Bertalu-talu deringan telefon di meja kecil di sebelah katil berbunyi. Si pemanggil masih belum mahu berputus asa. Nampak sangat ia panggilan yang wajib dijawab.
Heysh, baru letak kepala, dah ada pengacau! Rungut Rafique dalam hati. Rasanya, baru sejenak dia melelapkan mata. Tangan dihulur, mencapai telefon. Telefon ditekap di telinga tanpa melihat skrin. Mata masih terpejam.
"Rafique Edruce?"
Suara garau dari telefon yang berdering bising yang mengejutkannya dari tidur bertanya, menyebut namanya. Samar-samar di telinga.
"Rafique Edruce Bin Haris Edruce?" Si pemanggil bertanya lagi, apabila tiada jawapan yang diterima.
Kepenatan yang teramat buat mulutnya beberapa saat lebih lama untuk menjawab. Jarang-jarang orang akan menyebut nama itu penuh begitu kecuali jika mereka dari bank yang ingin menjual insurans.
Nama Edruce juga dia jarang pakai. Seboleh-bolehnya dia tidak ingin sesiapa pun tahu. Dia selalu perkenalkan dirinya sebagai Rafique sahaja, seolah-olah keluarga Edruce tidak pernah wujud. Seperti ia tiada kaitan dengannya.
"Siapa ni?" Rafique bertanya, nalurinya mula rasa tidak sedap.
"Tuan ASP Rafique?"
Suara itu mengulangi namanya, siap dengan pangkat sekali. Bunyi semacam sangat. Cepat-cepat, matanya tercelik, terpisat-pisat dalam mamai. Terasa berpasir mata yang hauskan tidur. Rafique cuba bangkit dari katil, siku menahan tubuh yang terasa memberat akibat keletihan yang teramat.
"Tuan ASP... maaf, ganggu tuan tidur," tutur si pemanggil dengan sopan sekali sebelum dia menunjukkan warna sebenar. "Tapi... aku tak akan biarkan kau tidur lena mulai hari ini." Suara itu tiba tiba berubah bahasa dan intonasi. Lalu diikuti dengan hilai ketawa. Ketawa yang dibuat-buat.
Sekarang dia sudah terduduk dibirai katil, telinga menadah di telefon pintar. Mendengar dengan getol.
"Siapa ni?"
"Kau tak perlu tahu siapa aku. Yang kau perlu tahu, dalam tempoh beberapa minit lagi, akan ada satu mayat di jambatan."
"Kau siapa?"
Sebaliknya, suara pemanggil berganti dengan suara nyaring seorang perempuan. Kuat dan dalam ketakutan. Kemudian teriakan perempuan itu berganti dengan suara garau lelaki tadi.
"Lebih baik kau ke sini cepat! Hahaha!"
"Hei! Siapa kau???"
Klik! Panggilan terputus!
Nombor yang memanggilnya tadi didail, namun hanya deringan kosong sahaja, bermaksud telefon sudah dimatikan. Ataupun dibuang ke sungai.
Jambatan mana?
Di mana?
Tidak dinyatakan.
Ya Allah... mana nak cari? Bukan satu jambatan di Malaysia ni!!!
Dia baru sahaja sampai ke rumah. Pukul 2.02 pagi dia cecah katil. Usai urusan dengan pakar patologi forensik di Hospital Kuala Lumpur petang tadi, dia kembali ke crime scene untuk melihat apa-apa bukti yang kemungkinan mereka terlepas pandang. Kemudian dia bergegas ke pejabat, menyambung mengkaji kes. Dalam 12 hari sebelum itu sahaja, sudah ada dua kematian. Selang 6 hari, dan ini adalah kematian ketiga.
Mengikut naluri, dia sarung baju, capai kunci kereta. Jaket kulit hitam yang selalu dipakai disambar sewaktu dia berjalan keluar.
***
Panggilan dibuat setelah dia menjumpai mayat tersebut. Polis bantuan yang pertama tiba di tempat kejadian tidak sampai sepuluh minit. Pasukan polis back up, ambulans dan sebagainya juga telah dipanggil.
"ASP Rafique?" Suara di belakang buat Rafique menoleh.
"Saya Superintendan Hamzah dari IPD Putrajaya." Seorang lelaki dalam lingkungan umur awal 40-an menegur seraya tangan dihulur.
"Oh, Tuan Hamzah..." Rafique berikan senyuman tanda perkenalan mereka. "Selamat berkenalan."
OCPD Putrajaya turun padang! Jika benar tekaannya, itu adalan OCPD Putrajaya baru yang dilantik bulan lalu. Orangnya masih muda. Dia tiba di tempat kejadian tidak sampai 15 minit. Tentu dia hebat seperti yang digembar-gemburkan.
"Tuan..."
Kata-katanya dicantas. "Kamu... ASP Rafique," Superintendan Hamzah picing mata, lalu menyambung. "Rafique Edruce?"
"Ya, saya. Dari Bukit Aman." Rafique carik senyuman nipis. Kenapalah malam ini ramai sungguh yang berkenan dengan namanya.
"Kenapa tak telefon saya dulu?"
Dari cara dia memandangnya, dan dari nada suaranya itu, buat Rafique tak sedap hati.
"Saya dapat panggilan dari pembunuh tersebut awal pagi tadi. Saya perlu pastikan di mana lokasi pembunuhan dahulu sebelum saya hubungi tuan."
"Haris Edruce, criminal lawyer yang famous tu, ayah kamu, kan?"
Kenapa soalan itu yang ditanya? Ia langsung tidak berkaitan dengan kes. "Err... ya." Rafique jawab juga biarpun dia mula rasa tidak sedap hati apabila nama daddy disebut.
"Ohh... patutlah." Tuan Hamzah cekak tangan di pinggang.
"Maksud tuan?"
"Mind your own business? Ini kawasan saya," kata Tuan Hamzah.
"Maaf, saya tak faham."
"Bahagian mana yang kamu tak faham, ASP Rafique?"
Rafique tahan nafas, cuba bersabar dengan kerenah OCPD baru yang sedang berlagak.
"Ayah kamu masih di New Zealand?" Tuan OCPD bertanya, agak sinis. "Apa kata kamu tolong ayah kamu tanam epal di sana?"
Lama, Rafique tenung wajah Tuan Hamzah. Patutlah tadi dia rasa seperti pernah nampak.
Okay... now I get it. Rafique senyum sumbing dalam hati.
***
Pasukan polis dari Unit Forensik D10 PDRM sudah berada di tempat kejadian jenayah atau crime scene. Beberapa anggota yang memakai seragam bertulis 'Polis Forensik' sedang memindahkan peralatan masing-masing dari kenderaan ke tempat kejadian. Kawasan kejadian telah dilingkung dengan pita kuning, yang menanda limit orang yang tidak berkenaan. Semuanya berlaku dengan pantas, tetapi teliti.
Satu dua wajah wartawan dari meja jenayah yang dikenalinya sudah menampakkan muka di situ, bersama DSLR masing-masing. Semua berlumba-lumba untuk mendapatkan skop buat stesen mereka. Jurugambar Unit Forensik juga sibuk mengambil gambar di tempat kejadian. Pihak polis forensik melakukan kerja dengan berhati-hati. Beberapa tempat telah ditanda dengan nombor.
To be continued (dalam versi cetak).
Note : tunggu bab 2 nanti!
xoxo
Zura Rahman
YOU ARE READING
PEREMPUAN YAKUZA ITU
Mystery / ThrillerCerita tentang Rafique Edruce, seorang pegawai polis di D9 yang cuba mengimbangi konflik hidup dan kerjaya, sehingga dia bertemu dengan seorang perempuan milik yakuza. Note : this is a light thriller, perhaps more suited for action drama comedy. How...