BAB 07

60 0 0
                                    

MANUSIA ke manapun membawa diri. Seluruh pelusuk dunia pun ditakluki. Nanti pastikan pulang. Pulang bertemu dan kembali kepada keluarga. Betul orang kata, keluarga tidak boleh dijual beli. Tiada ganti. Tidak terganti. Keluarga adalah segalanya.

Suasana di Pasar Payang itu hingar dan bingar. Suara orang-orang yang sedang menjalankan kerja mereka sebagai peniaga. Ada pembeli. Ada yang menawarkan, ada yang sedang ditawar dan ada yang melaung laung hasil jualan supaya cepat habis. Keriuhan ini benar-benar membuatkan Naufal suka dan rindu. Mendengarkan manusia saling bersaing. Tapi dengan cara yang baik.

Tiga hari mereka di kampung neneknya. Pulang menziarahi kubur arwah mama dan abah. Menziarahi rumah tok ma yang ditinggal tak berpenghuni. Menziarahi saudara mara yang sudah lama tidak bersua.
Naufal dan Maryam bersama Tok ma menghabiskan masa menyelusuri pasar besar itu. Membeli barangan untuk di bawa pulang ke Kuala Lumpur.

"Tok ma ni ikan kering yang kita biasa makan tu, kan?" Maryam menunjukkan ikan kering gelama di tangan.

Ya, bau dia benar-benar semerbak menerobos ruang hidung dan bikin ketagihan.

"Betul lah tu. Dulu-dulu tok ma biasa beli dengan Pak Cik Hasan kat hujung kampung tu. Tapi selepas arwah meninggal susah nak dapat dah. Orang kampung pun dah jarang buat ikan kering macam ni." Beritahu tok ma. Maryam angguk kepala.

"Sedap ni, tok ma. Kalau goreng lepas tu letak bawang merah, cili dan makan dengan nasi putih panas-panas." Maryam menelan liur berkali-kali membayangkan hidangan tersebut di fikiran.

Ikan kering yang ditunjukkan oleh Maryam diambil. Dihidu-hidu baunya oleh tok ma juga. Susah untuk mendapatkan bekalan ikan masin seperti itu di kawasan bandar. Kebanyakan hanya kawasan persisir pantai Terengganu yang banyak boleh ditemui ikan masin jenis itu.

Naufal menggeleng kepala melihat neneknya dan Maryam yang sedang asyik dan khusyuk memilih ikan kering Terengganu itu.

"Amboi, bukan main Ara ni tok ma. Tak padan dengan muka omputeh dia. Suka sangat dengan ikan kering."

Maryam ketawa. "Favorite Ara, okey!"

Selesai menghabiskan masa membeli dan berjalan di Pasar Payang mereka pulang semula ke rumah pusaka itu. Menghabiskan waktu di rumah itu semalaman lagi. Rumah kampung itu pernah melakar banyak kenangan manis mereka. Kenangan bersama orang tua mereka. Setiap kali hari raya, rumah itu adalah kenangan indah yang dimiliki mereka.

Mereka bertiga menjamu selera dengan masakan ala kampung dan ikan kering gelama goreng yang dibeli di pasar Payang pagi tadi. Selesai menikmati makan tengah hari mereka, Naufal sudah menghilangkan diri ke bilik untuk mengerjakan solat zohor. Hanya tinggal Maryam sedang membersihkan dapur dan pinggan mangkuk. Tok ma sudah beransur ke bilik tidur untuk turut menunaikan solat.

Petang itu, Maryam menyediakan pisang goreng dan keropok goreng bersama air kopi. Di bawa keluar menuju ke beranda rumah. Dengan angin yang bertiup, tok ma, Maryam dan Mak Cik Gayah jiran sebelah rumah tok ma yang sudah berpuluh tahun dikenali itu turut duduk bersila bertemu muka dan berbual setelah sekian lama mereka tidak pulang ke kampung. Naufal sudah keluar untuk ke pantai bertemu rakan-rakan sekampung yang sudah lama tidak ditemui.

"Lamanya tak jumpa kamu Idah, Ara." Suara Mak Cik Gayah menerobos gegendang telinga.

Maryam hanya tersenyum sambil menuangkan air kopi di dalam cawan. Mereka sedang berada di beranda rumah kampung menghirup udara petang.

Pisang goreng dan keropok lekor yang diletakkan di dalam pinggan dihulurkan kepada wanita yang duduk berhadapan dengan tok ma yang sedang memandangnya.

"Tu lah Yah. Dah lama sangat aku dengan cucu-cucu aku tak balik kampung ni. Masing masing dah sibuk kerja. Naufal tu lagilah susah nak balik. Ara aje yang duduk temankan aku." Tok ma membuka perbualan.

DIA MARYAMKU (Sudah Terbit) Where stories live. Discover now