Kringg! Kringg! Kringgg!
Bunyi loceng unit kondo Haziq dipicit beberapa kali. Haziq yang tertidur di sofa terjaga. Dia mengeliat. Bunyi penggera rumahnya masih berbunyi tanda tetamu tak diundang masih memicit suis locengnya bertalu-talu. Seperti seorang yang tidak sabar. Haziq melihat jam dindingnya.
"Siapa pula yang datang pagi-pagi buta ni? Takkan si Jani? Akukan tengah bercuti. Gila ke ajak aku pergi training?" omel Haziq.
Dia melihat jam dinding. Waktu menunjukkan pukul 11.00 pagi.
Kringg! Kringg!
"Kejap! Kejap!" laung Haziq.
Dia segera bangun lalu menuju ke muka pintu. Dia menekan suis dan terpancarlah siapa di hadapan pintu rumahnya di paparan LCD. Seorang tua berpakaian kemas siap berkot bersama 2 orang pengawal yang kelihatan bengis. Wajah itu tersenyum memandangnya.
"Kamu siapa?" soal Haziq melalui interkom.
"Saya Dato Saufie," jawab Dato Saufie.
Lantas fikirannya teringatkan panggilan semalam. Apa jadah Dato Saufie ini datang jumpa aku pagi-pagi buta ni? Bukankah semalam aku sudah kata perlukan masa? Sibuk betullah peguam ni! Omel Haziq di dalam hati.
"Bukankah saya kata kalau saya hendak pergi jumpa Dato Saufie saya akan ke pejabat? Saya tidak mahu diganggu sekarang. Saya perlukan ketenangan," soal Haziq semula.
"Nanti dulu."
Dato Saufie segera meminta sesuatu dari pembantunya. Dato Saufie mengambil beg panjang yang dihulurkan oleh pembantunya. Beg itu dibuka dan terserlahlah pedang yang masih nampak berkilat. Disepuh emas di hulunya dan ada batu permata.
"Kenalkah kamu dengan pedang ini?" soal Dato Saufie.
Haziq mengamati pedang tersebut. Itulah pedang yang pernah ditunjukkan oleh ayahnya sewaktu dia kecil dahulu. Pedang yang boleh mengeluarkan api kononnya sebelum dia rasa diperbodohkan oleh arwah. Arwah ayahnya mengatakan pedang itu akan diwariskan apabila tiba masanya.
"Kamu datang semata-mata hendak bagi pedang?" soal Haziq.
"Tidak! Ada benda yang lebih penting. Tolonglah bukakan pintu," rayu Dato Saufie.
"Baiklah. Tapi selepas ini jangan ganggu saya lagi! Selesaikan wasiat ayah cepat!" Haziq memperingatkan.
Selagi Dato Saufie ini tidak dilayan membacakan wasiat selagi itu dia akan mencari Haziq. Haziq berharap agar selepas membacakan wasiat dia tidak lagi diganggu. Dato Saufie tersenyum gembira. Kotak itu ditutup semula. Haziq membuka kunci. Sebaik pintu dibuka terpancul 3 susuk tubuh.
"Masuklah," pelawa Haziq.
Mereka bertiga masuk. Pengawal itu meletakkan 3 beg di atas meja yang bersepah dengan gambar bersama ayahnya. Malam tadi dia mengeluarkan kesemua gambar album bersama dengan ayahnya.
"Kamu berdua tunggu di luar," arah Dato Saufie.
Seperti hamba yang patuh kedua pengawal itu keluar dari rumah Haziq. Pintu ditutup oleh Haziq.
"Kamu ada bilik? Kita perlu berbincang di dalam bilik peribadi," pinta Dato Saufie kepada Haziq.
"Kenapa tidak boleh berbincang di ruang tamu?" soal Haziq pelik.
"Benda ini tidak boleh diketahui oleh sesiapa. Kalau saya bincang di sini... takut didengari oleh 2 orang pengawal peribadi saya," jelas Dato Saufie.
Pelik betul orang tua ni. Getus hati Haziq.
"Marilah ke bilik bacaan saya," ajak Haziq.
Dato Haziq bangun lalu mengendong dua buah beg.
YOU ARE READING
Sang Purba
خيال (فانتازيا)Masanya sudah tiba! Kuasa hitam sudah bangkit! Kuasa yang akan memusnahkan dunia jika tidak dihalang! Dato Saufie segera mengumpulkan manusia yang telah ditakdirkan menentang Sang Purba yang dibantu oleh Tar dan Nyi Ratu Kidul. Pengembaraan mereka b...