jiwa yang hampir mati.
“Tapi kenapa abang rasa macam Ara tak okey. Tak seperti Ara yang dulu. Ara yang sekarang lain sangat. Berbeza Ara. Abang tak nak Ara terus macam ni. Please, dah tiga hari abah dan mama pergi. Jangan terus bersedih macam ni. Ara kena kuat. Untuk abah dan mama. Untuk Ara. Yang hidup akan pergi. Kita semua akan pergi menuju Dia. Hanya cepat atau lambat. Abang tak nak Ara terus begini.”
Panjang bicara Naufal.Maryam senyap dan diam tanpa bicara. Memaksa diri untuk tidak menjatuhkan tangisan yang mula ingin merembes keluar.
“Ara kena kuat. Dan abang tau Ara kuat.” Naufal menyambung lagi.
Suara Naufal benar-benar menyentak hati Maryam yang sememangnya sedang rapuh. Siapa sangka Maryam yang di luarnya kuat sebenarnya selemah-lemah manusia ketika ini. Tidak kuat rasanya untuk terus berdiri. Dan menguatkan hati sendiri.
“Ara akan terus kuat, abang Fal…”
“Kita akan sama-sama kuat. Abang Fal akan selalu ada untuk Ara.”
Yang tersimpan di hati Maryam kini, hanya Allah yang maha mengetahui. Apa yang dilindungi dan cuba ditutupi. Dia yang sedang cuba untuk tidak menitiskan air mata. Dia yang sedang menahan tangis yang mula ingin menghambur keluar. Tuhan, seorang Maryam sebenarnya tidak kuat. Seorang Maryam sedang menipu pada zahirnya dan batinnya ini berteriak atas kehilangan mereka yang dicintai itu.
Sakit. Pedih.
“Mama abah, Sarah Maryam anak yang kuat.”
Maryam menggenggam jari jemari cuba mengumpul kekuatan dalam diri. Sungguh sebenarnya kematian kedua ibu dan bapanya mengheret seluruh kekuatan yang ada dalam diri Maryam.
Menghilangkan semangat yang pernah mereka berikan padanya. Kini seorang Maryam cuma seperti tinggal jasad tanpa jiwa. Hidup di luarnya namun mati pada dalamnya. Dan Sarah Maryam hancur lagi. Berkeping-keping.
Akhirnya jatuh jua air mata yang Maryam cuba untuk tahan agar tidak gugur dan semakin Maryam menahan esak semakin air jernih itu turun dengan lebat dan menderas. Dan seiring itu sang mentari pun turut sama menghilang meninggalkan Maryam dalam sendu yang tak berhenti.
Oh, Tuhan.
Sakitnya menanggung kerinduan dan kehilangan pada mereka yang tak akan pernah kembali.TUJUH hari sudah berlalu. Hari ini sudah hari ketujuh pemergian ibu dan bapanya. Maryam, tok ma dan Naufal pagi-pagi lagi sudah berada di tanah perkuburan itu. Bersama bayu pagi yang menampar wajah. Dingin yang sempat menjamah tubuh. Dan embun pagi yang masih basah. Di sebalik tanah itu bersemadinya mereka yang paling dia cintai. Di sebalik tanah yang masih merah. Mama dan abah Maryam sudah benar-benar pergi meninggalkan mereka bertemu kekasih abadi.
Tangan tua tok ma, Maryam genggam erat. Mendapatkan sedikit kekuatan untuk terus di sini di hadapan ibu dan bapanya. Meskipun hanya batu nisan dan ukiran nama yang ditinggalkan. Terpisah antara dua alam. Dunia dan barzakh. Tapi mereka akan selalu Maryam abadikan dalam doa. Dalam setiap sujudnya yang pasti.
Surah Yaasin di tangan dibuka perlahan. Alunan ayat suci Al Quran itu sayu diperdengarkan. Sesungguhnya dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.
Daripada Allah kita datang dan kepada Dia kita kembali. Bersama-sama doa yang turut sama dihadiahkan oleh Maryam buat mama dan abahnya.
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.” – Surah Ibrahim, ayat 41.
Di hujung suara dan doa dari Naufal itu Maryam tadahkan dan aminkan sepenuh hati. Meminta segala kebaikan untuk mereka. Mengharap kasih sayang dan rahmat dariNya untuk mereka. Mereka yang ingin dia temukan semula di syurga. Mereka yang mencintai dia seadanya. Mereka yang menerima seorang Maryam di saat yang lain tidak menginginkannya.
Tanpa mereka, mungkin tiada Sarah Maryam di dunia ini. Juga cerita Maryam ini tak akan pernah wujud.
“Mama, abah semoga damai dalam dakapan kasih Ilahi. Semoga Ara dapat buat yang terbaik untuk peperiksaan SPM nanti. Semoga kita bertemu lagi di syurga Firdausi. Aamiin.” Akhiri Maryam dengan doa itu, Maryam hadiahkan sebagai pengganti diri.
SEMOGA dipermudahkan urusanmu dan selamat berjaya mengejar cita-cita. Seandainya suatu hari nanti waktu menemukan kita, hanya kemaafan ingin aku mahukan darimu. Biar aku menanggung rasa bersalah ini kerana kesilapan dan kesalahan kami. Kesatlah air mata itu, Sarah Maryam. Biar hanya bahagia yang menemanimu di waktu-waktu yang mendatang.
Julai, 2010.
YOU ARE READING
DIA MARYAMKU (Sudah Terbit)
Romance"Sarah Maryam, awak sedang menghukum saya?" "Saya tak pernah menghukum awak. Saya bukan Tuhan. Bukan juga malaikat. Saya tak berhak menghukum, menghakimi atau menilai awak. Tapi semua ini benar benar buat saya sakit. Adakah selama ini semuanya adala...