BAB 05

37 0 0
                                    

SEBELUM memulakan kerja pada hari itu, Maryam terlebih dahulu ke rumah anak yatim di mana dia diadopsi oleh mama dan abah dahulu. Tapi sayang tiada maklumat tentang dirinya di situ. Tiada informasi yang diperolehi. Kata Puan Raudhah atau perempuan yang dipanggil umi itu, dia tidak maklumat dan apa-apa dokumen yang berkaitan dengan diri Maryam. Ketika Maryam ditinggalkan dahulu, hanya Maryam yang ditemui yang diselimuti. Tiada yang lain yang dijumpai.

Baitus Kasih, Paya Jaras.

Sudah berkali-kali dia mengunjungi rumah itu. Mencari tahu maklumat diri. Namun semuanya seakan sia-sia dan hampa. Dia juga seakan menemui jalan buntu. Tidak banyak maklumat yang boleh Maryam dapatkan. Terasa semakin sukar perjalanannya dalam pencarian itu. Tidak membuahkan sebarang hasil.

"Umi minta maaf ya, Sarah."

"Okey umi. Sarah tak apa-apa. Kalau macam tu, Sarah minta diri dulu."

"Kalau ada apa-apa nanti, Sarah datanglah sini lagi. Umi sentiasa mengalukan kehadiran Sarah di sini." Puan Raudhah mendekati tubuh Maryam seraya tubuh itu dipeluk erat.

"Insya Allah, umi. Kirim salam kat semua." Tangan Puan Raudhah dicium lembut. Kaki diangkat longlai menuju ke keretanya.

Maryam pulang dengan hati yang kosong. Dan juga kecewa di dada. Sampai di rumah, tok ma sudah berdiri di muka pintu menunggu kepulangannya. Wajah tanpa perasaan dan kecewa yang hanya terbias pada seorang Maryam.
Tok ma memandangnya dengan pandangan penuh mengerti. Sungguhlah Tok ma lebih tahu rasa yang bermain di dalam diri seorang Maryam. Pandangan itu menyatakan makna untuk dia tidak berputus asa. Perjalanan ini masih jauh untuk dia tuju. Laluan dan lencongan masih banyak untuk Maryam tempuhi.

'Buat apa nak cari, kalau ibu bapa kau sendiri buang kau, Ara.' Suara hatinya seringkali berbisik begitu.
Maryam beristighfar panjang. "Ya Allah, jauhkanlah aku dari perasaan sebegitu."

Sejahat manapun dan teganya mereka membuang dan memperlakukan dia sebegitu, Maryam tetap tidak akan menyalahkan. Kalau benar kelahirannya adalah dari kesilapan ibu bapanya. Maryam tetap akan menerima dan redha.
Tangan dengan kedutan-kedutan yang semakin menampakkan itu, Maryam usap perlahan. Merasakan kasih yang tak berpenghujung. Seandainya tiada tok ma dalam waktu waktu ini, Maryam tidak tahu bagaimana ingin dia menjalani masa-masa depan nanti.

"Tok ma, Ara rasa Ara tak nak cari dah. Susah tok ma."

Maryam sudah menunjukkan kepada tok ma muka pasrahnya. Dia sudah menerima ketentuan jika lebih baik begitu. Biarpun Maryam tidak akan mengenali ibunya seumur hidupnya.
Tok ma mengusap perlahan kekura tangan Maryam memberi semangat yang tak pernah berbelah bagi. Tidak mahu Maryam mengalah dengan pencariannya.

"Jangan berputus harap. In sya Allah nanti ada jalannya. Yang penting cucu tok ma kena bersabar dan tak berputus asa." Lembutnya suara tua itu memberi semangat menyentuh pendengaran.

"Tapi tok ma. Memang susah..."

"Tak ada yang susah selagi ada usaha, Ara. Ara sendiri yang nak tau siapa ibu kandung Ara. Jadi Ara kena bersabar dan jangan mengalah sebelum tiba waktunya."

Maryam memaku pandangan tepat pada jemarinya yang bertaut pada jemari tua tok ma. Ya Allah, berikan aku kesabaran itu. Bisik Maryam di dalam hati.

"Terima kasih tok ma sebab selalu ada dengan Ara."

Ada benarnya setiap kata yang terbit dari kesayangannya itu. Jika sekarang Maryam berputus asa, maka sia-sialah segala penat lelahnya selama ini. Meskipun usaha dia tidak menampakkan hasil sekurang-kurangnya Maryam sedang mencuba berusaha. Mencari tahu keberadaan wanita yang melahirkan dia ke dunia. Meskipun kehadirannya tidak diterima. Ingin sekali Maryam melihat dia yang pernah bertarung nyawa membawanya ke kehidupan ini. Menjadi Maryam yang sudah dewasa.

DIA MARYAMKU (Sudah Terbit) Where stories live. Discover now